Khamis, 5 Mac 2009

"Siapa Exco yang derhaka itu?" - MB Kedah

ALOR SETAR, 5 Mac (Hrkh) - Menteri Besar, Dato' Seri Ustaz Azizan Abdul Razak mempersoalkan ketaatan kepada raja sepertimana dilaungkan Ketua Pemuda Umno yang juga Adun Ayer Hangat, Mohd Rawi Abdul Hamid berikutan ketidakhadirannya ke Majlis Perlantikan Dan Angkat Sumpah Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri di Istana Anak Bukit pada 3 Mac baru-baru ini.

"Orang yang kata ada Exco derhaka tu, mereka pun tidak datang istana. Ketua Pemuda Umno itu dia Adun (Ayer Hangat), majlis ini Tuanku Sultan panggil, tetapi dia tak hadir. Dia kata dia taat kepada raja, bolehkah saya kata dia derhaka kepada raja? Berapa banyak majlis dia tidak pernah datang.

"Pergi tanya dia, derhaka atau tidak majlis Tuanku tidak datang. Dia kata (dakwa) orang derhaka kepada raja. Siapa dia, nama apa, buat di mana, ada bukti apa? Kalau itu barulah saya hormat, barulah profesional. Kata tidak profesional dia marah pula.

"Tidak tahulah kalau awak semua (wartawan) ada nampak Ketua Pemuda Umno datang hari ini. Berapa kali tak datang pun. Itu taatkah? Derhaka atau tak?" persoalnya pada sidang media selepas majlis tersebut.

Sebelum ini Rawi dilaporkan telah menghantar memorandum kepada Istana Anak Bukit berhubung dakwaannya terhadap Exco Kedah yang dikatakan menderhaka.

Terdahulu, beliau menggesa nama Exco berkenaan dinyatakan kepadanya apabila wartawan menyoal bahawa salah seorang Exco sedang disiasat polis berikutan tuduhan menghina Tuanku Sultan Kedah.

"Salah seorang tak boleh pakailah, kena letak namalah. Cuba beritahu saya nama Exco itu. Buat alasan (menggunakan ayat) 'salah seorang Exco'. Esok orang kata Menteri Besar pula.

"Tidak ada nilai berita, nilai yang sah. Jadi saya tidak akan layan kenyataan mengarut ini. Saya masih banyak kerja hendak dibuat. Hari ini kita tengok walaupun mereka bercakap macam-macam, nak runtuh dunia, (tetapi) perlantikan berjalan sangat sempurna," ujarnya menyangkal. _

Tiada ulasan:

Catat Ulasan