Isnin, 1 Disember 2008

Anwar Ibrahim Gegar Sarawak!


Penasihat KeADILan, Dato' Seri Anwar Ibrahim memilih Sarawak sebagai usaha terbaru menjadikan 'projek 16 September' menukar kerajaan persekutuan satu kenyataan.

"Langkah pertama, gegarkan Sarawak. Sarawak barisan hadapan kita sekarang," kata Anwar dalam ceramah khas malam tadi bersempena Kongres Nasional kelima parti itu selama dua hari di Shah Alam.

Ini merupakan kempen terbaru Penasihat KeADILan itu yang dilancarkan selepas pelan asalnya berhubung isu pertukaran kerajaan, berlalu 16 September lepas.

Difahamkan pengumuman itu berikutan sambutan baik 12,000 penduduk Sarawak yang dilaporkan menyertai parti itu dua minggu lalu.

Anwar berkata, tarikh 16 September itu, merupakan sasaran ke arah membina satu kekuatan bagi menubuhkan kerajaan baru bersama dengan Pakatan Rakyat.

Menurutnya, mengambil alih kerajaan bukan perkara mudah dan menasihatkan agar rakyat bersabar menunggu masanya.

"Ini isu yang tidak mudah diungkap dan dilakar dengan kata-kata kerana ada sebab, ada hal yang saya tidak dapat sebutkan.

"Orang yang bersetuju, menunggu waktu untuk menyeberang, syaratnya tidak didedahkan sehingga mereka bersedia. Jadi, cakap salah, tidak cakap pun salah.

"Cakap salah, tidak cakap salah, jadi semua serba salah," katanya dengan gaya bernyanyi dan disambut dengan gelak ketawa ribuan para penyokongnya.

Sehubungan itu, Anwar berharap orang ramai bersabar walaupun beliau mengakui terdapat ahli-ahli KeADILan dan rakyat yang ragu-ragu dan tertanya-tanya bilakah beliau akan membentuk kerajaan baru dan berada di Putrajaya.

"Jika Allah mentakdirkan kita menang, kita menang. Saya yakin, insya-Allah sebagaimana mana saya yakin sebelum 8 Mac," katanya.

Beberapa hari sebelum pilihan raya umum ke-12, Anwar membuat kejutan dalam ceramahnya di Singapura apabila mendedahkan lima negeri akan jatuh ke tangan gabungan pembangkang. (Berita Dipetik Dari Harakahdaily.net 1/12/08)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan