Jumaat, 27 Februari 2009

Tindakan samseng Pemuda Umno di Parlimen memalukan!


Dewan Pemuda Pas Wilayah Persekutuan (Pemudawilayah) mengutuk sekeras-kerasnya tindakan anggota pemuda Umno yang menyerang ahli-ahli Parlimen Pakatan Rakyat di Parlimen semalam. Ini adalah tindakan anarki yang pertama dilaporkan berlaku dalam kawasan parlimen.

Dalam kejadian itu, ahli Parlimen Pakatan Wilayah Persekutuan dari Parlimen Segambut, YB Lim Lip Eng (DAP) turut dipukul dibahagian muka dan badan setelah cuba melindungi Pengerusi DAP YB Karpal Singh.


Serangan itu diketuai oleh tiga Ketua Pemuda Umno Bahagian iaitu, Ungku Salleh Ungku Jamal (ketua Pemuda Umno Serdang), Megat Zulkarnain Omar Din (ketua Pemuda Umno Gombak) dan Lat Sharizal Abdullah (ketua Pemuda Umno PJ Utara).

Kami memahami kekalutan dan tekanan yang dialami oleh pemuda Umno setelah Karpal membuat dakwaan di Parlimen bahawa 2 peluru beserta surat ugutan yang diterima beliau baru-baru ini adalah dari Pemuda Umno.

Tetapi itu bukanlah alasan untuk mereka tunjuk perangai samseng dengan memukul ahli Parlimen sesukahati, terutamanya dalam kawasan Parlimen.

Anggota Keselamatan Parlimen Tak Buat Kerja!

Pemudawilayah juga mempersoalkan sikap anggota keselamatan Parlimen yang membiarkan sahaja insiden itu berlaku dihadapan mata dan itu amat memalukan bagi institusi Parlimen dinegara ini. Sewajarnya hukuman tatatertib diambil ke atas mereka kerana gagal menjalankan tugas!

Seandainya perkara yang sama berlaku kepada ahli Parlimen BN, pastinya mereka akan bertindak lebih pantas, malangnya yang diserang itu adalah ahli Parlimen Pakatan yang mana sasaran utama mereka adalah Karpal yang juga seorang OKU yang lumpuh.

Samseng Pemuda Umno Ancam Keselamatan Negara

Tindakan bacul pemuda Umno itu wajar dilihat sebagai satu ancaman kepada kredibiliti sistem keselamatan negara.

Jika semalam mereka berani memukul ahli parlimen di dalam kawasan Parlimen tidak mustahil jika pada masa lain mereka boleh mengulanginya ditempat lain.

Mereka perlu dihukum!

Pemudawilayah mendesak agar pihak Polis mendakwa mereka kerana menyerang anggota Parlimen yang juga penjawat awam itu.

Pemudawilayah mendesak agar Lembaga Displin Umno mengambil tindakkan untuk mengajar ahli-ahli mereka yang biadap itu. Pemudawilayah menuntut agar Pemuda Umno menghormati undang-undang dan Perlembagaan.

Sebagai ahli politik muda seharusnya mereka memahami apa yang harus dilakukan. Pemuda Umno jangan berlagak samseng, gunakan kepala otak untuk bertindak!

Mereka sewajarnya membuat laporan Polis bagi menafikan tuduhan Karpal itu atau mendakwa Karpal jika tidak berpuashati. Menyerang ahli Parlimen di parlimen bukanlah budaya rakyat negara ini dan pemuda Umno sudah menunjukkan belang samseng mereka yang sebenarnya semalam . Sekali lagi kami tegaskan bahawa kejadian itu amat memalukan bagi negara ini!

Herman Samsudeen
Ketua Penerangan
Dewan Pemuda Pas Wilayah Pesekutuan

Tiada ulasan:

Catat Ulasan