Rabu, 18 Februari 2009

Istilah Baru: Tahap Amalan Demokrasi Yang Bertanggungjawab (akauntabiliti)

" Mari kita berbicara tentang tahap amalan demokrasi yang bertanggungjawab (akauntabiliti). Saya tidak menemui rangkai kata perkataan ini sehinggalah hari ini apabila membelek akhbar Utusan Malaysia, ia diungkapkan oleh seorang yang disifatkan sebagai pakar Perlembagaan Persekutuan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim. Beliau berkata demikian semasa mengulas isu gambar tidak senonoh yang membabitkan Exco Kerajaan Negeri Selangor, YB Elizabeth Wong. link



Alhamdulillah, rupanya masih wujud di Malaysia istilah tahap amalan demokrasi yang bertanggungjawab. Saya sangkakan ia sudah dimuziumkan dan dipatenkan sebagai warisan sejarah dan akan diletakkan sebaris dengan fosil dinosour.

Rupanya apabila heboh tentang gambar Elizabeth Wong, istilah ini disiarkan kembali oleh akhbar Utusan Malaysia. Mungkinkah editor, wartawan atau Rais sendiri terpaksa membelek kamus bagi mencari istilah yang sesuai untuk mengungkapkan pandangan ini?

Kenapa saya berkata demikian? Ya, bukan setakat saya, bahkan rakyat Malaysia yang waras pastinya akan tercengang kehairanan atau setidak-tidaknya tersenyum sinis bila membaca istilah ini. Apatah lagi, ia diungkap ialah seorang pemimpin parti yang tentunya paling menghargai demokrasi iaitu UMNO!

Hakikatnya, UMNO sama sekali tidak layak bercakap soal tahap amalan demokrasi yang bertanggungjawab. Ia boleh disebut tetapi tidak melalui lidah kotor UMNO. Kebusukan dan kenajisan yang melumuri UMNO sama sekali tidak membenarkan mereka menuturkan kata-kata ini.

Apa tidaknya, dua minggu sebelum isu Elizabeth ini timbul, bukankah UMNO yang memperkosa demokrasi di Perak? Bukankah pemimpin UMNO yang bernama Najib itulah yang timbul bersama dua orang ADUN Perak selepas kehilangan mereka selama beberapa hari? Lantas, kemunculan tiba-tiba itu diiringi dengan pengumuman lompat parti. Bukan sekadar itu, bahkan UMNO jugalah yang membelakangkan prinsip demokrasi dan undang-undang tubuh negeri dengan menafikan jawatan menteri besar Perak yang sah yang disandang oleh YAB Datuk Seri Nizar Jamaluddin.

Tindakan ini pada hemat UMNO ialah satu langkah bijaksana. Padahal mereka lupa, generasi muda hari ini akan menaruh dendam kesumat yang berpanjangan terhadap pemerkosaan UMNO ke atas demokrasi. UMNO yang memijak-mijak demokrasi itulah yang hari ini bercakap tentang tahap amalan demokrasi yang bertanggungjawab! Aduuh loyanya.

Kalaulah disenaraikan tindakan-tindakan tidak demokratik UMNO sepanjang sejarah, ternyata tidak mencukup dakwat dan pena. Apatah lagi jika bercakap soal moral sebagai satu prinsip akauntabiliti yang sepatutnya dijunjung oleh pemimpin, UMNO ternyata berada di galaksi yang lain.

Saya menyokong penuh jika Elizabeth Wong meletakkan jawatan sebagai menandakan sikap bertanggungjawab beliau dan untuk tidak menjadi bebanan kepada perjuangan yang didokong oleh rakyat. Tapi maaflah, saya bimbang akan termuntah jika yang mendesak perletakan jawatan itu ialah UMNO di atas dasar moral, akhlak dan tahap amalan demokrasi yang bertanggungjawab!

http://ahmadfadhli.wordpress.com
18 Februari 2009"

Tiada ulasan:

Catat Ulasan