Rabu, 18 Februari 2009

Isu Elizabeth, media beri gambaran buruk kepada Pakatan Rakyat

Sejak hari Isnin lepas, saya telah mendapat panggilan telefon yang bertalu-talu dari pelbagai wartawan memohon pandangan saya tentang kes yang melibatkan rakan Exco, YB Elizabeth Wong.

Saya telah memilih untuk tidak memberi sebarang ulasan kerana adalah tidak adil untuk memberi komen berdasarkan fakta-fakta yang diterima dari pihak ketiga. Tambahan pula, tujuan kebanyakan media arus perdana hanyalah untuk memberi gambaran yang buruk terhadap Pakatan Rakyat.

Contohnya kenyataan akhbar PAS Selangor tentang kejadian ini telah tidak disiarkan dengan sepenuhnya mungkin bertujuan untuk menunjukkan seolah-olah parti-parti Pakatan Rakyat sedang berbalah.

Tiga hari selepas berita yang melibatkan YB Elizabeth mula disiarkan, banyak pandangan dan ulasan telah disiarkan dari pelbagai pihak dan mungkin tidak perlu lagi bagi saya untuk membuat sebarang komen.

Walau bagaimanapun saya ingin menyatakan bahawa saya kurang bersetuju dengan mereka yang berkata BN yang merancang untuk menjatuhkan YB Elizabeth. Saya berpendapat motivasi mereka yang melakukan kerja-kerja terkeji ini mungkin bukan politik semata-mata tetapi juga ekonomi.

Elizabeth terkenal sebagai seorang aktivis alam sekitar. Beliau tegas di dalam usaha-usaha untuk melindungi alam semulajadi. Saya yakin ramai yang tidak puas hati dengan ketegasan beliau ini.

Sama ada pemaju yang tidak boleh melakukan sebarang pembangunan di cerun kelas 3 dan 4 kerana polisi Kerajaan Negeri yang menghalang pembinaan di cerun-cerun itu atau pemilik kilang yang pernah diambil tindakan kerana mencemar alam sekitar.

Jika ini benar maka saya amat bimbang kerana Exco-Exco lain yang tidak �memihak� kepada pihak-pihak tertentu akan turut menjadi mangsa. Hari ini mungkin foto-foto YB Elizabeth, esok mungkin Exco-Exco yang lain akan diperangkap. Bukan susah untuk memerangkap atau memfitnah seseorang. Seorang lagi Exco, YB Dr. Halimah Ali baru-baru ini difitnah telah ditangkap berkhalwat walhal pada ketika itu beliau berada di dalam satu majlis rasmi dan JAIS menafikannya.

Hanya Allah SWT yang mengetahui apa yang akan berlaku selepas ini tetapi Selangor mungkin akan kehilangan seorang Exco yang berwibawa, tegas, prihatin dan adil. Beliau lantang memperjuangkan hak seluruh rakyat Malaysia tidak kira dari apa bangsa dan agama sekalipun.

Pernah beliau bersungguh-sungguh mempertahankan hak sebuah sekolah agama di Lembah Jaya, Ampang ke atas tanah mereka yang telah diberikan kepada sebuah syarikat pemaju.

Banyak pihak mahu YB Elizabeth dikenakan tindakan jika terdapat sebarang salah laku tetapi trauma yang beliau lalui sejak Isnin lepas mungkin sudah memadai sebagai satu hukuman.

Iskandar Abdul Samad

Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan_

Tiada ulasan:

Catat Ulasan