Jumaat, 10 April 2009

Bukit Gantang :Rakyat Mohon Bubar DUN Perak.


Keputusan pilihanraya kecil Parlimen Bukit Gantang di Perak dan DUN Bukit Selambau di Kedah 7 April 2009 adalah mesej rakyat menolak 'rampasan kuasa' kerajaan negeri di Perak pada 6 Februari 2009,

menurut kalangan penganalisis politik. Kemenangan BN di Batang Air, di Sarawak pula bukanlah sokongan kepada UMNO sebaliknya memperlihat dominasi politik etnik Iban dan pengaruh parti-parti keturunan Dayak berperanan di Sarawak, kata mereka.

Justeru bagi memulihkan semula imej UMNO/BN isu 'rampasan kuasa' di DUN Perak perlu diselesaikan secara berhemah, di samping tak membabitkan kedaulatan istana, menurut bekas Exco Pemuda UMNO Dato' Kamal Amir Kamal Hijaz. Penjelasan Naib Presiden UMNO, Dato' Seri Ahmad Zahid Hamidi TV1 (Selamat Pagi Malaysia, 8 April 2009) yang menyebut terserah kepada baginda Sultan Perak untuk membubarkan DUN, adalah percubaan mengheret kemurnian institusi istana ke dalam kebobrokan UMNO, katanya.

"Langkah sebaik-baiknya untuk memulihkan maruah UMNO ialah membubarkan DUN di samping menyerahkan mandat kepada rakyat," beritahu beliau menambah. Penjelasan Zahid Hamidi sokongan tiga ADUN Bebas sebagai bukti UMNO/BN mendominasi DUN Perak, meletakkan kepongahan UMNO yang sukar diterima majoriti rakyat. Kata Dato' Kamal Amir, tiga ADUN yang disebut Zahid bukan ciri-ciri sokongan rakyat sebaliknya 'pencerobohan' ke atas hak rakyat.

Dalam pilihanraya kecil di Parlimen Bukit Gantang calon PAS Dato' Seri Ir Muhamad Nizar Jamaluddin yang juga Menteri Besar selepas PRU12 (8 Mac 2008) memperoleh 21,860 undi menewaskan calon UMNO/BN Ismail Suffian (19,071 undi). Kemenangan tersebut sebagai manifestasi sokongan rakyat iaitu menolak 'rampasan kuasa'. Sekiranya UMNO/BN masih beranggapan isu 'rampasan kuasa' sebagai remeh temeh ianya akan membawa impak yang lebih besar pada PRU13, menurut Dato' Kamal Amir menambah.

Sementara di Bukit Selambau, keberangan masyarakat India kepada Presiden MIC Dato' Seri Samy Vellu diterjemahkan melalui peti undi sebagai mesej jelas untuk 'menjenamakan' semula BN, beritahu sumber tersebut menambah. Malah mesej tersebut sudah disampaikan sebelum hari pengundian iaitu masyarakat India melarang Samy Vellu berkempen ke Bukit Selambau. "Kalau Samy Vellu masih tak mahu menerima hakikat, BN akan menanggung beban," jelasnya

Kritikan terbuka Ahmad Zahid dalam wawancara bersama 'Selamat Pagi Malaysia' 8 April 2009 mengakui pengundi bukan Melayu melahirkan kebencian kepada komponen BN, tetapi menyembunyikan keberangan orang Melayu kepada UMNO. Penolakan orang Melayu di Bukit Gantang terhadap UMNO juga memberi mesej, rakyat Perak menolak kepimpinan Najib selaku Pengerusi Perhubungan UMNO Perak secara total, menurutnya lagi.

"Najib perlu berundur dari pimpinan UMNO Perak, sebelum ianya menambah banyak masalah di negeri itu," beritahu sumber dalaman UMNO di Perak sendiri selepas keputusan pilihanraya kecil berkenaan. Di samping itu kehadiran ramai FRU turut memberi petanda rakyat juga menolak kebobrokan bagi menakut-nakutkan mereka dengan isu keselamatan. Strategi menggunakan FRU ketika pilihanraya juga tak memberi sebarang kredit kepada UMNO/BN, kata sumber berkenaan.

Rumusannya menurut Dato' Kamal Amir, kekalahan BN di Semenanjung akan menular ke Sabah dan Sarawak selepas ini sekiranya berlaku pilihanraya. Kedudukan UMNO lebih 70 kerusi di Parlimen adalah bergantung kepada Sabah, kerana di Semenanjung kerusi UMNO tak sampai 70 kerusi daripada jumlah 140 dikuasai BN. "Justeru jentera kerajaan, media dan pasukan keselamatn tak lagi menjamin keberkesanan kempen UMNO/BN," jelas Dato' Kamal Amir.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan