Sabtu, 11 April 2009

Jenny-Altantuya


Hari ini kes yang menarik minat ramai iaitu pembunuhan Altantuya Shaariibuu pun ditutup tirai. Senarai nama kabinet baharu membayangi keputusan tersebut. Cif Inspektor Azilah Hadri dan Koperal Sirul Azhar Umar didapati bersalah terhadap tuduhan membunuh Altantuya Shaariibuu.

Saya tidak mahu mengulas mengenai kes ini kerana saya tidak tahu apa. Saya tak mahu bercakap 'barang' yang saya tidak tahu. Tetapi saya ada membaca pembelaan diri Koperal Sirul:


"Saya tidak mempunyai sebarang sebab untuk mencederakan apatah lagi mengambil nyawa mangsa dengan begitu kejam, saya merayu kepada mahkamah yang kini berada di dalam kedudukan dan mempunyai kuasa untuk menentukan hidup dan mati saya, agar tidak menghukum saya sekaligus menyempurnakan perencanaan mereka terhadap saya."

(Sumber di sini)

Kita tidak tahu apa yang dimaksudkan dengan kata-kata di atas. Saya tidak tahu. Saudara juga tidak tahu. Tetapi ia membuatkan hati kita semua tersentuh, dan lojika kita yang selalu menonton Murder She Wrote dan CSI Miami mengacah benak - apa motif pulak mamat ni nak bunuh perempuan Mongolia.

Saya teringat novel pertama yang saya tulis, Perempuan Politikus Melayu. Ia mengenai Irfan seorang wartawan yang sedang menulis novel pertamanya dengan ingatan dalam kepala: “politikus dan pelacur itu adalah sama”. Menerusi bantuan rakannya Chai Yin, beliau ditemukan dengan Jenny, seorang penyanyi dan pelacur kelas atasan.

Perhubungan Irfan dan Jenny semakin erat, berselirat dengan plot politikus yang mempunyai hubungan dengannya, iaitu Datuk Zuri. Dan Datuk Zuri, politikus berkuasa ini telah memerah hasil penduduk kampung Jentayu, termasuk ayah angkat Irfan bagi menjual tanah mereka di atas nama pembangunan.

Jenny dibunuh kejam. Pembunuhan itu tergantung misterius. Siapakah yang mempunyai motif untuk membunuh Jenny?

Perempuan Politikus Melayu mendapat penghormatan untuk dicalonkan bagi Hadiah Sastera Perdana Malaysia tahun 2000-2001.Novel ini saya karang ketika berusia 20 tahun. Sewaktu itu saya masih di Universiti Malaya menuntut di Fakulti Syariah, Akademi Islam. Ia mula-mula terbit dengan bantuan Ahmad Lutfi Othman, Ketua pengarang Harakah sekarang. Saya masih ingat dengan muka tidak tahu malu saya menawarkan karya saya tersebut kepada beliau. Waktu itu kamar pejabat beliau di Medan Idaman, Gombak. Saya sangat berterima kasih dengan usaha saudara Lutfi. Ketika tiada penerbit ingin menerima manuskrip saya, 'bapa wartawan media alternatif' menerusi Penerbitan Pemuda inilah yang memberi ruang dan tempat untuk saya. Saudara Dinsman pula bermurah hati menulis blurb. Tidak pernah saya mengimpikan novel ini kemudiannya mendapat perhatian elit sastera.

Nasib yang menimpa Altantuya menyebabkan saya membaca ulang Perempuan Politikus Melayu. Saya jarang membaca karya saya semula apabila sudah diterbitkan. Benar, karya ini tidak berdiri dengan wacana, tetapi ia tetap tumbuh dari satu pandangan bahawa politikus kita hari ini bermain dalam gelanggang yang disediakan Machiavelli.

Saya kira, Jenny dan Altantuya menerima nasib hampir sama. Cuma bezanya, Jenny kembali menghantui Datuk Zuri. Entah kenapa, hari ini saya membayangkan jika Perempuan Politikus Melayu diterjemahkan ke bahasa asing tentu ia menggemparkan.

Hari ini Perempuan Politikus Melayu sukar dicari di kedai, melainkan saudara membelinya menerusi ujanailmu.com.my.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan