Khamis, 5 Mac 2009
Altantuya Shaaribuu: Bagaimana dan Mengapa dia dibunuh?
" Shaaribu Setev adalah seorang lelaki yang kecewa dan marah. Namun disebalik wajah sedih lelaki Mongolia ini tersimpan semangat yang tinggi. Duduk di sebuah sofa di lobi sebuah hotel di Ulaan Battar sambil bergetar menahan angin beku yang bertiup, dia lelaki berumur 60 tahun itu bersiap sedia untuk melawan. Raut parasnya dibentuk dari segala penderitaan dan iklim yang melampau, dan renungannya yang dalam menceritakan semuanya.
“Anak perempuan saya dibunuh oleh orang Malaysia di bumi Malaysia. Namun mereka langsung tidak memohon maaf,” katanya yang juga seorang professor psikologi di Universiti Kebangsaan Mongolia.
Pembunuhan anak perempuannya, Altantuya Shaaribu, berlaku pada bulan Oktober 2006. Ini adalah jenayah bunuh yang berbeza dari yang lain berlaku di sebuah rantau di mana konflik-konflik perniagaan atau pertelingkahan politik yang remeh diselesaikan dengan muncung pistol. Segala yang berkaitan dengan kes ini, yang bermula pada tahun 2002 apabila syarikat Perancis-Sepanyol Armaris mencapai persetujuan untuk menjual tiga buah kapal selam kepada kerajaan Malaysia dengan harga satu bilion Euro, adalah luar dari kebiasaan. Kesan “kes Altantuya” ini di Perancis, Malaysia dan Mongolia belum lagi mencapai klimaknya. Pembunuhan gadis Mongolia berusia 28 tahun itu adalah akibat dari “komisen” berharga 114 juta daripada Armasi kepada rakan niaganya di Malaysia. “Komisyen” ini yang diakui oleh kerajaan Malaysia di dalam Parlimen di Kuala Lumpur, telah mencetus beberapa siri peristiwa yang membawa kepada pembunuhan Altantuya dan kehilangan beberapa orang saksi penting di dalam kes itu.
Sebuah laporan dari polis Malaysia, yang masih disimpan secara rahsia sehingga sekarang, mendedahkan secara terperinci bagaimana perempuan muda yang tergolong dalam golongan atasan Asia itu dibunuh. Di dalam dokumen tersebut, salah seorang pembunuhnya, seorang anggota polis dari Cawangan Khas bernama Sirul Omar, menjawab soalan-soalan yang ditanya oleh seorang pegawai di sebuah stesen polis yang berdekatan dengan tempat pembunuhan.
“Apabila perempuan Cina itu melihat saya mengeluarkan sepucuk pistol, dia merayu supaya dilepaskannya kerana dia sedang mengandung. Azilah (pegawai pemerintah kepada Sirul) menarik perempuan itu dan [menghumbannya] ke atas tanah. Saya segera menembak pada bahagian kiri mukanya. Kemudian Azilah menanggalkan pakaian perempuan itu dan memasukkan pakaian yang ditanggal itu ke dalam sebuah plastik hitam. Azilah mendapati tangan perempuan itu masih bergerak. Dia memerintahkan saya untuk menembak sekali lagi, dan saya melakukannya”, ujar Sirul. Ini adalah merupakan pengesahan yang pertama identiti pembunuh Altantuya. ” Kemudian kami mengusung mayatnya ke dalam hutan, Azilah membalut bahan letupan di sekeliling kaki, abdomen dan kepala perempuan itu dan kemudian kami meletupkannya.”
Pendedahan laporan tersebut di dalam akhbar Perancis *Liberation* adalah bab terbaru dalam kisah yang penuh warna-warni dan dramatik ini yang melibatkan penjual senjata Perancis, pawang Mongolia dan politikus-politikus Malaysia. Kes ini sangat sensitif kepada kerajaan Malaysia, kerana Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Najib Razak yang dijadualkan menjadi Perdana Menteri pada akhir bulan Mac nanti disyaki terlibat di dalam kes ini, tetapi ini juga kerana kes ini boleh memalukan DCNS, sebuah syarikat Perancis yang mengkhusus dalam pembinaan kapal laut tentera. Syarikat Perancis-Sepanyol Armaris, yang menjual Scorpene dan satu kapal selam Agosta kepada Malaysia pada bulan Jun 2002, dibeli oleh DCNS pada tahun 2007.
Dengan kecantikan dan keanggunannya yang memukau, Altantuya mengingatkan pada imej kacau seorang perempuan dari Timur Jauh bernama Mata Hari. Altantuya membesar di Saint Petersburg (Russia), kemudian belajar di Institut Pengurusan Ekonomi di Beijing. Di samping bertutur di dalam bahasa Inggeris, dia juga fasih di dalam bahasa Russia, Cina dan Korea. Sebagaimana yang telah ditakdirkan, semasa di Hong Kong dia bertemu dengan Abdul Razak Baginda pada tahun 2004. Baginda adalah seorang pakar keselamatan dan pengarah Malaysian Strategic Reseach Centre, sebuah badan pemikir yang pro-kerajaan. Tidak berapa lama kemudian hubungan mereka menjadi percintaan. Altantuya, atau dipanggil Tuya oleh teman-temannya, membuktikan bahawa dia adalah seorang pembantu yang berguna, menolong Baginda menterjemah bahasa Rusia ke bahasa Inggeris.
Jika Altantuya muda dan cantik, Baginda yang kaya dan menarik adalah seorang yang terkenal di kalangan elit Kuala Lumpur, terutama sekali kerana dia rapat dengan Timbalan Perdana Menteri Malaysia dan menteri Pertahanan, Najib Razak (baginda juga penasihat urusan keselamatannya). Baginda selalu bertemu dengan lingkungan-lingkungan yang sangat eksklusif di Kuala Lumpur, kadangkala ditemani oleh isterinya yang sah.
Baca seterusnya di SINI
Sumber : KERAJAAN RAKYAT
Tiada ulasan:
Catat Ulasan