Dinsman
Mon | Feb 23, 09 | 10:47:39 pm MYT
Tujuh orang AJK Paksi (Seniman Paksi Rakyat) yang berjumpa Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (KeADILan), Tian Chua, pada malam Ahad 15 Februari lalu di pejabat khidmatnya di Sentul, berpuas hati dengan hasil perbincangan yang berlangsung kira-kira satu jam setengah itu.
Tujuan Paksi bertemu Ketua Penerangan KeADILan itu untuk menyatakan pandangan Paksi bahawa KeADILan pada umumnya kurang memberi perhatian kepada hal-hal kesenian dan kebudayaan. Paksi ingin melihat kemungkinan apakah hal itu dapat diperbaiki.
Tian Chua menerima pandangan Paksi secara terbuka, dan dia pun turut menyatakan pandangan bahawa secara umumnya di Malaysia golongan seniman dan budayawan berada di barisan belakang dalam perjuangan rakyat menuntut perubahan (menentang kezaliman). Ini berbeza dengan di Indonesia, katanya. Di Indonesia golongan seniman berada di barisan depan, mendahului orang-orang politik.
Zaman Reformasi Indonesia penuh dengan lagu-lagu perjuangan dan karya-karya seni yang menyatakan suara rakyat menuntut perubahan, sedangkan di negara kita tidak banyak karya-karya seni sedemikian.
Tian Chua mengaku yang KeADILan kurang memberi perhatian kepada hal-hal kesenian dan kebudayaan, dan lebih memberi tumpuan kepada politik. Bukanlah disebabkan kerana pilihan atau dasar parti itu, tetapi kerana memang tidak ramai orang yang berminat dalam kebudayaan berada di dalam parti.
Maka dia mengalu-alukan Paksi untuk mengaktifkan kegiatan kesenian dan menghasilkan lebih banyak karya sastera dan seni yang bertema perjuangan. Dia berjanji akan membawa perkara ini kepada pihak pimpinan KeADILan, dan meminta pimpinan KeADILan supaya memberi sokongan kepada Paksi bagi membanyakkan aktiviti kesenian.
Bercakap budaya dengan Tian Chua seolah-olah kita bercakap budaya dengan kawan-kawan dari golongan budayawan sendiri. Bukan sahaja dia mudah memahami maksud dan tiujuan kita, tetapi juga dapat mengembangkan lagi pemikiran kita mengenai keperluan terhadap kebudayaan.
Misalnya mengenai betapa pentingnya karya-karya seni yang dihasilkan sebagai rakaman zaman reformasi yang dapat merentasi zaman, seperti karya-karya Edward Said, katanya, yang bukan sekadar merakamkan perjuangan Palestin, tetapi terus menjadi bacaan bermutu yang sarat pemikiran dan merentasi sempadan (masa dan tempat).
Dia sendiri menyatakan bahawa KeADILan memang memerlukan kepada aktiviti dan karya-karya seni bermutu, yang dapat membantu ke arah membentuk peribadi dan personaliti ahli-ahli parti yang lebih berkualiti.
Sebagai sebuah parti yang baru, yang lahir hasil daripada kebangkitan rakyat yang kebanyakannya dari golongan bawah, KeADILan menghadapi semacam kekosongan di peringkat pertengahan. Di peringkat atas terdapat para pemimpin atasan, di peringkat bawah terdapat para penyokong parti yang ramai, tetapi di peringkat pertengahannya agak kosong. Golongan seperti seniman, ilmuan dan tokoh-tokoh yang boleh memberi pengisian kepada parti, tidak ramai. Hal ini perlu diatasi, katanya.
Sebagai langkah awal, Tian Chua bercadang untuk menganjurkan suatu bengkel budaya kepada pihak tertentu di dalam KeADILan. Ini suatu langkah yang sangat baik, dan semestinya disokong 100 peratus oleh Paksi. Memang faktor kurangnya kesedaran budaya di kalangan masyarakat Malaysia pada umumnya hari ini sangat dirasakan oleh Paksi. Disebabkan faktor inilah, antaranya, maka PPSMI (pengajaran-pembelajaran sains-matematik dalam bahasa Inggeris) boleh berlangsung selama enam tahun tanpa mendapat tentangan yang berkesan dari rakyat.
Sekiranya rakyat mempunyai kesedaran budaya, tahu dan kenal yang mana budayanya dan yang mana budaya asing, semestinya PPSMI itu tidak akan dapat dilaksanakan. Selama berpuluh tahun sejak Merdeka para pemimpin kita (yang mempunyai kesedaran budaya) berjuang bagi mendaulatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa ilmu, maka setelah perjuangan itu berjaya dicapai, dengan mudahnya sahaja ia dimusnahkan oleh para pemimpin baru yang tidak mempunyai kesedaran budaya. Alangkah tragisnya.
Selain itu Tian Chua juga bersetuju untuk mengadakan suatu dialog budaya antara parti-parti di dalam Pakatan Rakyat, iaitu KeADILan, PAS dan DAP. Ini pun suatu langkah bijak, ke arah mencari persefahaman dan mendekatkan lagi hubungan antara parti-parti komponen Pakatan. Barangkali secara tidak langsung ia juga akan dapat mengurangkan ketegangan politik antara parti-parti berkenaan.
Seperkara lagi yang dipersetujui oleh Tian Chua, selaku Ketua Penerangan KeADILan, ialah untuk menambah pengisian budaya di dalam akhbar Suara Keadilan. Kalau mungkin, katanya, akan mengadakannya dalam bentuk 'sisipan' sebanyak empat halaman.
Demikianlah sekurang-kurangnya tiga program khas yang telah dicapai dalam pertemuan awal Paksi dengan Ketua Penerangan KeADILan, di samping beberapa persefahaman yang dia akan turut membantu program-program Paksi yang lain.
Pada mulanya pihak Paksi bercadang untuk mengemukakan cadangan kepada Tian Chua supaya KeADILan menubuhkan Biro Kebudayaan, agar mereka boleh memberi perhatian yang lebih kepada perkara-perkara seni dan budaya. Tetapi sewaktu perbincangan berlangsung, saya sendiri berfikir bahawa sekiranya KeADILan menubuhkan Biro Kebudayaan dan melantik seseorang bagi mengetuainya, belum tentu orang yang dilantik itu akan sesuai dan berkelayakan seperti Tian Chua sendiri.
Oleh yang demikian cadangan yang difikirkan lebih awal itu pun tidak disuarakan oleh sesiapa pun di kalangan ajk Paksi. Barangkali tujuh orang ajk Paksi yang hadir malam itu bersetuju secara tanpa berunding, biarlah Tian Chua yang mengetuai hal ehwal kesenian dan kebudayaan dalam PKR. Perbincangan malam itupun telah menjanjikan suatu perkembangan yang amat menggalakkan.
* Penulis boleh dihubungi dengan emel dinsman_49@yahoo.com.myAlamat email ini telah dilindungi dari spam bots, anda perlukan Javascript enabled untuk melihatnya atau SMS 0136362408 _
Tiada ulasan:
Catat Ulasan