Apabila ada cadangan menubuhkan kerajaan campuran, bersuaralah tokoh-tokoh UMNO bahawa pembangkang mempunyai muslihat tertentu. Dan berkatalah Ketua UMNO Bahagian Cheras, jika PM terpedaya dengan muslihat Anwar, akibatnya UMNO akan lenyap dan kepentingan Melayu akan tergadai.
Politik tanah air mutakhir ini memperlihatkan bagaimana kedudukan UMNO yang dianggap parti yang unggul akan lenyap. Bagi sebuah parti politik secular, tidak adakah muslihat yang dilakukan oleh UMNO? Begitu juga dengan UMNO sebagai makhluk yang bersifat baharu tidak akan kekal buat selama-lamanya.
Orang Melayu yang beragama Islam belum tentu selamat jika bergantung kepada UMNO, kerana UMNO ibarat pohon yang rending nampak subur tetapi reput di dalam. Itulah UMNO yang sudah sampai saat kehancuran. Dan benarkah jika UMNO lenyap, kepentingan Melayu tergadai?
Selama UMNO/BN memerintah, apa yang tidak tergadai? Yang terbesar tergadai ialah aqidah. Perkara-perkara lain yang merupakan hak orang Melayu sepatutnya dipelihara oleh UMNO juga turut tergadai. Tanah air orang Melayu, agama orang Melayu dan yang terakhir usaha UMNO ialah menggadai Bahasa Melayu melalui PPSMI. Apa lagi yang kita nak harapkan kepada UMNO?
Oleh kerana itu ada ura-ura mencadangkan penubuhan kerajaan campuran kerana memandangkan UMNO sudah tidak mampu menjaga kepentingan orang Melayu dalam keadaan orang Melayu pula tidak bersatu. Orang Melayu telah berpecah kepada tiga golongan/puak iaitu penyokong UMNO, penyokong KeAdilan dan penyokong PAS. Maka cadangan itu tidak lain melainkan untuk menyatukan orang Melayu bagi kelangsungan survival umat Melayu.
Apapun hujah kita dalam memperkatakan perpecahan atau penyatuan umat Melayu ianya tidak akan keluar dari apa yang telah dijelaskan oleh Nabi kita Muhammad SAW. Dari sudut perpecahan Rasulullah menegaskan bahawa umatnya akan berpecah kepada 73 puak, hanya satu yang selamat, iaitu mereka yang berpegang kepada Quran dan sunnahnya.
Dari sudut penyatuan, agak sukar sekiranya orang Melayu tidak memiliki wahdatul fikr. Sempena sambutan Maulidur Rasul tahun ini, tema yang digunakan juga meminjam perkataan “wahdah” iaitu Wahdah Pemangkin Khaira Ummah. Temanya memang menarik. Apa yang sukar direalisasikan ialah khaira ummah, iaitu umat yang baik atau berkebajikan. Khaira ummah seperti yang dijelaskan dalam Quran ialah mereka yang melaksanakan tugas amar makruf, nahi mungkar.
Kesatuan umat mana-mana bangsa tidak tercapai jika tidak kembali kepada Quran dan Sunnah Rasullah SAW. Setiap orang yang mengaku beriman tidak boleh menolak hakikat bahawa Islam sahajalah yang dapat menyatukan ummah secara hakiki. Idea dan teori-teori ciptaan manusia dalam masalah perpaduan dan penyatuan tidak bertahan lama. Asas penyatuan yang unggul ialah keimanan. Ini telah dibuktikan oleh Rasulullah dalam peristiwa hijrah di mana baginda berjaya menyatukan kaum Muhajirin dengan kaum Ansar berasaskan keimanan.
Kita harap pimpinan dalam PR boleh mengambil iktibar dari apa yang berlaku dalam Negara selama UMNO/BN berkuasa. Jangan bersifat seperti kata pepatah kuman di seberang laut nampak, gajah di depan mata tak nampak. Jangan hanya melihat kelemahan dan kesilapan orang lain, tetapi tidak menyedari kelemahan kita sendiri. Pertingkatkan usaha kita demi mencapai matlamat parti-parti dalam PR iaitu untuk keadilan rakyat menentang rasuah dan salah guna kuasa. Biarpun dasar masing-masing parti berbeza, namun matlamatnya tetap sama.
Bani Hasyim
Padang Midin, Terengganu.
Note : Artikel ini telah pun dihantar ke ruangan Surat Pembaca akhbar Harakah. Namun, tiada harapan untuk keluar setelah penerbitannya digantung 3 bulan. Moga-moga ada hikmahnya. Ameen...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan