Isnin, 23 Mac 2009

Hikayat UMNO

Gendang sudah dipalu. Panglima-panglima sudah bersiap sedia. Hanya menunggu saat dan ketika medan tempur dibuka maka bersilatlah panglima-panglima tadi menunjukkan kehandalan masing-masing.

Bukan siapa yang kuat akan menang tapi siapa yang licik akan menjadi juara. Berbondong-bondongah muncul watak Pak Kaduk bersorak sorai meraikan kemenangan panglima kertas sedang yang tewas pulang membawa dendam kesumat dan berikrar mematahkan kemenangan musuh tadi.

Yang menang akan meraikan kemenangan sehingga 40 hari 40 malam, yang kalah akan mendaki gunung mencari guru terhandal dan bertapa 40 hari 40 malam juga.

Itu kisah hikayat lama. Orang Melayu memang gemar dengan lagenda, mitos, tahyul, dan lain-lain. Begitu juga dengan UMNO sebuah parti Melayu yang penuh dengan lagenda, mitos, dan tahyul.

UMNO telah melalui zaman yang panjang. Hampir 3 generasi telah memaklumi tentang wujudnya UMNO yang diperolehi melalui pelajaran sejarah di sekolah mahupun di menara gading. Melalui denai sejarah yang panjang itu UMNO bukanlah semakin mantop (meminjam kata-kata Shamsul ghau-ghau) tetapi semakin terpinggir apabila makin hampir ke muka laut. UMNO tidak mahu bersedia menghadapi perubahan gelora yang semakin kencang. Akibatnya ia terdampar sebelum ombak memecah pantai.

UMNO (1946) telah karam apabila jawatan nakhoda direbut oleh puak-puak yang ingin memegang teraju utama. UMNO (1988) di bina kembali sebagai ganti kepada yang telah karam itu. Semangat UMNO (1946) masih kekal apabila sebahagian anak-anak kapal berpindah ke UMNO (1998) semata-mata untuk sama mengecapi nikmat belayar. Setelah kapal bertukar nakhoda, kapal mula goyah kerana nakhoda lama lebih berdisiplin tetapi nakhoda baru lebih bertimbang rasa. Namun kerana 2 keinginan dalam satu kapal maka nakhoda menjadi payah memilih antara belayar untuk merompak kapal lain atau memandu kapal dengan selamat untuk sampai ke destinasi.

Dua puak bertelagah pernah mencipta team A dan team B. Kini apabila bersatu kembali, puak-puak tersebut telah lupa pada ikrar nakhoda tua yang bersara awal. Pada mulanya kapal tersebut belayar dengan aman, semua anak-anak kapal merasa gembira kerana mendapat habuan masingmasing. Lama kelamaan ada tukang-tukang yang tidak dapat membaca isyarat yang dihantar nakhoda. Al-maklumlah nakhoda ini mempunyai visi yang tidak sama dengan nakhoda tua.

Sekarang UMNO menjadi tidak tenteram. Rupa-rupanya team A dan team B masih wujud walaupun dalam UMNO (1988). Tun Mahathir merasa bertanggungjawab kepada UMNO kerana beliaulah yang menubuhkannya. Sedangkan Tengku Razaleigh menginginkan UMNO (1998) kekal dengan semangat UMNO (1946). Apabila tiba giliran Datuk Seri Najib ingin menjadi Presiden UMNO dan Perdana Menteri, berbagai-bagai masalah melanda UMNO. Tun Mahathir inginkan Datuk Seri Najib dan Datuk Seri Muhyiddin Yasin berpasangan menerajui UMNO dan negara. Malangnya ada pihak-pihak lain yang ragu terhadap Datuk Seri Najib, antaranya Datuk Seri Anwar Ibrahim. Perkara ini disokong juga oleh Datuk Seri Abdul Hadi Awang. Tambahan pula Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi ingin meletakkan orangnya dalam saf kepimpinan UMNO.

Pemilihan UMNO nanti akan menyaksikan bagaimana UMNO akan menjadi pokok yang semakin reput setelah tewas mengejut dalam pilihan raya 2008. Puak-puak bertelagah dalam kepimpinan UMNO serta serangan di pihak luar akan memecahkan lagi dominasi UMNO.

Wujud semula team A dan team B. Tetapi kepala dan anak-anak buah yang tidak sama dengan kewujudan 1987 dahulu. Kesannya amat besar kepada parti orang Melayu ini serta negara.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan