KUALA TERENGGANU, 16 April (Hrkh) - Isu penyelewengan serta penyalahgunaan wang royalti petroleum negeri Terengganu yang sering kali dibangkitkan oleh PAS akhirnya diakui oleh Menteri Besar (MB) Terengganu, Dato' Ahmad Said
Dato' Ahmad mengakui isu royalti yang dibangkitkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Wakaf Mempelam, Mohd Abdul Wahid Endut ada kebenarannya yang kini dalam proses rundingan serta tuntutan kembali.
Wakaf Mempelam (Abdul Wahid) ada membangkitkan mengenai royalti iaitu wang royalti dibelanjakan untuk membiayai Program Rumah Mesra Rakyat (PRMR) yang dilaksanakan oleh Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) diberi kepada kerajaan-kerajaan negeri yang lain.
"Ini memang kita (kerajaan) akui dan kita (kerajaan) telah membuat semakan-semakan dan ini merupakan sebahagian dari rundingan yang perlu kita (kerajaan) kembalikan wang ini kepangkuan negeri Terengganu,"jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika menggulung Persidangan Mesyuarat Yang Pertama Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri (Dun) Terengganu, di Wisma Darul Iman, semalam.
Menurutnya, SPNB telah menggunakan RM873 juta wang royalti minyak Terengganu bagi melaksanakan projek perumahan di seluruh Negara.
Namun begitu, katanya dari jumlah tersebut hanya RM102 juta dibelanjakan bagi projek SPNB itu di negeri ini.
"Ini bermakna, SPNB masih berhutang dengan kita (Terengganu) sebanyak RM771 juta dan tuntutan untuk wang royalty yang dijadikan dana khas yang dibahagi ke negeri-negeri lain adalah sebanyak RM717 juta,"ujarnya.
Katanya, kerajaan negeri juga sedang berbincang bagi menuntut kembali wang royalti minyak sebanyak RM2.6 bilion yang telah digunakan oleh beberapa kementerian lain.
Menurutnya, beberapa kementerian terbabit menggunakan dana khas (royalti) dalam melaksanakan projek-projek di negeri ini termasuk pembesaran Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) dan pembinaan Lebuhraya Pantai timur (LPT).
Menteri Besar itu menjelaskan dari tahun 2000 hingga tahun 2008 kerajaan Terengganu hanya menerima wang royalti petroleum sebanyak RM6.27 bilion dari kerajaan pusat.
Katanya, jumlah wang yang sepatut diterima oleh kerajaan Terengganu dalam tempoh tersebut adalah RM15.847 bilion.
Ahmad turut mengumumkan kerajaan negeri baru menerima sebanyak RM650 juta dari jumlah yang sepatutnya diterima iaitu sebanyak RM1.394 juta sepanjang tempoh September 2008 hingga Mac 2009.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan