Sabtu, 21 Februari 2009

SPRM perlu profesional, jangan double standards dalam laksana tanggungjawab - Peguam MB Selangor

SHAH ALAM, 21 Feb (Hrkh) - Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim melalui peguam beliau, Sankara N Nair mengesa supaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bertindak profesional dalam isu kereta dan lembu.
"Sebagai peguam kepada Menteri Besar Selangor, saya sangat kesal dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh Ketua Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Dato' Ahmad Said Hamdan.

"Kononnya telah mendapat bukti-bukti yang sahih berhubungan dakwaan penyalahgunaan kuasa dalam isu pembelian kereta dan lembu," kata beliau dalam satu sidang media di Bangunan Sultan Abdul Salahuddin Abdul Aziz Shah (SASAA), tingkat 20 media petang semalam.

Hadir sama dalam sidang media itu, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan, Teresa Kok; Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Rawang, Gan Pei Nei.

Menurut beliau, sudah menjadi amalan SPRM yang selama ini tidak mendedahkan pada umum hasil siasatan yang dijalankannya.

Bagaimanapun katanya, badan itu kini telah lari dari matlamat asal penubuhannya untuk mencegah rasuah serta mengamalkan sikap 'double-standards'.

Beliau juga mempersoalkan kenapa Ketuanya, Dato' Ahmad Said Hamdan tidak membuat perkara yang sama apabila siasatan terhadap Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan dan Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail.

"Tindakan SPRM itu harus dipandang berat kerana anak guamnya merupakan seorang ahli politik pembangkang, ditonjolkan imej agar kelihatan bersalah dimata rakyat sebelum dibicarakan di mahkamah," tegasnya.

Sementara itu, Menteri Besar dalam satu kenyataan berkata, beliau dinasihatkan tidak boleh membuat sebarang komen dan kenyataan hanya boleh dibuat melalui peguamnya, S N Nair.

Dalam sidang media yang sama, Teresa Kok berkata kenyataan yang dibuat oleh Ketua SPRM itu berbaur politik dan 'double-standards'.

"Apa yang berlaku di sini mempunyai kaitan dengan keadaan yang berlaku di Perak, menunjukkan sokongan terhadap BN menurun akibat perbuatan mereka sendiri.

"Tindakan terhadap Abdul Khalid itu juga dilihat ada kaitan dengan pendedahan Ketua Pembangkang, Dato' Seri Anwar Ibrahim di Parlimen semalam, mengenai taktik yang digunakan oleh BN untuk memujuk wakil rakyat Pakatan supaya bertukar parti," katanya.

Dalam pada itu, Ronnie Liu ketika ditemui menyifatkan kenyataan Ketua Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Dato' Ahmad Said Hamdan sebagai sampah.

"Kerana sebagai ketua beliau sudah diberitahu oleh pegawai bahawa kereta peribadi Lexus yang digunakan oleh MB itu telah digunakan sebagai kenderaan rasmi. Segala kos penyelengaraan kenderaan itu sudah mendapat keizinan dari Pegawai Kewangan Negeri, Dato' Mohd Arif Abd. Rahman," katanya. - mns_

Tiada ulasan:

Catat Ulasan