" Pagi kelmarin Perdana Menteri saya yang bernama Pak Lah itu melancarkan secara rasmi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam satu majlis di PWTC. Seperti biasa ucapan Pak Lah menyentuh mengenai tindakan-tindakan pencegahan rasuah oleh SPRM sejak namanya dikenali sebagai BPR lagi. Seperti biasa BPR dan SPRM dipuji setinggi langit. Biasalah, kan?
SPRM baru sahaja ditubuhkan secara rasmi pada 1 Januari lepas bagi menggantikan BPR. Maknanya usianya baru 2 bulan. Sepatutnya dalam tempoh 2 bulan ini, SPRM cuba membuktikan ia berbeza dengan BPR yang selalu kelihatan berat sebelah dalam siasatannya itu. Namun ternyata harapan menggunung rakyat terhadap SPRM terlalu meleset.
Apa yang SPRM lakukan di Selangor dan Perak kini membuktikan betapa sukarnya untuk melihat SPRM kelihatan sebagai suruhanjaya yang benar-benar bebas. Bukan hendak membela Menteri Besar Selangor, bukan hendak membela Speaker DUN Perak, jika ada bukti yang kukuh mengenai salah laku mereka, SPRM boleh siasat, silakan. Yang menariknya ialah gelagat Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Ahmad Said Hamdan yang bercakap seolah-olah mewakili Peguam Negara. Beliau nampaknya terlebih proaktif. Tapi hendak tunjuk proaktif pun janganlah sampai melebihi bidangkuasa yang ada. Hendak tunjuk proaktif pun janganlah sampai buat kerja Jabatan Peguam Negara, biarlah Jabatan Peguam Negara buat kerja di bawah bidang kuasanya. Bukan apa, takut nanti ada orang kata SPRM mabuk kuasa pula, takut nanti ada orang kata SPRM hendak rampas kuasa Jabatan Peguam Negara pula. Cukuplah BN rampas kuasa PR di Perak, tidak perlulah Ketua Pesuruhjaya SPRM meniru gelagat BN pula.
Jika Ahmad Said hendak tunjuk proaktif sangat, siasatlah kes-kes tertunggak yang berlapuk dalam simpanan SPRM sejak zaman ia bernama BPR dulu lagi. Siasatlah Khir Toyo, siasatlah Pak Lah, siasatlah Najib yang kes salah laku mereka telah begitu lama dilaporkan kepada SPRM. Seperti kata Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) PKR, Badrul Hisham Saharin sejak tahun 2000 sudah 87 laporan rasuah dibuat terhadap SPRM yang melibatkan pemimpin-pemimpin tertinggi BN, tetapi ke mana gerangan menghilangnya fail-fail siasatan tersebut yang sehingga kini tiada kabar beritanya?
Juga siasatlah kes pembelian kereta Volvo Kerajaan Negeri Sabah bagi menggantikan Perdana baru-baru ini. Kalau Kerajaan Negeri di bawah Pakatan Rakyat SPRM boleh siasat, mengapa berat tangan sangat hendak buka fail salah laku Kerajaan Negeri di bawah BN?
Kita faham Ahmad Said sedang pening kepala selepas kisah anaknya yang buat onar di Australia itu pecah dalam internet. Kita faham Ahmad Said sedang menanggung aib yang sangat besar. Namun janganlah rasa aib itu menyebabkan dia bertindak seperti orang hilang pedoman. Janganlah berat sebelah. Tunjukkan bukti bahawa Datuk masih waras, bertindaklah secara adil kerana Allah sedang memerhatikan Datuk!
Apa pun, SPRM yang gagal berjalan lancar itu telah dilancar pagi tadi oleh Perdana Menteri saya.
Oleh: pendikar gunung kriang
http://pendikargunung.blogspot.com/
"
Tiada ulasan:
Catat Ulasan