Sabtu, 21 Februari 2009

Polis belanja besar di Kuala Terengganu, jauh melebihi RM15 juta

KUALA LUMPUR, 21 Feb (Hrkh) - Jumlah RM15.153 juta yang telah dibelanjakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi membiayai anggotanya pada pilihan raya kecil Kuala Terengganu 17 Januari lalu diragui.
Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Abdul Wahid Endut tidak menolak kemungkinan jumlah yang dinyatakan Timbalan Menteri Dalam Negeri, Dato' Chor Chee Heung dalam sesi soal jawab sidang Parlimen baru-baru ini kurang daripada jumlah sebenar yang elah dibelanjakan.

Abdul Wahid juga beranggapan polis telah menjadi alat kepada BN sewaktu pilihan raya kecil itu.

"Anggota polis yang ramai dalam satu pilihan raya kecil seperti di Kuala Terengganu seolah-olah hendak pergi berperang, siap diiringi dengan helikopter serta kereta perisai. Mentang-mentanglah calon BN merupakan bekas Timbalan Menteri Dalam Negeri, maka segala kemudahan rakyat digunakan begitu rupa tanpa alasan yang cukup munasabah.

"Gambaran awal seolah-olah di Terengganu akan berlaku keganasan dan huru hara. Sedangkan selama ini pada setiap majlis ceramah langsung tidak mempunyai sebarang masalah, tetapi kami pernah ditembak dengan gas pemedih mata, malah ada kes membabitkan peluru hidup. Cukuplah polis menjadi alat kepada BN dan menimbulkan kemarahan orang ramai," katanya sewaktu dihubungi Harakah.

Jelas Abdul Wahid, sungguhpun dinyatakan perbelanjaan yang agak besar diperuntukkan, beliau difahamkan anggota polis yang bertugas sepanjang pilihan raya kecil itu melahirkan rasa tidak puas hati serta tidak selesa dengan prasarana yang disediakan.

Sementara itu, Abdul Wahid turut meragui jumlah 3,376 anggota polis seperti didakwa terlibat dalam pilihan raya kecil tersebut.

"Saya rasakan angka tersebut jauh lebih besar jika dilihat pada kehadiran anggota polis sepanjang pilihan raya kecil itu. Kerajaan seharusnya tidak berselindung dengan tampil mengemukakan jumlah sebenar.Polis dan SPR juga saling bercanggah. Polis menyatakan SPR memerlukan anggota polis yang ramai. Sebaliknya SPR menyatakan pula apa perlunya anggota polis yang ramai.

"Kerajaan memberikan alasan jumlah yang besar itu bagi mengelakkan daripada berlaku sebarang keganasan. Selepas seminggu pilihan raya, kerajaan pula menyatakan pilihan raya kecil Terengganu adalah yang terbaik. Seolah-olah jika polis ramai tidak akan berlaku keganasan. Ini semua adalah karut," tegasnya.

Sehubungan itu, beliau tidak menolak kemungkinan jumlah anggota polis yang ramai juga akan ditempatkan dalam pilihan raya kecil Parlimen Bukit Gantang dan Dun Bukit Selambau pada 7 April akan datang.

Beliau juga melahirkan kebimbangan pembaziran akan terus berlaku semata-mata demi memperuntukkan keanggotaan pasukan keselamatan yang ramai.- azm _

Tiada ulasan:

Catat Ulasan