Rabu, 18 Mac 2009
KJ perlu disiplinkan pemuda UMNO jika tidak mahu dimalukan
Umno khususnya dari sayap Pemudanya mulai merasa tekanan apabila kelihatan semakin jelas rakyat semakin menolak Umno terutamanya dari golongan muda. Jika dahulu, golongan muda yang menyokong pembangkang adalah kebanyakannya terdiri daripada golongan pelajar atau anak-anak muda di bandar, tetapi kini golongan muda di ceruk-ceruk kampong mulai mengenali parti yang bernama Umno itu. Bukti yang nyata adalah sebagaimana yang ditunjukkan oleh golongan muda di Permatang Pauh dan juga di Kuala Terengganu baru-baru ini. Terkini, di Perak di merata-rata tempat ceruk kampong, golongan muda telah bangkit dan mula belajar erti politik yang bersih dan mereka kini lebih ingin mengetahui erti politik di bawah Raja Berpelembagaan.
Krisis politik di Perak yang secara langsung telah melibatkan istana, menjadikan golongan ini semakin berpengetahuan tentang maksud kedaulatan rakyat dan mereka semakin arif tentang mainan politik kotor Umno. MB Perak, YAB Ir Nizar telah memainkan peranannya begitu baik sekali menjadikan beliau sebagai ikon politik di bumi Perak dewasa ini. Tidak keterlaluan jika dikatakan di dalam ketiga-tiga parti gabungan Pakatan Rakyat, PKR mempunyai tokoh reformasinya iaitu DS Anwar, DAP pula terdapatnya YAB Lim Guan Eng dan kini PAS mula menonjolkan YAB Ir Nizar sebagai tokoh ternama yang telah banyak melakukan Islah di Negeri Perak.
Pemuda Umno semakin gelabah, tambahan pula pimpinannya semakin gementar untuk menghadapi pemilihan pimpinan parti mereka tidak beberapa minggu lagi. Di antara ketiga-tiga calon Ketua Pemuda Umno, masing-masing ingin menjadi jaguh dan menunjukkan keberanian mereka. Khir Toyo lebih menonjol untuk menunjukkan `kejantanan'nya khususnya di Selangor, malangnya `ayam jantan' yang semakin lantang berkokok ini tidak menyedari ekornya dipenuhi tahi. Semakin nyaring lantangannya, semakin banyak tahi yang keluar dan melekat diekornya. Akhirnya, beliau bukan sahaja ditertawakan oleh rakyat di Selangor, bahkan turut ditertawakan oleh ahli-ahli Umno sendiri.
Bagaimana pula dengan Mukhriz ? Saya begitu hairan mengapa Mukhriz begitu bersemangat untuk menjadi ketua di dalam Pemuda Umno, sedangkan beliau sendiri gagal untuk memujuk bapanya kembali kepada Umno. Tun Mahathir tidak berparti sekarang, dan mana mungkin Mukhriz berupaya mengajak rakyat khususnya golongan muda untuk bersama Umno dalam keadaan bapanya sendiri segan dan malu untuk bersama parti sekular tersebut. Kebanyakan kenyataan dan pendirian Mukhriz adalah dari sumber ilham bapanya. Bapanya adalah seorang pemimpin negara yang suatu ketika menyebabkan kuasa Raja-Raja terhakis, dan kini Mukhriz tidak tahu bagaimana untuk menerangkan apa yang berlaku di Perak. Mungkin beliau juga sangsi apakah tindakan YB Karpal Singh untuk menyaman Sultan Perak itu dibenarkan oleh undang-undang atau tidak, kerana YB Karpal telah mengambil kesematan di atas ruang yang dibuka oleh bapanya dahulu.
Tentang KJ pula, beliau mungkin boleh diterima kerana beliau dilihat semakin terbuka dengan pimpinan pemuda di dalam Pakatan Rakyat. Bermula dari forum di Kelantan bersama YB Husam, dan kesediaan beliau untu berdebat dengan Ketua Pemuda PAS berkaitan isu pengajaran Methamatik dan Sains dalam Bahasa Inggeris dan kesediaan beliau untuk berbincang tentang Akta ISA menunjukkan KJ lebih ke depan dan berwawasan daripada calon-calon Ketua Pemuda Umno yang lain. Cuma, KJ perlu tentukan golongan samseng yang ada di antaranya anak kepada Guru Silat ternama itu di disiplinkan. Bukan jantan namanya jika Pemuda Umno ingin `berlengan' dengan insan OKU. Amat memalukan, dan KJ tidak mungkin merestui perkara yang memalukan ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan