Sumber: Malaysiakini
Rakyat akan mengumumkan malam ini nama calonnya dari PAS untuk bertanding dalam pilihanraya kecil Bukit Gantang pada 7 April depan.
Pengumuman tersebut akan dibuat oleh Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam satu ceramah di Padang Taman Kota, Taiping.
Menurut satu kenyataan PAS hari ini, Naib Presiden PKR, Mohd Azmin Ali dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng akan turut hadir di ceramah tersebut.
Beberapa nama disebut-sebut akan dipilih oleh pucuk pimpinan parti tersebut bertanding dalam pilihanraya kecil berkenaan.
Mereka adalah Menteri Besar Pakatan, Datuk Seri Mohd Nizar Jamaluddin; Naib Presiden PAS, Mohamad Sabu; dan ahli jawatankuasa PAS pusat, Idris Ahmad.
Bagaimanapun, ramai yang menjangka, Idris akan terpilih bertanding di kerusi tersebut.
Dalam pilihanraya umum lalu, Idris bertanding di kawasan Parlimen Jerlun, tetapi tewas kepada calon BN, Datuk Mukhriz Mahathir.
Calon BN
Barisan Nasional (BN) telah mengumumkan nama calonnya bagi pilihanraya tersebut pada 14 Mac lalu.
Beliau adalah Ismai Saffian, 49, yang merupakan pengarah sumber manusia dan khidmat pengurusan Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam Negara.
Ismail yang juga bekas ketua penerangan Umno bahagian, berasal dari Kampung Kubu, Bukit Gantang.
Pilihanraya kecil Parlimen Bukit Gantang diadakan berikutan kematian penyandang Roslan Shahrom daripada PAS pada 9 Februari lalu.
Penamaan calon akan berlangsung pada 29 Mac dan pengundian 7 April depan.
Dalam pilihanraya umum lalu, Roslan merampas kubu kuat BN itu dengan menewaskan Bendahari Umno Datuk Seri Azim Mohd Zabidi dan calon Bebas, M Morgan, dengan majoriti 1,566 undi.
Parlimen itu mempunyai 55,471 pengundi yang terdiri daripada 63.48 peratus pengundi Melayu, 26.77 peratus pengundi Cina, 9.71 peratus pengundi India dan lain-lain pengundi 0.4 peratus.
Terdapat tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di parlimen itu iaitu Changkat Jering, Trong dan Kuala Sepetang. Dalam pilihanraya umum lalu, BN menang di Trong manakala dua lagi dimenangi Parti Keadilan Rakyat.
http://addin77.blogspot.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan