Sabtu, 21 Februari 2009

PM pasang 'jerat besar' pastikan Najib tidak jadi PM?

KUALA LUMPUR, 21 Feb (Hrkh) - Timbul persoalan apakah Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi sebenarnya tidak gembira dengan apa yang berlaku di Perak walaupun Barisan Nasional (BN) berjaya merampas kerajaan negeri?
Mengulas isu ini, Ahli Parlimen Telok Kemang, Dato' Kamarul Baharin Abbas yang juga bekas 'orang kuat' Umno berkata, jika difikirkan secara mendalam, rampasan kuasa yang berlaku di Perak adalah tidak mengikut Undang-undang Tubuh Negeri dan Perlembagaan Persekutuan.

"Mungkinkah ini satu perangkap untuk Dato' Seri Najib Tun Razak? Cuba kita renung bagaimana Najib hendak merampas jawatan Presiden Umno," katanya yang juga ahli Majlis Tertinggi KeADILan.

Setelah pilihan raya Umum lalu, apabila BN mengalami kejatuhan yang teruk, Najib melalui Mahathir telah menghentam Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Badawi, kata Kamarul.

Ketika itu tuduhan dilemparkan ke atas Abdulah yang dikatakan perlu bertanggungjawab di atas kekalahan pilihan raya tersebut, katanya.

"Sebenarnya siapakah yang lebih bertanggungjawab di atas kekalahan tersebut? Dah tentulah Pengarah Pilihan raya BN iaitu Najib sendiri," katanya.

Setelah desakan daripada semua pihak dalam Umno yang mahukan Abdullah Badawi menyerahkan kuasa dan tampuk kepimpinan kepada Najib, maka Abdullah pun setuju untuk menyerahkan kuasannya kepada Najib pada 2010, katanya.

Tetapi Najib menurutnya tidak senang dengan tarikh itu dan meminta Naib Presiden Umno, Tan Sri Muhyidin Yassin membuat serangan kepada Abdullah Badawi meminta harus dipercepatkan lagi pada Mac 2009.

"Kita lihat Abdullah melenting dengan begitu marah sekali. Najib telah membuat perkiraan dengan Muhyidin untuk menjadi Timbalannya nanti," katanya.

"Siapa yang tidak tahu sejarah Muhyidin Yassin semasa menjadi MB Johor dulu. Habis semua tanah-tanah di Johor dijual kepada taukeh Singapura. Perangainya lebih kurang sama dengan Najib dalam bab-bab duit dan komisyen ni. Sebab itu Najib selesa berganding dengannya," dakwanya.

Dengan pelbagai desakan akhirnya Abdullah memberikan laluan mengadakan pemilihan dalam Umno pada kali ini dengan menyatakan hasrat tidak lagi bertanding untuk jawatan Presiden Umno, katanya.

Abdullah katanya mengambil masa yang panjang untuk memikirkan untuk tidak bertanding jawatan Presiden Umno, oleh yang demikian Najib mendapat pencalonan 'solid' bagi jawatan Presiden Umno.

"Abdullah tersengeh kerana terdapat 900 lebih laporan rasuah di dalam pemilihan UMNO kali ini. Maka pada penghujung 2008 Abdullah telah memperkenalkan SPRM yang berkuatkuasa serta merta.

"Maka berjalanlah SPRM dengan panduan Abdullah Badawi. Maka tangkapan demi tangkapan dibuat dan kebanyakkannya berlaku di Pahang. Mengapa di Pahang?," katanya.

Semasa pilihan raya kecil (PRK) Kuala Terengganu, Abdullah telah seperti biasa menugaskan Najib menjadi Pengarah Pilihan raya lagi, katanya.

"Abdullah mahu menguji kali kedua selepas Permatang Pauh. Keputusanya nyata Najib gagal lagi. Abdullah tersengeh di luar negeri. Ternyata bukan silapnya selama ini tetapi silap Najib fikirnya," katanya.

Najib menurutnya tidak perasan jerat yang telah dipasang oleh Abdullah Badawi, kerana perasaan untuk menjadi Presiden Umno dan Perdana Menteri telah menghayalkannya.

Maka untuk menjadi 'First Lady', 'Big Mama' (Datin Seri Rosmah Mansor) pun setiap hari keluar televisyen memungut derma untuk Gaza, sementara Najib telah memulakan gerak kerjanya dengan menggulingkan kerajaan sah Pakatan Rakyat di Perak, katanya.

"Abdullah tersenggeh lagi. Menjadi jeratnya kali ini. Hari demi hari semakin hampir detik Persidangan Umno maka Abdullah harus segera membunuh politik Najib.

"Abdullah telah menggumpulkan segala bukti rasuah dan salahlaku Najib, maka perbicaraan Altantuya telah dimulakan. Kambing-kambing hitam telah bersuara. Terkini si kambing telah meminta agar Razak Baginda didakwa semula," katanya.

Pada persidangan Dewan kali ini Abdullah telah menempelak Najib melalui titah Yang Dipertuan Agong. Walaupun kertas kerja ISA untuk Nizar dan Karpal telah disediakan oleh Syed Hamid tetapi Abdullah dengan tegas menolaknya.

Selepas ini Abdullah selaku Presiden UMNO akan membatalkan seluruh mesyuarat UMNO Bahagian kerana terdapatnya rasuah yang begitu banyak. Abdullah akan mengarahkan persidangan UMNO diadakan semula di semua peringkat dengan pengawasan yang ketat.

"Ingat! Abdullah masih punya kuasa sebagai Presiden dan PM setakat ini. Apabila diadakan semula mesyuarat semua peringkat tanpa duit berjalan, maka akan hancurlah Umno.

"Dengan sedikit ugutan maka selamatlah Abdullah sebagai presiden UMNO lagi, maka Najib akan membuat kenyataan bahawa beliau belum bersedia menjadi Presiden dan PM," katanya.

Justeru jika Najib melawan maka nasibnya akan sama dengan Anwar dahulu, namun adakah Najib akan sanggup untuk menanggung malu seperti Anwar, soalnya.

"Tentunya tidak! Kerana Najib adalah seorang yang pengecut," katanya. - mns_

Tiada ulasan:

Catat Ulasan