Rabu, 1 April 2009

Rayuan dana 'Bebaskan Harakah' dilancarkan

KUALA LUMPUR, 1 April (Hrkh) - Tanggal 23 Mac lalu, Harakah 'digantung' selama tiga bulan tanpa alasan. Ianya sekatan Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang telah mengakibatkan suara rakyat selama ini ditutup secara paksa dan menggugat kebebasan media yang sepatutnya menjadi wadah perjuangan menegakkan keadilan dan membela nasib rakyat.

Biarpun 'diikat' dan diasak teruk, namun perjuangan tidak terhenti semata-mata akibat sehelai surat arahan tanpa nurani itu. Dengan semangat sokongan dan suntikan penyokong dan pembaca setia, Harakah melancarkan Rayuan dana 'Bebaskan Harakah' hari ini bagi menguatkan dan membantu meneruskan perjuangan membebaskan media daripada cengkaman akta yang tidak bermata.

Rayuan ini dibuat sendiri oleh Ketua Pengarang Harakah Ahmad Lutfi Othman yang antara objektifnya untuk menambahkan dana kempen membebaskan Harakah sekaligus memberi kesedaran betapa pentingnya maklumat dan laporan benar serta tepat sampai kepada masyarakat.

Katanya sejak 22 tahun lalu, Harakah secara konsisten menyuarakan kebenaran, membongkar penyelewengan, menyelongkar salah guna kuasa, membela rakyat tertindas dan memartabatkan suara rakyat.

"Umno-BN yang diselimuti rasuah dan korupsi cukup takut dengan pendedahah Harakah. Mereka bimbang terus kecundang.

"Sesungguhnya suara kebenaran tidak dapat ditutup hanya dengan penggantungan tanpa sebab ini," katanya kepada Harakahdaily sebentar tadi.

Katanya rayuan dana ini seiring dengan hasrat mahu melihat negara ini mengamalkan prinsip kebebasan media tanpa sekatan sekaligus memansuhkan Akta Mesin Cetak yang seing kali disalahguna untuk kepentingan pihak tertentu.

"Perjuangan membebaskan Harakah ini bukan berakhir di tiga pilihan raya kecil tetapi akan diteuskan dengan lebih hebat lagi.

"Justeru saya merayu, kepada pihak yang bersimpati, pembaca dan penyokong untuk menyumbang dana bagi kami menjayakan kempen kesedaran ini," katanya.

Untuk itu kata Lutfi, sesiapa yang berminat dan sudi menghulurkan bantuan, bolehlah menyalurkan derma atas nama HARAKAHDAILY DOT COM di akaun Maybank bernombor 5640 7000 0336. Jasa baik semua mudah-mudahan diganjar Allah. - azm _

Tiada ulasan:

Catat Ulasan