Khamis, 5 Mac 2009

Istana setuju terima memo anti-PPSMI



Istana Negara memberikan reaksi positif bagi menerima memorandum membantah pelaksanaan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI), Sabtu ini.

Persetujuan istana itu dianggap "kemenangan pertama" aktivis bahasa dan sastera dalam Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP) yang menganjurkan perhimpunan besar ke Istana Negara bagi menyerahkan memorandum bantahan kepada Yang di-Pertuan Agong.

Pengerusi GMP Datuk Dr Hassan Ahmad berkata istana tidak melarang majlis penyerahan memorandum tersebut.

Beliau dimaklumkan Tuanku Mizan Zainal Abidin tidak berada di istana pada masa yang dijadualkan dan memorandum tersebut akan diserahkan kepada seorang pegawai bagi pihak baginda.

Dr Hassan menambah, satu salinan memorandum tersebut telah disampaikan kepada istana melalui setiausaha sulit kanan Yang di-Pertuan Agong semalam.

Memorandum lapan halaman itu diserahkan awal, tambahnya, sebagai makluman kehadiran mereka di istana, petang 7 Mac ini.

GMP merancang berhimpun di tiga tempat di ibu negara – kompleks membeli-belah Sogo, Pasar Seni dan Masjid Negara – sebelum berarak beramai-ramai ke Istana Negara pada jam 2 petang.

Mereka merancang berarak dalam pakaian putih sebagai lambang pembersihan PPSMI, tanpa sebarang logo, bendera dan simbol parti-parti politik walaupun GMP turut disertai PAS dan PKR.

gmp protest 310108 photo sessionSelain Dr Hassan, Sasterawan Negara A Samad Said dan pemimpin pembangkang termasuk penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dijadual hadir.

Menjelang perhimpunan besar itu, GMP akan menghabiskan empat programnya di seluruh negara sebelum ceramah akhir di Markaz Tarbiah PAS di Taman Melewar, Gombak pada Jumaat ini.

Malam ini, satu forum isu PPSMI akan berlangsung di Universiti Islam Antarabangsa (UIA).

Selain Dr Hassan, ketua Pemuda PAS Salahuddin Ayub dan ahli parlimen BN Pasir Salak, Datuk Tajuddin Abdul Rahman turut membahaskan isu ini.

Ditanya tindakan lanjut GMP jika kerajaan tetap enggan melayan tuntutan mereka, Dr Hassan berkata gabungan itu akan terus memperjuangkan pemansuhan dasar kontroversi itu sehingga berjaya.

"Tidak ada tempoh tamat. Kita akan terus berjuang sehingga kembali kepada dasar asal (sebelum diperkenalkan PPSMI pada 2003)," katanya.

Sementara itu, Setiausaha GMP Hasni Abas berkata 1,000 anggota Unit Amal PAS dikerahkan bagi mengawal keadaan dan lalulintas supaya perhimpunan itu terkawal dan aman.

Pada mulanya, kata Hasni, GMP telah menghantar permohonan untuk mendapatkan permit berhimpun ke ibu pejabat polis persekutuan di Bukit Aman, Sabtu lalu.
Bagaimanapun, katanya, mereka dinasihatkan supaya mengemukakan permohonan itu kepada di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi.

Pada 17 Februari lalu, seramai 20 aktivis bahasa dan sastera GMP berarak ke Parlimen dari Tugu Negara bagi menyerahkan memorandum membantah PPSMI kepada ahli-ahli parlimen, termasuk Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Manakala pada 31 Januari pula, tokoh-tokoh utama GMP buat pertama kali turun ke jalanraya sempena pelancaran kempennya di pusat membeli-belah Sogo.

Mereka juga menabur 50,000 risalah mengenai kempen menentang dasar itu ketika pilihanraya kecil parlimen Kuala Terengganu, 17 Januari lepas.


!!" MEMBUJUR LALU MELINTANG PATAH ""!!
™ kaasiii peecaaahhh laaaaaa........®
http://zulmamakpng.blogspot.com/
" LAWAN TETAP LAWAN...!!!!, SUARA RAKYAT, SUARA KERAMAT...!!! "

Tiada ulasan:

Catat Ulasan