Isnin, 16 Mac 2009

Rakyat menentang kepongahan: Laksana PPSMI khianati bangsa melayu.

Assalamualaikum,

Pejuang-pejuang bahasa akan melakar sejarah ‘Melayu tak akan hilang di dunia!’ apabila bersatu dalam ‘Perhimpunan 100 Ribu Orang’ di hadapan Istana Negara besok, 7 Mac 2009 bermula jam 2.00 petang.

Perhimpunan yang digerakkan oleh aktivis Gerakan Mansuh PPSMI (GMP) pimpinan bekas Ketua Pengarah DBP Dato’ Dr Hassan Ahmad menjadi manifestasi rakyat menentang keperongosan, kepongahan dan kebobrokan pemerintah.


Apalagi perjuangan bahasa bukanlah baru bermula dekad 2000-an, tetapi sejak azali lagi sebaik sahaja bangsa Melayu wujud di nusantara, mereka kekal dengan bahasa yang menjadi ‘bahasa ilmu’ kepada bangsanya.

Islam berkembang di Melaka pada dekad 1400-an juga menerusi Bahasa Melayu dengan para ilmuan dan cendekiawan di Pasai, Majapahit dan nusantara tertumpu ke Melaka yang menjadi pusat ilmu menerusi medium Bahasa Melayu. Tun Sri Lanang menulis ‘Sulalatin Salatin’, Raja Ali Haji menghasilkan ‘Tahfatul-Nafis’ malah Abdullah Munshi mengarang ‘Pelayaran Abdullah’ turut menggunakan Bahasa Melayu dan tulisan jawi. Tan Sri Pendeta Zaaba yang menyusun ejaan rumi berasaskan tulisan jawi juga menjadikan Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu. Dato’ Abdul Rahman Andak dan Dato’ Haji Muhammad Said Sulaiman yang mencipta istilah (dari Bahasa Inggeris) juga berbangga dengan Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu.

Pakar-pakar bahasa inilah yang mencipta istilah pejabat (office), setiausaha (secretary), pengerusi (chairman), pegawai (officer), tetuang udara (radio), rumah pasung (police station), mata-mata (police) dan banyak lagi, bukannya pendukung-pendukung PPSMI. Justeru pendukung-pendukung PPSMI wajar bersemuka di khalayak ramai bersama pejuang-pejuang bahasa, bagi memberitahu akan manfaatnya PPSMI itu kepada orang Melayu. Silakan! Pendukung-pendukung PPSMI seharusnya menghasilkan buku-buku ilmiah secara berterusan sebagai bahan rujukan, seperti keperihalan yang dibuktikan oleh pejuang-pejuang bahasa di masa lalu.

UMNO juga dihidupkan oleh pejuang-pejuang bahasa pada peringkat awalnya, bukan pemburu-premburu pangkat dan darjat. Dato’ Onn Jaafar adalah bekas pengarang akhbar ‘Lembaga Malaya’ yang disokong oleh Tan Sri Zaaba dan editor akhbar Majlis seperti Yunus Hamidi dan Abdul Samad Ahmad yang menggerakkan Kongres Melayu Pertama pada 1-4 Mac 1946. Maknanya, kalau tak disebabkan kegigihan pejuang-pejuang bahasa, UMNO pun tak dilahirkan sebagai pertubuhan pada 11 Mei 1946. Justeru pada 1967 demonstrasi digerakkan oleh pejuang-pejuang bahasa dengan mengusung ‘Keranda 152’, hingga Tun Syed Nasir Ismail juga diheret ke unggun api. Tun Syed Nasir ketika itu Pengarah DBP (sebelum ditukar kepada Ketua Pengarah sekarang ini) apabila UMNO menangguhkan Bahasa Melayu daripada menjadi Bahasa Rasmi.

oleh-Pak Dharmala NS
"

Tiada ulasan:

Catat Ulasan