KUALA LUMPUR, 17 Mac (Hrkh) - Pembentangan usul terhadap Ahli Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo yang dianggap menghina Dewan Rakyat telah menimbulkan kekecohan di kalangan Ahli-ahli Parlimen (MP) Pakatan Rakyat, petang semalam.
Kekecohan bermula apabila Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato' Seri Nazri Abdul Aziz membentangkan usul terhadap Gobind yang dikatakan menghina Dewan dengan mengaitkan Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Razak dengan pembunuhan wanita Mongolia, Altantuya Shaaribuu, Khamis lalu.
Ketika Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia membuat keputusan meluluskan usul tersebut untuk dibahaskan, beberapa ahli Parlimen Pakatan Rakyat bangkit membantah, menjadikan sidang kecoh dengan suara-suara dari MP Pakatan dan BN.
Antara ahli Parlimen Pakatan Rakyat yang bangkit membantah ialah Dato' Kamarudin Jaffar (PAS-Tumpat), S Kulasegaran (DAP-Ipoh Barat), Lim Kit Siang (DAP-Ipoh Timur), Karpal Singh (DAP-Bukit Gelugor), Sivarasa Rasiah (KeADILan-Subang), Chong Chieng Jen (DAP-Bandar Kuching), dan Ngeh Koo Ham (DAP-Beruas).
Kamaruddin ketika bangun membantah, mencadangkan supaya perkara itu dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan dan tidak diserahkan kepada Dewan untuk memutuskannya.
Beliau berkata, adalah jelas menurut Perintah Tetap 80(1) bahawa perkara itu perlu dirujuk kepada jawatankuasa berkenaan.
Kit Siang pula membangkitkan usul tersebut memerlukan notis selama tujuh hari sebelum ia dibahaskan. Bagaimanapun Pandikar menyatakan bahawa Speaker mempunyai kuasa yang luas berhubung perkara tersebut.
Setelah hampir satu jam berlakunya kekecohan di Dewan sehingga menemui jalan buntu, usul tersebut kemudiannya dibahaskan kira-kira 40 minit.
Sementara itu, ketika Nazri menggulung usul berkenaan, dewan sekali lagi kecoh dengan suara tidak puas hati di kalangan ahli Parlimen Pakatan Rakyat, sebelum mereka bertindak meninggalkan dewan sebagai tanda membantah.
Usul tersebut kemudiannya diluluskan dengan Gobind digantung tugas sebagai ahli Parlimen selama 12 bulan, selain tidak akan dibayar elaun dan kemudahan sebagai wakil rakyat. _
Tiada ulasan:
Catat Ulasan