Jumaat, 17 April 2009

Kemerosotan ekonomi: Pemerintah perlu tunjuk teladan

Kemeros otan ekonomi dunia adalah masalah semua. Dalam menghadapi situasi ini, kebijaksanaan amat penting. Pemerintah dan rakyat perlu bergabung tenaga menghadapinya. Tidak bolehlah pemerintah (pemimpin) meminta rakyat mengubah gaya hidup termasuk berjimat cermat sedangkan dia, isteri dan keluarganya begitu boros berbelanja.


Pemerintah tidak boleh mengabaikan rakyat manakala rakyat juga perlu membuktikan sokongan kepada pemerintah yang berjiwa rakyat. Gabungan kedua-duanya, insya-Allah akan membolehkan negara menghadapi zaman sukar ini.

Persoalannya bagaimana mendapatkan kerjasama erat pemerintah-rakyat? Disebabkan cabaran manusia adalah sama sejak zaman berzaman, elok digali sejarah untuk dijadikan teladan dan sempadan. Di sini penulis mengetengahkan kisah bagaimana pemerintah Mesir, Malikul Muzafar menangani rakyat ketika dunia Islam menghadapi ancaman perang oleh tentera Mongol yang sudah pun memusnahkan Baghdad pada tahun 1253 Masihi.

Kisah Malikul Muzafar ini boleh diikuti dalam buku ‘Wahai Islamku!’ oleh Ali Muhammad Baktsir (dialih bahasa oleh Halimuddin SH) yang diterbitkan oleh Pustaka Nasional Pte Ltd Singapura.

Dalam menghadapi serangan tentera Mongol, penulis menukilkan: “ Pada suatu hari Malikul Muzafar (Quthaz) berfikir untuk mencari dana kewangan yang digunakan untuk pembiayaan Angkatan Bersenjatanya yang dapat diandalkan. Angkatan Bersenjata ini perlu diperbanyak jumlahnya, wajar dipersiapkan alat-alat persenjataannya yang lengkap. Untuk itu perlu mengumpulkan dana yang banyak dan gudang makanan wajar diisi dengan cukup dan padat untuk keperluan dan perlengkapan perang. Jika Baitulmal tidak cukup, hal ini berbahaya. Kerana itu baginda berfikir untuk memungut pajak daripada penduduk dan meminjam barang-barang daripada rakyat untuk dikumpulkan dalam gudang Baitulmal.

“Sultan segera mengadakan sidang, yang dihadiri oleh ulama-ulama, hakim-hakim, amir-amir, menteri-menteri dan orang-orang terkemuka dalam masyarakat. Dalam majlis ini hadir Syekh Abdus Salam. Di sini Sultan minta fatwa kepada ulama-ulama, apakah boleh diwajibkan kepada penduduk pajak harta benda mereka untuk perbelanjaan perang. Dalam hal ini ulama-ulama berasa takut mengeluarkan fatwanya. Kalau sekiranya mereka itu membolehkan, sudah barang tentu penduduk akan marah kepadanya. Dan sebaliknya kalau mereka itu melarang, maka Sultan pula yang akan marah. Sebab itu ulama-ulama ini saling menolak untuk dimintai fatwanya, dan sampailah kepada giliran Syekh Abdus Salam.

“Seluruh yang hadir diam, tidak seorang pun berani mengeluarkan suara. Dalam fatwanya itu beliau terang-terangan mewajibkan memungut harta amir-amir dan raja-raja dalam negara. Mereka ini disamakan dengan rakyat umum, baik dalam berpakaian mahu pun dalam membayar pajak terhadap negara. Sudah itu baru dipungut daripada rakyat umum, yang tadinya amir-amir ini tidak diperbolehkan sama sekali.

“Dalam hal ini Sultan berasa hairan, berasa bingung, mengambil harta daripada amir-amir ini sulit, tidak gampang seperti memungut daripada rakyat umum. Hal ini akan menyalakan api fitnah dalam negeri yang sulit memadaminya. Sebab itu Sultan mengutus seseorang kepada Syekh Abdus Salam untuk mengatakan bahawa sulit mengambil harta daripada amir-amir. Di samping Sultan menyarankan agar beliau berhati-hati dalam berfatwa. Memungut pajak daripada amir-amir ini akan menimbulkan risiko yang sulit untuk dipecahkan, malah belum dapat diramalkan bagaimana akibatnya nanti.

“Saranan ini ditolak oleh Syekh dengan mengatakan kepada utusan ini, “Aku tidak akan mencabut fatwaku ini untuk dipertimbangkan oleh Sultan.”

“Kata beliau selanjutnya, “Raja harus berlaku adil dan berfikir untuk kepentingan kaum Muslimin. Syekh ini bersetumpu pada pendiriannya itu, sehingga sekalian yang hadir dalam sidang itu memastikan bahawa beliau pasti akan ditangkap oleh Sultan.

“Kiranya sebaliknya yang terjadi. Mendengar pendirian tegas beliau ini, Sultan bercucuran air matanya. Lalu Sultan itu berdiri dari kerusinya datang kepada Syekh ini lalu diciumnya kepala gurunya ini seraya berkata, “Allah memberkahi kami dan juga tanah air kita Mesir yang tercinta ini. Islam betul-betul bangga dengan orang-orang yang seperti Tuan Syekh. Jangan takut mengatakan yang benar itu, sekalipun apa yang terjadi.”

Berikutan langkah Sultan yang berjiwa rakyat itu, kerjasama erat diberikan semua pihak untuk menghadapi tentera Mongol. Malah Sultan dan isterinya, Jalinar, turut sama ke medan perang. Dalam perang yang menentukan mati hidup empayar Islam itu, Jalinar terbunuh dan ketika saat hampir menghembuskan nafas terakhir di pangkuan suaminya, dia mengucapkan ‘Wahai Islamku, wahai Islamku’ (ertinya selamatkan Islam).

Sungguh terharu apabila membaca apa yang diungkapkan penulis: “…Sultan lalu duduk termenung di atas kasur, dan isterinya dicium sepuas-puasnya, air matanya bercucuran. Sayup-sayup terdengar suara Sultan, “Wahai isteriku, wahai kekasihku.” Ketika Sultan mengusap wajah isterinya ini, Jalinar membuka matanya dan menoleh kepada Sultan sambil berkata terputus-putus, “Wahai Islamku, wahai Islamku.”

“Jalinar tidak mengatakan wahai kekasihku, tapi wahai Islamku. Yang ikut menghadiri ketika rohnya keluar itu hanya dua orang iaitu dayang-dayang dan seorang doktor.

“Untuk yang terakhir Sultan mencium isterinya itu dengan air mata bercucuran, sudah itu dia bangkit dan ditinggalkannya isterinya itu dan dititipkan kepada dayang-dayang dan doktor yang merawatnya itu, dia keluar dari khemah lalu naik ke punggung kuda dan pergi ke medan pertempuran.”

Malikul Muzafar yang amat terkesan dengan kematian isterinya, begitu bersemangat di medan perang. Baginda dan angkatan Mesir akhirnya berjaya mengundurkan tentera Mongol. Inilah kemenangan penuh makna yang menyelamatkan umat Islam daripada dihancur-leburkan oleh tentera Haulako Khan yang bersemayam di Baghdad.

Sesetengah pihak menyamainya dengan perang pada zaman Nabi s.a.w. seperti Perang Qadisiyah dan Yarmuk. Perang ini dimenangi oleh tentera Muslimin kerana mereka berpegang kepada kebenaran. Semuanya, termasuk raja (pemerintah), isteri (golongan wanita), ulama dan rakyat takut kepada Allah SWT. Jika pemerintah menunjukkan teladan, insya-Allah, rakyat akan menyusulinya!

http://lanh14.blogspot.com/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan