ISU PPSMI masih belum berakhir biarpun memorandum bantahan berjaya diserahkan wakil Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP) 7 Mac lalu sambil diiringi lebih 100,000 rakyat yang menolak dasar pelik tersebut. Namun begitu, Menteri Pelajaran Dato' Seri Hishammuddin Hussein tetap mempertahankan dasar tersebut biarpun ditolak rakyat. Malah Perdana Menteri juga mahu ia diselesaikan segera.
Bagi Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharuddin Mat Isa, kedegilan Hishammuddin itu melambangkan beliau tidak layak untuk dijadikan pemimpin orang Melayu, termasuk oleh Umno. Dalam temu bual bersama Harakah, ahli Parlimen Bachok itu menjelaskan kenapa Hishmamuddin tidak layak untuk diangkat sebagai pemimpin orang Melayu. Selain itu, beliau menjelaskan tentang isu Kerajaan Perpaduan (Unity Goverment), pelawaan bekerjasama yang disuarakan Timbalan Perdana Menteri, peralihan kuasa antara Perdana Menteri dan timbalannya dan juga persiapan menghadapi pilihan raya kecil di Bukit Gantang, Bukit Selambau dan Batang Ai.
Ikuti temuramah wartawan Harakah, IRWAN MUHAMMAD ZAIN bersama Ustaz Nasharuddin yang diadakan di lobi Parlimen pada 12 Mac lalu.
HARAKAH: Baru-baru ini ketika membentangkan bajet mini, Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak mempelawa parti pembangkang untuk mengadakan kerjasama dalam menangani masalah kemelestan ekonomi yang sedang melanda.
USTAZ NASHARUDDIN: Hal yang berkaitan dengan kerjasama ini bukanlah perkara yang tak pernah kita lakukan. Kita mempunyai pengalaman dalam beberapa isu mengenai. Yang terbesar baru-baru ini adalah isu Palestin. Sikap kita jelas, sekiranya isu untuk kepentingan bersama, lebih-lebih lagi untuk kepentingan negara dan rakyat, PAS tidak mempunyai masalah untuk bekerjasama dengan sesiapa saja. Malah ia telah dilontar oleh Dato' Seri Presiden PAS dalam beberapa siri kenyataan beliau mengenai Kerajaan Perpaduan (Unity Goverment) dan seumpamanya. Dan rakyat boleh menilai kejujuran PAS dalam menghadapi cabaran ekonomi semasa. Kita merasakan jalan terbaik untuk kita menghadapinya adalah mewujudkan sebuah kerajaan perpaduan yang melibatkan semua parti yang berada dalam Dewan Rakyat.
Apa pula pendirian PAS dalam soal ini?
Kita acap kali menggunakan kalimat 'suasana yang kondusif'. Dalam soal berkaitan mewujudkan perpaduan, BN perlu mewujudkan suasana kondusif bagi membolehkan apa yang nak kita buat ini terlaksana. Mereka perlu bersikap terbuka dan tidak melampau sangat menekan kita dengan pelbagai peraturan, perundangan dan sebagainya bagi membolehkan hal ini dapat kita selesaikan bersama.
Mengenai kerajaan Perpaduan yang dicadangkan Presiden PAS itu, boleh Ustaz perincikan hasrat beliau?
Apa yang dapat saya fahami, ia merupakan satu cara untuk kita menyelesaikan kemelut negara sekarang, iaitu kemelut ekonomi, kemelut politik dan kemelut sosial. Kita rasa fahaman politik pertembungan antara pembangkang dan kerajaan tidak perlu dipanjangkan. Kita berpolitik sepertimana seperti yang saya selalu takrifkan daripada seorang alim yang menyebut siasah merupakan perbuatan yang kerana niat itu menjadikan manusia dekat kepada kebaikan. Jadi kita melibatkan diri dalam politik kerana mahu mengajak manusia dekat dengan kebaikan. Tiada siapa dapat menafikan kita kini menghadapi pelbagai kemelut. Salah satu penyelesaiannya ialah dengan cara kita mendekatkan parti-parti politik di Malaysia ini dan kita bangunkan bersama, dan selesaikan isu ekonomi, isu politik, isu sosial dan isu-isu lain. Kedua-dua belah pihak mempunyai pengalaman dan keupayaan untuk mengangkat Malaysia berdepan cabaran semasa.
Apakah Ustaz merasakan pemimpin BN akan bersetuju atau menerima cadangan ini?
Saya membaca apa yang dilontarkan Timbalan Perdana Menteri dalam perbentangan mini bajet baru-baru ini sebagai respons terhadap apa yang dicadangkan Dato' Seri Presiden kita. Jadi saya juga telah berbincang secara tidak formal dengan rakan-rakan ahli Parlimen baik dalam Pakatan Rakyat dan juga BN. Kita melihat ini satu cadangan atau model di Malaysia untuk kita selesaikan masalah yang dihadapi.
Boleh Ustaz jelaskan bagaimana timbulnya idea kerajaan perpaduan ini?
Ini inisiatif dan cadangan Dato' Seri Presiden. Saya menjangkakan inilah pandangan Siasah Syariah daripada Presiden sebagai penyelesaian kepada permasalahan semasa. Apa yang kita harapkan, ia bukanlah satu penyelesaian ad-hoc untuk menyelesaikan masalah dalam tempoh jangka pendek. Ia boleh dijadikan satu model berpanjangan sehingga negara kita dapat mendepani cabaran semasa dengan lebih baik daripada negara lain.
Apakah sudah ada perbincangan diadakan bagi kedua-dua pihak?
Belum ada perbincangan secara rasmi antara kedua-dua belah pihak. Kalau ada pun ia sekadar perbincangan di lobi Parlimen saja sesama ahli Parlimen atau ahli-ahli politik. Kita tengoklah perkembangannya dalam tempoh mendatang.
Reaksi pemimpin Pakatan Rakyat yang lain bagaimana?
Belum ada sebarang kenyataan terbuka dari pimpinan Pakatan Rakyat yang menentang cadangan Dato' Seri Presiden ini.
Jika ia dipersetujui, apakah PAS akan mengetuai perbincangan dengan BN atau semua pimpinan Pakatan Rakyat akan bersama berbincang?
Isu sekarang adalah kesediaan dahulu. Kesediaan untuk mengadakan perbincangan terlebih dahulu, barulah kita tengok dari segi yang lebih mendalam.
Beralih isu PPSMI. Sehari selepas perarakan aman Gerakan Mansuh PPSMI (GMP) 7 Mac lalu, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi mengesa agar isu ini segera diselesaikan kerana ia mendapat bantahan meluas rakyat. Malangnya, Menteri Pelajaran Dato' Seri Hishamuddin Hussein dengan angkuhnya menolak cadangan Perdana Menteri itu.
Komen saya mudah. Beliau bersifat keras kepala kerana beliaulah yang menerima tamparan paling hebat menghadapi penentangan rakyat khususnya ketika perarakan aman 7 Mac lalu. Perarakan itu mendapat sambutan hebat rakyat. Jadi beliau merasakan tempias dan tamparan, sebab itu beliau masih berkeras untuk meneruskan dasar tersebut. Bagi PAS, kita tegaskan bahawa kita bukan anti bahasa Inggeris. Yang kita tentang adalah dasar PPSMI. Sepatutnya untuk mempertingkatkan penguasaan bahasa Inggeris adalah dengan mengajar mata pelajaran seperti kesusasteraan Inggeris dan bahasa Inggeris untuk komunikasi, bukan dalam Sains dan Matematik. Tidak betul bila dikatakan kita menentang atau anti bahasa Inggeris. Dalam isu PPSMI ini kita akan terus menentang dan menerangkan kepada rakyat apa yang kita tentang dan apa yang sepatutnya dilakukan sehingga dasar ini dimansuhkan.
Apakah sebab Hishamuddin terus berdegil untuk meneruskan dasar PPSMI?
Saya tidak tahu masalah peribadi beliau tapi dalam soal ini beliau cuba menjadi hero untuk mempertahankan dan untuk mendapatkan undi perwakilan Umno dalam menghadapi pemilihan parti itu. Dengan sikap kerasnya itu beliau memberikan signal bahawa semangat Melayunya tidak setebal mana kerana masih berbangga dengan bahasa asing. Hishammuddin cuba membina imej sebagai seorang pemimpin orang Melayu. Beliau dalam beberapa perhimpunan Umno sering mengangkat keris untuk menunjukkan beliau membela Melayu tapi dalam soal bahasa beliau menentangnya apabila pejuang bahasa berusaha memartabatkan bahasa ibunda. Keris yang dijulang itu melambangkan Melayu tapi lambang Melayu yang sebenarnya terletak pada bahasa kerana pepatah juga ada menyebut "bahasa jiwa bangsa". Bangsa Melayu sekarang sudah hilang jiwanya kerana bahasanya sudah dipermainkan pemimpin Melayu itu sendiri.
Perlukah ahli-ahli Umno dan orang Melayu menerima pemimpin seperti Hishammuddin yang dianggap pengkhianat bahasa itu?
Teramat malang bagi ahli Umno dan orang Melayu memiliki seorang pemimpin yang jiwa bangsanya dan jiwa agamanya tidak dapat dizahirkan untuk membela bahasa, bangsa dan agama sendiri. Kalau beliau berbangga dengan bahasa orang lain sudah tentulah bahasa ibunda bagi beliau tidak penting. Kalau beliau berbangga dengan budaya orang lain sudah tentu bagi beliau budaya bangsa sendiri itu tidak penting. Jadi tidak ada harapan yang boleh diberikan kepada seorang pemimpin yang sedemikian sifatnya. Dalam konteks Umno pula, teramat malang bagi ahli-ahli dan parti itu sendiri jika memberi peluang kepada pemimpin seperti ini untuk memegang jawatan tinggi dalam parti mereka.
Kita beralih pula kepada soal pertemuan antara Dato' Seri Anwar Ibrahim dan Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi di Hulu Langat baru-baru ini. Apa komen Ustaz dan apa yang Ustaz tahu mengenai pertemuan tersebut?
Saya tidak tahu apa yang dibincangkan dan apakah program itu dirancangkan atau secara kebetulan sahaja. Yang saya dimaklumkan majlis itu merupakan sambutan Maulidur Rasul. Itu saja maklumat yang saya dapat.
Pendirian Ustaz jika benar terdapat perbincangan antara Anwar dan Abdullah?
Bagi saya, perbincangan kalau memberi manafaat kepada negara dan rakyat, tidak ada salahnya. Sebab itulah saya mengambil sikap bahawa perbincangan adalah sesuatu yang patut digalakkan. Berbincang dengan sesiapa saja, kalau ia boleh mendatang kebaikan agama, bangsa dan negara, maka ia patut dihormati. Kita tidak sewajarnya memiliki sifat dan sikap untuk tidak mahu mengadakan dialog atau perbincangan dengan musuh-musuh kita hanya kerana kita bermusuh dalam politik. Hanya kerana kita bermusuh dari segi pendekatan politik maka kita tutup ruang untuk perbincangan, bagi saya, itu tidak betul.
Bila kita bercakap tentang Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi, tidak dapat tidak akan ada cerita atau spekulasi mengatakan beliau mungkin tidak akan melepaskan jawatan sebagai Perdana Menteri selepas Perhimpunan Agung Umno nanti.
Macam-macam teori yang berkisar di bawah. Pelbagai teori dan bermacam cerita boleh kita dengar. Banyak khabar angin dan banyak spekulasi dan andaian oleh pelbagai pihak boleh kita dengar. Bagi saya mudah saja. Bukan orang itu sebenarnya boleh merubah keadaan, tak kiralah sama ada A, B atau C. Selagi mana dasar sesuatu organisasi itu tidak berubah, kalau hanya orang saja yang berubah, ia tak ke mana. Yang penting, bagi saya, dasar sesuatu organisasi itu perlu dilihat semula dan dinilai untuk menjamin negara kita bebas daripada ancaman yang tidak baik. Kita dengar sekarang isu politik wang masih berleluasa. Calon-calon yang bertanding jawatan di peringkat tertinggi masih mengamalkan politik wang. Saya difahamkan oleh ahli-ahli Umno itu sendiri mengatakan ada antara calon-calon itu dari segi kelayakannya dipertikaikan tapi kerana poketnya tebal, kerana tangannya panjang untuk memberikan 'sumbangan', sudah tentulah ia mampu mencapai kemenangan. Ini yang dikatakan 'money talk', wang itu yang berbicara.
Selepas pilihanraya kecil Kuala Terengganu baru-baru ini, Ustaz Abdul Hadi Awang mencadangkan agar Abdullah Ahmad Badawi mengekalkan jawatan sebagai Perdana Menteri. Pada Ustaz, kenapa Presiden PAS membuat cadangan tersebut?
Merujuk apa yang disebut Dato' Seri Presiden bahawa beliau melihat masih banyak perkara yang telah dimulakan dan sedang dilakukan Abdullah Ahmad Badawi perlu dilanjutkan tempohnya. Jadi dalam konteks itu, isu-isu yang masih belum selesai dilaksanakan Perdana Menteri maka cadangan Dato' Seri Presiden PAS supaya beliau melanjutkan tempoh sebagai Perdana Menteri. Andaian saya ialah sebab utamanya kerana banyak perkara-perkara positif yang dibuat, yang perlu dipanjangkan seperti isu menangani rasuah dan ketelusan dan kerana itu timbul cadangan tersebut daripada Dato' Seri Presiden.
Abdullah Ahmad Badawi dilihat lebih bersifat terbuka terhadap pembangkang, dan bila berlakunya peralihan kuasa antara beliau dan Dato' Seri Najib Tun Razak, apakah Ustaz harap keterbukaan itu akan diteruskan?
Harapan saya, siapa pun akan jadi Perdana Menteri selepas ini, sama ada Abdullah kekal atau tidak, yang paling penting adalah satu suasana yang kondusif, satu suasana yang terbuka perlu diwujudkan dalam kita tangani cabaran politik semasa. Kita tidak harus terus menerus dilihat sebagai musuh politik yang tidak boleh diberikan ruang untuk berperanan. Kita harus dilihat sebagai penyumbang juga dalam kestabilan politik, ekonomi dan sosial walaupun kita berada di pihak pembangkang.
Merujuk pilihan raya kecil Bukit Gantang, Bukit Selambau dan juga Batang Ai, sejauh mana persiapan telah dilakukan?
Saya sudah ke Bukit Gantang beberapa kali dan melancarkan jentera di peringkat MTD. Selaku pengarah jawatankuasa induk pilihan raya kecil Bukit Gantang, saya menerima laporan khasnya daripada pengarah operasi, Asmuni Awi. Persiapan operasi telahpun berjalan. Begitu juga kumpulan penyokong daripada seluruh negeri mula turun ke Bukit Gantang. Persiapan sudah berjalan sama ada di Bukit Gantang atau Bukit Selambau dan Batang Ai.
Bagaimana harapan PAS di Bukit Gantang?
Peluang dan harapan di Bukit Gantang, insya-Allah tinggi. Ada beberapa faktor saya berkeyakinan begitu. Apa yang berlaku di Perak masih mendapat simpati rakyat dan faktor sumbangan yang ditinggalkan Allahyarham Roslan Shahrom juga merupakan faktor yang boleh memberikan kita kemenangan. Sumbangan dan kerja yang dijalankan Allahyarham selama lapan bulan tidak boleh dinafikan dan amat disanjungi penduduk Bukit Gantang. Faktor ini memberikan harapan untuk calon Pakatan Rakyat yang diwakili PAS untuk mencapai kemenangan.
Pesanan Ustaz kepada petugas parti dan pengundi di ketiga-tiga kawasan tersebut?
Saya berharap agar petugas parti pada semua pilihan raya kecil ini, baik di Bukit Gantang, Bukit Selambau dan juga Batang Ai, agar bekerja keras bagi memastikan kemenangan calon-calon Pakatan Rakyat. Untuk pengundi pula saya berharap mereka terus mengekalkan kemenangan dan rekod pilihan raya kecil selepas pilihan raya umum ke-12 yang diperolehi Pakatan Rakyat agar kita dapat membawakan suara rakyat ke Parlimen dan juga Dewan Negeri._
Tiada ulasan:
Catat Ulasan