Ahad, 22 Februari 2009

MB Nizar kosongkan kediaman rasmi hari ini

IPOH, 22 Feb (Hrkh) - Menteri Besar Perak Pakatan Rakyat, Dato' Seri Mohammad Nizar Jamaluddin mulai mengosongkan kediaman rasmi Menteri Besar di sini hari ini dan beliau akan berpindah ke satu tempat yang berdekatan.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pemberita selepas majlis tahlil dan doa selamat sempena perpisahan 'sementara' di kediaman rasminya semalam.

Majlis perpisahan 'sementara' itu turut dihadiri oleh pimpinan PAS Negeri Perak dan KeADILan Negeri serta penyokong Pakatan Rakyat.

Beliau dijadual keluar dari kediaman rasmi itu sekitar 10.00 ke 11.00 pagi ini.

"Saya tiada banyak sangat barang untuk dipindah keluar dari sini," Kata Nizar.

Sejak kerajaan negeri pimpinan Pakatan Rakyat digulingkan dengan cara yang tidak bermoral oleh BN pada 6 Febuari lalu, beliau dan pimpinan Pakatan Rakyar telah membuat keputusan untuk tidak akan keluar dari kediaman rasmi itu tetapi bagi menghormati permintaan Setiausaha Kerajaan Negeri yang memohon rumah itu dikosongkan paling lewat pada 27 Februari ini, beliau akur dengan arahan tersebut.

Walau bagaimanapun tarikh sebenar kediaman itu akan diserahkan ialah pada 27 Februari ini.

Sementara itu Pegawai Khas Menteri Besar, Amran Harun memberitahu penyerahan kunci berkenaan akan dibuat seperti yang diarahkan melalui surat daripada Setiausaha Kerajaan Negeri Perak yang yang mahu kediaman itu dikosongkan selewat lewatnya 27 Februari ini.

"Kediaman ini akan terus digunakan untuk pelbagai program keilmuan seperti sembahyang hajat, tahlil dan aktiviti keagaaman sehinggalah tarikh 29 Februari," katanya.

Menurutnya Menteri Besar akan berpindah ke lokasi baru di sekitar bandar raya Ipoh tetapi lokasinya dirahsiakan untuk keselamatan dan menghormati keluarga beliau,

Satu majlis khas akan diadakan pagi ini bagi meraikan warga media yang telah bertungkus lumus menjalankan tugas sejak 4 Februari lepas membuat liputan mengenai rampasan kuasa kerajaan negeri Perak.

"Kami ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua warga media yang bekerja siang dan malam melaporkan setiap kejadian dan pengumuman yang dibuat," katanya. - mns_

Tiada ulasan:

Catat Ulasan