SLIM RIVER, 22 Feb (Hrkh) - Mungkin ramai yang tidak mengetahui, bahawa isu bahasa yang melibatkan bantahan penggunaan Bahasa Inggeris dalam pengajaran mata pelajaran Sains dan Matematik (PPSMI) bukan bermula kini tetapi secara agresifnya tiga tahun lalu.
Ini dibuktikan dengan tindakan saman yang dilakukan oleh anak Menteri Besar Perak Dato' Seri Ir Nizar Jamaluddin terhadap Kerajaan Persekutuan dan Kementerian Pendidikan kerana telah melanggar Perlembagaan negara yang memelihara Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan.
Mohammad Syawwaal Mohammad Nizar Jamaluddin, 10 telah menyaman kerajaan pada tahun 2006 beserta beberapa pelajar sekolah yang lain kerana melaksanakan dasar yang menyebabkan sebilangan besar para pelajar khususnya kaum Melayu tercicir dalam mencapai kejayaan di kedua-dua mata pelajaran itu.
Demikian dinyatakan sendiri oleh ayah beliau, Nizar dalam ceramahnya di Felcra Kg Serigala, dekat sini malam tadi.
Katanya PPSMI membawa kesan yang negatif ke atas pencapaian keputusan peperiksaan pelajar-pelajar Melayu khususnya di luar bandar
"Kita dalam Pakatan Rakyat sudah lama membantah PPSMI dan memperjuangkan bahasa rasmi yang juga ingin dilenyapkan oleh Umno seperti mana yang berlaku ke atas tulisan jawi.
"Anak saya dan beberapa yang lain telah bertindak menyaman kerajaan kerana mencabuli perlembagaan negara yang melindungi bahasa ibunda," katanya yang turut dibantu dan diwakili oleh tujuh peguam antaranya Hanipa Maidin dan Amiruddin.
Sehingga kini katanya, kes tersebut masih dikesampingkan oleh Umno-BN yang jelas tidak menitik beratkan masalah yang dihadapi oleh para pelajar khususnya luar bandar dan mengabaikan tanggungjawab mendaulatkan Bahasa Melayu.
Dalam hal berkaitan Lajnah Pendidikan PAS Pusat akan turut menganjurkan 'Himpunan dan Ikrar : Mansuhkan PPSMI' esok (23 Februari) di Dewan Perhimpunan Cina Selangor jam 9.00 malam.
Program ini akan dihadiri pimpinan tertinggi Pakatan Rakyat antaranya, Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang; Ketua Umum KeADILan, Dato' Seri Anwar Ibrahim; Pengerusi GMP, Dato' Hassan Ahmad, Presiden Teras, Mohd Azmi Abdul Hamid; Penggiat Teater, Che Shamsudin Othman (Dinsman), Ahmad Lutfi Othman dan Wakil-Wakil NGO.
Majlis akan bermula dengan Ucapan Pengarah Program, Salleh Farmin dan diikuti Ucapan Aluan Dato' Abu Bakar Chik selaku Pengerusi Lajnah Pendidikan PAS Pusat dan diselangi dengan pembacaan sajak oleh Dinsman.
Sebelum ucap utama, satu bacaan 'Sinopsis Perjuangan Bahasa' akan dipersembahkan dan diikuti dengan bacaan Ikrar Mansuhkan PPSMI oleh pimpinan-pimpinan yang dilantik.- azm _
Tiada ulasan:
Catat Ulasan