KUALA LUMPUR, 5 Mac (Hrkh) - Kemuncak kepada rintihan dan bantahan rakyat khususnya pejuang bahasa yang mahu dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) dimansuhkan tidak diendahkan kerajaan menyebabkan Himpunan 100,000 rakyat ke Istana Negara pada 7 Mac ini (Sabtu) akan menjadi satu realiti yang tidak boleh dielakkan lagi.
Setiausaha Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP) Hasni Abas berkata sudah pelbagai cara dilakukan sekian lama termasuk menghantar memorandum ke Parlimen 17 Februari lalu bagi melihat satu usaha dan tindakan drastik kerajaan untuk memberi perhatian serius terhadap masalah PPSMI namun hasilnya mengecewakan.
"Himpunan 7 Mac ini adalah kemuncak dan ianya tidak akan berlaku sekiranya kerajaan mahu mendengar dan bertindak terhadap bantahan yang telah rakyat suarakan selama ini.
"Bagi yang cintakan bahasa nelayu dan mahu melihat anak bangsa serta pelajar tidak tercicir akibat acauan PPSMI, maka semua diseru untuk hadir pada himpunan raksasa sebagai tanda memberi sokongan," katanya ketika dihubungi Harakahdaily sebentar tadi.
Beliau positif bahawa himpunan itu nanti akan berjaya mengumpulkan sejumlah besar rakyat Malaysia yang cintakan bahasa untuk menyuarakan hasrat mereka kepada Yang DiPertuan Agong Tuanku Mizan agar dapat memberi perhatian terhadap isu bahasa yang dikesampingkan oleh pihak kerajaan.
"Kita mahu menunjukkan kepada kerajaan bahawa Bahasa Melayu juga boleh dijadikan bahasa ilmu yang baik untuk menguasai Sains dan Matematik
"Ini bukan perjuangan atau 'jalan' kita yang terakhir. Pasti Tuanku ada pertimbangannya dan kita juga akan bawa isu ini ke Majlis Raja-Raja jika masih dipandang sepi oleh kerajaan," katanya.
Sementara itu ketika ditanya berkaitan permit perhimpunan beliau menjelaskan terdapat beberapa masalah teknikal yang sedang diuruskan untuk mendapatkan kebenaran.
Ketika dihubungi, beliau sedang berada di Ibu Pejabat Kontijen Polis Kuala Lumpur (IPPKL) atas urusan permit himpunan yang telah dimohon semalam.
"Rakyat jangan bimbang, ini bukannya demonstrasi seperti di Korea, Indonesia atau Thailand yang berlaku insiden yang tidak diingini. Ini himpunan aman dan bergerak secara aman ke Istana Negara untuk sampaikan memorandum sahaja.
"Pihak polis akan mengawal keselamatan dan semoga matlamat kita pada hari Sabtu ini tercapai dengan kerjasama semua pihak termasuk pihak berkuasa," katanya.
GMP merancang berhimpun di tiga tempat di ibu negara � kompleks membeli-belah Sogo, Pasar Seni dan Masjid Negara � sebelum berarak beramai-ramai ke Istana Negara pada jam 2 petang.
Mereka merancang berarak dalam pakaian putih sebagai lambang pembersihan PPSMI, tanpa sebarang logo, bendera dan simbol parti-parti politik walaupun GMP turut disertai PAS dan KeADILan.
Selain Dr Hassan Ahmad, Sasterawan Negara A Samad Said dan pemimpin pembangkang termasuk penasihat dan Presiden PAS Dato' Seri Abdul Hadi Awang dan Penasihat KeADILan Dato' Seri Anwar Ibrahim dijadual hadir. _
Tiada ulasan:
Catat Ulasan