Berubah atau rebah yang menjadi inti ucapan Perdana Menteri baru pada Perhimpunan Agung Umno baru-baru ini, sebenarnya sejak awal lagi disedari rakyat.
Berubah apabila kebebasan suara yang dipertahankan di zaman Tun Abdullah Ahmad Badawi direntap kerajaan Barisan Nasional (BN) sejak 5 Febuari lalu.
Tanda-tanda rebah pula semakin jelas apabila BN terpaksa menggunakan seluruh tenaga birokrasi, profesor dan media sehingga 24 jam sehari menyerang Pakatan Rakyat.
Dan akhirnya BN benar-benar rebah apabila pensyarah bidang sosiologi dan multimedia bercakap isu politik. Mereka diheret muncul di kaca televisyen bagi menggayang Pakatan.
Timbalan Pengerusi Kelab Penyokong (BBC) Kerajaan Kelantan, Drs Zainuddin Awang Hamat berkata, apa yang berlaku menjelang pilihan raya kecil parlimen Permatang Pauh dan Kuala Terengganu diulang tayang semula sekarang.
"Ini jelas memperlihatkan BN mahu menang tanpa bertanding sebelum hari mengundi di Bukit Gantang, Bukit Selambau dan Batang Air.
"Berdasar kepada apa yang dilapor dan diperkatakan sekarang seolah-olah calon BN bertanding seorang diri di ketiga-tiga kawasan pilihan raya tersebut.
"Dan 7 April ini barulah lawan sebenar BN muncul. Mereka muncul bersama rakyat dan akhirnya pemenang sebenar demokrasi akan diketahui malam itu," katanya di sini.
Beliau berkata, kegembiraan pendokong Umno dan BN yang mendapat ketua baru tidak mungkin mampu bertahan lama kerana hakim rakyat akan bertugas 7 April ini.
Menurutnya teori yang dikupas profesor jemputan setiap malam dalam TV akan diterjemah rakyat Selasa ini, sama ada berpijak di alam nyata atau hanya syok sendiri
Dan akhirnya akan meleburkan masa tenaga akademik terbabit. Takut-takut dilabel pelajar sebagai profesor kangkung.
Beliau berkata, rakyat tidak perlu pandangan seorang profesor bagi membuat pilihan kerana politik sempit dan jumud yang diamalkan kerajaan sekarang telah menyemput dada mereka.
"Prinsip demokrasi semakin kucar kacir dan kebebasan suara rakyat dinafikan. Rakyat sudah lama kenal peribadi Perdana Menteri baru dan menteri-menteri lain.
"Dan cerita di sebalik pembunuhan wanita Mongolia, Altantuya Shariibu serta konflik di Perak sudah lama rakyat bincang di kedai kopi," katanya.
Menurutnya larangan kempen membabitkan isu Altantuya dan krisis politik di Perak menyebabkan rakyat tertanya-tanya, kemungkinan ada sesuatu yang tidak kena dengan ketua baru yang semakin berkuasa sekarang.
"Kenapa mesti ada halangan. Tidakkah ini dikatakan orang sebagai pengecut. Tentunya mesti ada sesuatu yang cuba disembunyikan. Inilah yang rakyat hendak tahu," ujarnya.
Baru-baru ini pihak polis melarang parti-parti politik yang bertanding dalam pilihan raya kecil menyentuh kes pembunuhan Altantuya dan istana Perak sebagai bahan berkempen.
Zainuddin berkata, pemimpin Pakatan Rakyat tidak pernah menghasut rakyat membenci kerajaan BN, sebaliknya tindak tanduk mereka sendiri membuatkan rakyat tambah muak. - mj _
Tiada ulasan:
Catat Ulasan