KOTA BHARU, 10 Mac (Hrkh) - Banyak pihak percaya tarikh peralihan kuasa di antara Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Dato' Seri Najib Razak berganjak daripada tarikh asal memandang banyak isu besar membabitkan pemimpin negara.
Pendedahan dibuat media luar negara mengenai hubungan Najib dengan model Mongolia, Altantuya yang mati dibunuh dengan kejam di Malaysia mungkin menjadi penyebab utama peralihan kuasa diperlewatkan.
Naib Presiden PAS, Dato' Husam Musa berkata, tarikh asal pelan peralihan kuasa di negara ini mungkin berubah menjelang Perhimpunan Agung Umno 24 Mac ini.
"Keadaan itu berlaku apabila pemimpin terbabit menerima tekanan berterusan dalam kes pembunuhan kejam Altantuya.
"Laporan media asing telah menghangatkan kembali isu tersebut. Bagi saya ia menyebabkan kemungkinan besar berlaku pertukaran tarikh peralihan kuasa," katanya selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Muslimat PAS Kubang Kerian, baru-baru ini.
Husam berkata, tekanan dalam isu Altantuya bukan sesuatu yang kecil dan apa yang pasti ia boleh merubah pelan peralihan kuasa seperti diuar-uarkan sebelum ini.
Menurutnya ketika Umno sedang berusaha untuk memulihkan kepercayaan rakyat, tentunya mereka tidak akan kompromi dengan pemimpin yang bermasalah kerana ia boleh menjejaskan imej Umno.
"Saya yakin Umno keberatan menerima seorang bakal pemimpin yang mengalami masalah kerana ia boleh merugikan Umno sendiri.
"Umno memerlukan pemimpin yang lebih berintegriti, maka pilihan yang ada mungkin boleh ditunda Perhimpunan Agung Umno seperti disarankan dua pmimpin parti itu sebelum ini," katanya.
Baru-baru ini bekas Exco Pemuda Umno Malaysia, Dato' Mazlan Haron dan ketua cawangan Umno di Johor, Dato' Kadar Sulaiman mahu Umno menangguhkan perhimpunan agung bagi menyelesaikan aduan politik wang yang berlaku.
Mereka juga bersedia memohon injunksi daripada mahkamah bagi menghalang perhimpunan agung Umno sekiranya saranan mereka diabaikan parti.
Husam berkata, secara jelas ada asas bagi menangguhkan Perhimpunan Agung yang bermula 24 Mac ini, berkaitan politik wang yang dikemukakan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) dan Lembaga Disiplin Umno.
Beliau yang juga anggota Exco kerajaan negeri berkata, rakyat memerhati dari dekat perlanggaran undang-undang oleh pemimpin Umno seperti yang berlaku di Perak Febuari lalu.
"Pencabulan terhadap semua institusi utama negara menyebabkan rakyat hilang keyakinan kepada kewibawaan kerajaan diterajui Umno-BN," katanya. - mj _
Tiada ulasan:
Catat Ulasan