Selasa, 6 Januari 2009

Cubalah fikir cara lain lawan Israel


Memanglah, berat mata memandang berat lagi bahu memikul. Dan ini tambah-tambah lagilah, bukan setakat bahu memikul, tapi… tak tahu nak cakap dah. Habis segalanya punah ranah – darah mengalir, maut melayang, rumah ranap, tubuh hancur. Apa lagi? Derita dan penghinaan berpuluh tahun.



Kita yang berada jauh beribu batu ini pun terasa derita dan penghinaan itu, apatah lagi mereka yang mengalaminya sendiri. Sebagai seorang seniman yang berada jauh dari daerah Palestin dan Israel, saya hanya boleh menulis puisi dan pentaskan teater. Itu telah saya lakukan. Tetapi bukan itu sebenarnya yang hendak kita lakukan.

Yang hendak kita lakukan ialah menghentikan segala derita dan penghinaan itu. Minggu lalu Israel menyerang lagi di Tebing Gaza. Masuk hari kelima pada 31 Disember, serangan itu dilaporkan telah meragut 374 nyawa, dan lebih 2,000 orang cedera, termasuk kanak-kanak dan orang tua.

Dan ini bukan lagi suatu berita besar. Dan bukan berita baru. Memang dunia menunjukkan reaksi terkejut, marah, kutuk dan sebagainya. Sana-sini diadakan mesyuarat dan sidang tergempar pemimpin-pemimpin dunia. Kenyataan pun dikeluarkan, mengutuk dan menyeru supaya dihentikan serangan serta merta. Dan di sana-sini juga diadakan demonstrasi yang disertai ribuan atau puluhan ribu orang. Mengutuk dan menyeru dihentikan serangan.

Dan memang serangan itu tak akan berterusan sampai bila-bila. Dikutuk atau tidak dikutuk, sampai masanya serangan itu akan dihentikan. Yang kehilangan nyawa atau kehilangan anggota badan atau kehilangan rumah kediaman akan teruslah menderita. Manakala yang lain, yang tak kehilangan apa-apa, seperti kita, akan melupakannya, dan meneruskan semula kehidupan seperti biasa.

Itulah, dan begitulah yang telah terjadi, selama berpuluh-puluh tahun. Masih lagi berlaku hari ini. Sama. Dan ketika membaca berita-berita itu, saya terfikir… tak adakah satu cara lain yang boleh dibuat, selain daripada berdemonstrasi dan mengeluarkan kenyataan mengutuk, seperti yang telah dibuat berkali-kali, dan terbukti tak pernah memberi kesan apa-apa pun?

Semua pihak seperti sudah dapat membaca setiap langkah yang akan diambil oleh pihak lain. Selepas ini apa, dan selepas ini apa…. Pakar-pakar strategi perang tentu sudah arif benar akan langkah-langkah yang telah berulang-ulang kali berlaku atau dilakukan itu. Kasihanlah mereka yang menjadi mangsa. Sudah lebih 50 tahun. Apakah manusia di abad yang sangat maju ini tidak ada seorang pun yang pandai untuk memikirkan penyelesaian bagi masalah yang kejam dan tak berperikemanusiaan ini?

Secara teater, saya telah mengemukakan satu pandangan melalui teater yang dipentaskan di Kuala Lumpur, Jun 2006 – “Tamu Dari Medan Perang”. Mengajak umat Islam seluruh dunia menggembleng kepakaran yang ada di kalangan kita, dan memfokuskan perjuangan kepada satu target: Menentang materialisme, dan menentang Amerika (kerana Amerikalah yang memperkasakan materialisme).

Masalah Palestin itu sebenarnya bukan sekadar masalah Palestin. Ia suatu masalah yang berangkai-rangkai, yang kait-mengait, yang akhirnya merupakan suatu masalah bersama umat Islam, atau umat manusia, seluruh dunia. Ia sama sekali tak boleh diselesaikan dengan hanya memikirkan soal Palestin dan Israel sahaja.

Tak perlulah saya memberikan penerangan panjang lebar mengenainya. Anda tentu faham, apabila Amerika membohongi dunia, dengan mempergunakan Bangsa-bangsa Bersatu, mengatakan Iraq mencipta senjata paling bahaya (Senjata Pemusnah Besar-besaran, WMD), yang menghalalkan Amerika dan negara-negara sekutunya mengisytihar perang ke atas Iraq dan membunuh Presiden Saddam.

Terbukti senjata WMD itu tak ada pun. Dan terbukti Presiden Amerika telah membohongi dunia semata-mata kerana hendak menundukkan Iraq dan menguasai kekayaan minyak di situ. Dan apa jadi? Amerika selamba saja. Umat Islam dituduhnya pengganas, bukan dia. Dan dia boleh buat begitu kerana dia menguasai media dunia.

Bagi menamatkan sengsara rakyat Palestin, (yang kalau tak ditamatkan ia akan merebak sedikit demi sedikit dan akhirnya akan sampai kepada kita juga), kita mesti berfikir dalam perspektif atau kerangka pemikiran yang luas.

Demikianlah alkisahnya, saya dan kawan-kawan pun bercadang hendak membawa teater TDMP itu dan mementaskannya di banyak tempat di dalam negara dan di luar negara. Tujuannya itulah – hendak menggembleng tenaga, idea dan dana untuk perjuangan tersebut. Memang ada beberapa respons yang sangat bagus, ke arah itu. Tetapi, entah di mana silapnya, ia tak menjadi. Barangkali belum menjadi. Kerana kami masih lagi berhasrat hendak membuatnya, insya Allah.

Saya menceritakan perkara ini bukanlah apa, bukan tak setuju dengan demonstrasi beramai-ramai tunjukkan marah kita kepada Kedutaan Amerika. Dan bukan nak mendakwa idea dan fikiran dalam teater saya itu bagus. Tapi sekadar nak membuka fikiran. Manalah tahu, berfikir di luar kotak kebiasaan, mungkin tercetus idea yang bernas, ‘kan!

Saya perlu sebut perkara ini terus terang, awal-awal, supaya orang tak tersalah berprasangka kurang baik terhadap tulisan ini. Memang ada pun yang memberi respons begitu. Biasalah ‘kan, adat manusia. Ada yang bersetuju ada yang tidak. Ada yang berfikiran positif dan ada yang berfikiran negatif. Kalau takutkan risiko itu, tak dapatlah saya menulis sepertimana yang telah saya tulis selama ini.

Seorang sahabat saya selalu berpesan: Perbetulkan niat! Makanya saya selalu beringat-ingat akan niat di dalam hati sanubari sendiri. Niat kerana Allah, untuk melaksanakan hukum Allah, untuk mencari keredhaan Allah, dan tidak menipu diri sendiri, tidak munafik dengan diri sendiri, maka saya memberanikan diri menulis apa-apa yang saya fikir perlu ditulis.

Kembali kepada isu Palestin-Israel ini, marilah kita cuba berfikir cara yang lain untuk menamatkan kegilaan manusia-manusia itu. Semoga Allah membantu kita.

(Penulis boleh dihubungi dengan emel dinsman_49@yahoo.com.my atau sms 0136362408)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan