Isnin, 6 April 2009

Gadis BN

KUALA SEPETANG, 6 April : Tanpa pakaian seksi dan menari terkinja-kinja, mereka mampu meraih penonton yang ramai. Itulah hakikat yang kami saksikan di sebuah perkampungan Cina di sini malam tadi. Masyarakat kaum Cina menyambut baik persembahan yang dianjurkan sebuah NGO dan pada pemerhatian kami penyanyi yang membuat persembahan tidak mengenakan pakaian seksi dan terkinja-kinja.

Ini amat bertentangan dengan kenyataan seorang Menteri UMNO yang menjaga hal ehwal agama Islam yang menyatakan menyanyi dengan berpakaian seksi adalah budaya masyarakat Cina. Sebelum ini, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Ismail Saffian hadir di majlis makan malam di Kampung Baru Kuala Sepetang iaitu sebuah perkampungan nelayan yang menyajikan satu persembahan nyanyian yang menjolok mata.

Video persembahan itu tersebar dalam Youtube mendapat kritikan daripada ramai orang yang terkejut dengan tindakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu yang menyatakan persembahan seperti itu adalah budaya masyarakat Cina dan perlu dihormati.

Tidak dinafikan setiap kaum mempunyai budaya dan cara tersendiri untuk berhibur, tetapi dengan kuasa yang ada pada seorang menteri, beliau boleh menyatakan tidak bersetuju dengan persembahan seperti itu yang jelas mengeksploitasi kaum wanita. Apatah lagi menteri yang terlibat adalah menteri yang menjaga hal ehwal agama Islam.

Tinjauan pihak kami ke sebuah program persembahan nyanyian yang dianjurkan BN yang juga diadakan di Kuala Sepetang malam tadi menyaksikan ia turut menghidangkan penyanyi yang seksi dan terkinja-kinja di atas pentas. Namun begitu, bilangan penonton yang menyaksikan persembahan tersebut amat sedikit.

Perbezaan jumlah penonton di dua persembahan ini jelas menunjukkan masyarakat Cina sebenarnya tidak menerima program-program hiburan yang tiada motif lain selain berhibur. Masyarakat Cina adalah masyarakat Timur yang turut memiliki nilai kesopanan dalam budaya mereka.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan