Jumaat, 10 April 2009

Pembaharuan Yang Memecahkan Parti

BARISAN Kabinet Najib Razak yang ditunggu-tunggu sejak tujuh hari lalu akhirnya dizahirkan semalam. Tepat jam 3:00 petang tadi semalam Najib mengumumkan barisan Kabinetnya di sidang akhbar khas di pejabatnya di Putrajaya.

Dengan didampingi timbalan presiden Umno, Muhyiddin Yassin yang sudah mulai pandai tersenyum, Najib menghuraikan mengenai fungsi, semangat, pendekatan dan falsafah pembaharuan yang dibuatnya dalam Kabinet itu secara ringkas.


Bagi Najib Kabinet yang mengandungi 28 menteri dan 40 timbalan menteri itu Kabinet perubahan yang dibentuk selepas beliau berbincang dengan berbagai pihak. Kabinet itu juga adalah saf kepimpinan yang diidamkan dan dibentuk atas responsif rakyat dan peka dengan tuntutan semasa.

Motto atau tagline Kabinet Najib ialah; satu Malaysia, rakyat didahulukan dan prestasi diutamakan!

Berdiri juga bulu roma ketika mendengar Najib memberi huraian mengenai harapannya kepada barisan Kabinetnya itu. Nampak kesungguhan dan ketulusan Najib yang mengharapkan menteri berkerja untuk rakyat dan mendahului rakyat dari segala-gala kepentingan lain.

Apabila Najib menekankan supaya menterinya berkerja untuk rakyat dan prestasi mereka akan dinilai sendiri olehnya setiap enam bulan sekali memberi gambaran Najib bukan main-main untuk melakukan pembaharuan dan membawa perubahan bagi membela rakyat.

Seharusnya apapun tanggapan terhadap Kabinet Najib beliau hendaklah diberi peluang. Sama-samalah kita menerima Kabinet Najib dan menilai sejauh mana keupayaannya secara adil. Sebagai Kabinet sulung tentu ianya akan dikemaskan dari semasa ke semasa selepas ini.

Di sini saya tidak berhajat untuk menilai satu persatu kepakaran, bakat, kebolehan dan saksiah menteri-menteri Najib termasuknya beberapa orang muka baru yang belum dikenali dari mana datangnya itu. Setengah daripadanya kita sudah pun tahu sejauh mana kebolehan dan komitmen mereka kepada tugas masing-masing serta mengenali hitam putih latar belakangnya.

Masih ada yang tidak berkemampuan melaksanakan tugas tetapi dikekalkan dalam Kabinet manakala mereka yang rajin dan mempunyai idea dibuang. Sekali lagi hak ini adalah hak Najib, walaupun pengekalan itu mungkin atas sifat kronisme.

Pun begitu kalau tindakan membuang dan membawa masuk muka baru itu dibuat bukan atas kebolehan, bakat, komitmen dan semata-mata kepada kesetiaan dan kerana kroni, ia tidak akan membawa perubahan seperti mana yang diharapkan itu. Najib hanya perlu tunggu masa sajalah kekecohan dan keretakan akan berlaku dalam kepimpinannya.

Secara umumnya tidak ada apa-apa kejutan yang dilakukan Najib dalam penyusunan itu seperti mana diduga. Walaupun menurutnya penyusunan itu dibuat bukan bersendirian tetapi setelah menerima pandangan daripada berbagai pihak, tetapi ia menimbulkan keyakinan sejauh manakah akan keidealannya. Yang barang tentunya pandangan bekas PM, Abdullah Badawi mungkin tidak diambil kira.

Siapakah antara orang yang dirujuk oleh Najib? Semalam saya sudah meramalkan kalau Mukhriz Mahathir dibawa masuk ke dalam Kabinet dan Khairy Jamaluddin dicicirkan, sahih antara orang yang dirujuk itu ialah Mahathir Mohamad. Sudah pasti kalau Mahathir dirujuk Mahathir tidak akan halal untuk Khairy menyertai Kabinet kononnya Khairy seorang perasuah!

Nampaknya cita-cita dan impian Mahathir tercapai. Kesanggupannya turun berkempen di Bukit Gantang berbaloi apabila hari ini anaknya Mukhriz dilantik menjadi timbalan menteri, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) di mana kementerian yang merupakan sekolah untuk seseorang menjadi perdana menteri di masa akan datang. Perlantikan Mukhriz yang kalah itu sebagai imbuhan untuk Mahathir.

Kita pun faham kenapa Mukhriz diletak di bawa Mustapa Mohamed ialah untuk membolehkan Mustapa mengajar ataupun diajar oleh Mukhriz yang akan menerima nasihat dari bapaknya, Mahathir. Umum juga tahu siapakah Mahathir bagi Mustapa Mohamed.

Tindakan Najib untuk akur atas kehendak (Mahathir) itu, membawa masuk orang yang kalah dan meninggalkan orang menang satu keberanian. Tindakan ini jarang dilakukan perdana menteri sebelum ini. Tradisi ketua pemuda tidak dilantik menyertai Kabinet yang diamalkan Mahathir Mohamad tampaknya menjadi turutan Najib. Mahathir tidak melantik Zahid Hamidi ke dalam Kabinet walaupun Zahid menang ketua pemuda. Apakah ini juga pembaharuan dan perubahan glokal?

Sebenarnya tidak mengapa kalau ketua sayap parti tidak memegang apa-apa jawatan. Khairy boleh berkerja dan memfokuskan untuk menguat dan memperkasakan pemuda dan parti. Tetapi apabila ketua sayap Puteri dan Wanita serta Naib Timbalan Ketua dibawa masuk dalam Kabinet cara itu akan dianggap sengaja dilakukan untuk menghina Khairy.

Sekiranya Najib tidak berhajat untuk mengambil Khairy disebabkan tuduhan rasuah, (oleh Mahathir) maka beliau juga patut tidak mengambil ketua Wanita, Shahrizat Abdul Jalil, ketua Puteri, Rosnah Rashid Sirlin dan Naib Ketua Pemuda, Razali Ibrahim sebagai menteri dan timbalan menteri.

Pengguguran Syed Hamid Albar, Zulhasnan Rafique, Mohd Zain Mohamed, Azalina Othman Said, Muhamad Mohd Taib, Amirsyam Aziz, Ong Ka Chuan serta timbalan menteri Idris Harun, Noraini Ahmad mungkin tidak akan menimbul apa-apa kesan sebab mereka tidak menjadi ketua kepada mana-mana sayap parti.

Mereka boleh pergi begitu saja apabila dirasakan sudah tidak diperlukan lagi.

Tetapi Khairy adalah ketua pemuda. Walaupun tidak semua barisan kepimpinan Pemuda bersamanya namun suku daripada telah memilihnya. Cara Najib mencicirkan nama Khairy itu bukan saja memalukan menantu bekas PM ke-5 itu tetapi memalukan seluruh saf Pemuda.

Kesimpulanya penyusunan Kabinet baru Najib tadi, dari segi zahirnya ia diakui mempunyai roh dan ada komitmen untu membela rakyat dan melakukan perubahan dalam kerajaan. Tetapi malang sedikit Najib kurang memberi perhatian kepada soal-soal keadilan dan kesaksamaan di dalam partinya sendiri.

Apabila Najib menggugurkan orang tertentu serta merombak tradisi parti secara mendadak ia menjelaskan kepada dunia Najib tidak dapat membuang sentimen dan rasa benci kepada satu pihak lain. Sikap ini sesungguhnya tidak menguntungkan Najib kerana ia lama kelamaan boleh menimbulkan perpecahan dan timbulnya fraksi dalam partinya. [d'kota kl 4:30 pm 09/04/09]

Tiada ulasan:

Catat Ulasan