MELAKA, 24 Mac (Hrkh) - Dewan Pemuda PAS Negeri Melaka (DPPNM) mengutuk sekeras-kerasnya tindakan penyokong Ali Rustam yang berhimpun secara haram di depan Seri Negeri untuk menghalang penyerahan memorandum yang mendesak beliau meletak jawatan sebagai Ketua Menteri Melaka kerana terlibat dengan rasuah oleh Pakatan Rakyat baru-baru ini.
Menurut Ketua DPPNM, Ustaz Kamaruddin Sidek bahawa tindakan itu jelas sekali menunjukkan Ali Rustam mengamalkan budaya samseng kerana beliau yang mengetuai sendiri perhimpunan tersebut.
"Ali kena berani bertanggungjawab dan jangan takut dengan bayang-bayang sendiri dengan mengarahkan para penyokongnya berkumpul bagi melakukan provokasi terhadap Pakatan Rakyat.
"Kalau dia tak bersalah kenapa perlu takut dan mengumpulkan penyokongnya sedangkan kami datang cuma untuk menyerahkan memorandum sahaja, mengapakah Pak Lah sendiri boleh terbuka menerima memorandum yang dihantar kepadanya mengapa Ali tidak boleh.
Sambil itu, beliau menyifatkan tindakan penyokong Ali Rustam yang menendang kenderaannya sehingga rosak merupakan golongan yang menyokong secara melulu dan membabi-buta walaupun telah terbukti Ali bersalah melakukan rasuah oleh Umno sendiri.
Beliau juga kecewa dengan kegagalan pihak polis menyediakan kawalan keselamatan terhadap rombongan Pakatan Rakyat yang keluar daripada Seri Negeri selepas menyerahkan memorandum sedangkan sebelum itu pihak polis memberi jaminan bahawa keadaan keselamatan mereka adalah terkawal.
"Biarlah kita berpolitik secara sihat bagi membangunkan dan memajukan bangsa serta negara ini supaya dipandang mulia oleh masyarakat antarabangsa bukannya dengan bersifat kebudak-budakan seperti orang yang mabuk kuasa.
"Kuasa adalah amanah yang diberikan oleh Allah kepada kita dan kita perlu melaksanakan dengan sebaik mungkin di mana di akhirat kelak kita akan dipertanggungjawabkan terhadap segala tindak-tanduk kita ke atas amanah tersebut," kata beliau.
Tempohari, penyokong Umno yang berhimpun di depan Seri Negeri bagi menghalang penyerahan memorandum tersebut bertindak ganas menerajang dan melempar pelbagai objek terhadap kenderaan Ustaz Kamaruddin sehingga mengakibatkan kerosakan.
Mereka yang berarak dari kediaman rasmi Ketua Menteri, Seri Bendahara diketuai oleh Ali Rustam diberi kawalan keselamatan VIP oleh pihak polis sedangkan ia bertujuan memprovokasi rombongan Pakatan Rakyat.
Polis telah mengadakan sekatan jalanraya menuju ke Masjid Al Alami dan Seri Negeri serta mengawal ketat di kedua lokasi tersebut sejak 11.30 pagi bagi menghalang hasrat Pakatan Rakyat.
Ini adalah kejadian kedua provokasi yang dilakukan oleh penyokong Ali Rustam ke atas Pakatan Rakyat di mana sebelum ini mereka melakukan provokasi di depan bangunan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Melaka ketika laporan rasuah Ali Rustam dibuat. - azm _
Tiada ulasan:
Catat Ulasan