Kerajaan PR di Selangor akan membuat keputusan penting Rabu ini untuk menentukan samada Exco Kerajaan Negeri Selangor YB Eli dikekalkan jawatan sebagai Exco mahu pun ADUN. Sebelum ini telah banyak komen serta Poll yang telah dilakukan oleh orang ramai melalui blog dan website dan juga Poll yang telah dilakukan oleh media tempatan.
Kebanyakan komen dan Poll yang telah dijalankan berkehendakkan YB Eli terus kekal sebagai Exco dan ADUN di Selangor. Paling tidak pun, rakyat sebahagiannya mahukan YB Eli kekalkan ADUN dan melepaskan jawatan sebagai Exco.
Pandangan orang ramai yang telah membuat penilaian yang bijak ini wajib dijadikan panduan oleh pucuk pimpinan Kerajaan Negeri Selangor. Amat merbahaya bagi Kerajaan PR Selangor jika mereka memilih untuk menimbang segala kehendak dan tekanan yang diberikan oleh Umno. Umno tidak pernah ikhlas di dalam membantu rakyat Selangor bahkan Umno terutamanya di Selangor sedang berusaha gigih untuk menumbangkan kerajaan negeri yang ada sekarang.
Justeru itu, amat malang sekali jika PR di Selangor terpedaya dengan Umno yang tentu mahukan perpecahan di kalangan penyokong-penyokong PR di Selangor. Umno sedar bukan sedikit penyokong-penyokong YB Eli yang teguh berdiri di belakang wanita yang teraniaya tersebut. Sekiranya YB Eli dipecat, diminta mahupun diluluskan permohonannya untuk meletakkan jawatan sebagai Exco dan ADUN, maka percayalah, kerajaan negeri akan dianggap sama zalim dengan pihak yang menganiayai YB Eli.
Rakyat bukan bodoh sehinggakan tidak mampu untuk membezakan pemimpin yang bermaruah atau tidak. Rakyat tahu membezakan moral seseorang pemimpin, oleh sebab itu rakyat telah membuat keputusan bahawa YB Eli tidak melakukan kesalahan dan beliau dianiayai. YB Eli tidak meletupkan sesiapa dengan C4, YB Eli juga tidak pernah menerima jam tangan berharga RM 150,000.00 dan beliau tidak pernah melakukan rasuah atau politik wang.
Berkenaan dengan foto beliau yang di war-warkan itu, semua rakyat yang celik hati dan perasaan amat memahaminya dan kita faham keadaan sedemikian akan sentiasa berlaku bila-bila masa dan kepada sesiapa sahaja selagi ada manusia yang busuk hati dan berjiwa kotor.
Tidakkah salah seorang pemimpin Muslimat PAS juga pernah dikatakan ditangkap berkhalwat? Apakah kejadian yang berlaku beberapa tahun dahulu ke atas pemimpin PAS Mat Sabu di sebuah hotel di Kelantan bukan merupakan fitnah dan perangkap yang terancang ? Ini semua boleh terjadi kepada sesiapa sahaja. Apatah lagi YB Eli tidak pernah dibuktikan telah melakukan sesuatu yang menyalahi moral seperti yang telah terjadi kepada Chu Soi Lek.
Menjadi harapan kita, kerajaan PR Selangor akan terus membela nasib YB Eli sebagaimana rakyat Selangor turut membela nasib MB Tan Seri Khalid yang dikatakan melakukan penyelewengan berhubung dengan kes lembu dan kereta baru-baru ini.
Kepada pemimpin PAS di Selangor, jangan kita menilai moral dan akhlak YB Eli seperti kita menilai moral dan akhlak pemimpin dari parti kita. Jika di dalam PAS, pemimpin Muslimat yang tidak bertudung atau membuka aurat sahaja sudah dianggap tidak bermoral dan tidak layak dipilih sebagai pemimpin, Tetapi YB Eli bukan Muslimat PAS, justeru itu neraca lain harus diguna pakai oleh pimpinan PAS di Selangor bagi menilai Wakil Rakyat kesayangan ramai tersebut.
Oleh yang demikian, diharapkan semua pimpinan PR di Selangor akan membuat suatu keputusan yang adil dan bijaksana. Silap di dalam membuat keputusan akan membawa kita menyesal sepanjang masa kerana bukan mudah untuk menemui seorang pejuang rakyat dari golongan wanita yang cekal, jujur dan berani seperti YB Eli. Hidup YB Eli, rakyat sentiasa bersamamu ketika susah dan senang!!
WFAUZDIN NS
Tiada ulasan:
Catat Ulasan