Oleh G. MANIMARAN
KUALA LUMPUR: Tengku Razaleigh Hamzah menegaskan, beliau tiada sebarang hasrat untuk keluar Umno buat masa sekarang, sebaliknya bersedia untuk membantu usaha pembentukan kerajaan perpaduan jika diperlukan.
"Saya tidak akan keluar Umno buat sekarang," kata Ketua Umno Bahagian Gua Musang itu, yang beberapa kali pada sidang media sebentar tadi, menekankan yang beliau adalah penyokong Umno.
Ketika ditanya mengapa beliau berkata "tidak buat masa sekarang", bekas Naib Presiden Umno itu menjelaskan, tidak tahu apa akan berlaku esok.
Desas-desus muncul semula sejak minggu lalu bahawa Razaleigh yang pernah menubuhkan Parti Semangat 46 selepas keluar Umno dua dekad lalu akan menyerai Partik Keadilan Rakyat (PKR).
Beliau kembali ke Umno tahun 1995.
Desas-desus sedemikian pernah muncul tahun lalu tetapi telah dinafikan oleh bekas Menteri Kewangan itu.
Mengenai idea kerajaan perpaduan yang pernah diutarakan oleh beliau tahun lalu dan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang baru-baru ini, beliau bersedia untuk memainkan peranan jika dikehendaki.
"Kalau saya dikehendaki, saya bersedia untuk membantu... saya bersedia untuk itu," kata Razaleigh yang awalnya berkata, "beliau tidak penting" dan ada pemimpin-pemimpin lain yang boleh memainkan peranan ke arah itu.
Bagaimanpun beliau juga menekankan bahawa pembentukan kerajaan perpaduan adalah penting bagi negara ketika ini berhadapan dengan pelbagai cabaran dalaman dan luaran seperti krisis ekonomi global.
Langkah sedemikian pernah diambil oleh bekas Perdana Menteri, Allahyarham Tun Abdul Razak sehingga membawa kepada pembentukan Barisan Nasional (BN) pada 1974.
Ketika ditanya sama ada Perdana Menteri baru, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak perlu mengorak langkah ke arah kerajaan perpaduan, Razaleigh memberitahu:
"Saya rasakan beliau (Najib) harus ambil langkah itu."
Katanya, PAS telah memberikan respons dengan baik berhubung idea tersebut.
Najib, anak Tun Razak, dilantik menjadi Perdana Menteri yang keenam pada 3 April lalu.
Najib ketika menyampaikan ucapan penerimaan jawatan Presiden Umno dan dalam ucapan sulungnya sebagai Perdana Menteri ada menyentuh keperluan semua pihak termasuk parti politik bekerjasama ke arah pembangunan negara dalam keadaan yang mencabar ini.
Pandangan yang sama turut disentuh ketika membentangkan Pakej Rangsangan Ekonomi Kedua di Parlimen bulan lalu.
Razaleigh turut menyentuh tentang kegagalan BN mendapatkan balik dua kerusi iaitu Bukit Gantang dan Bukit Selambau dalam pilihan raya kecil minggu lalu.
BN hanya mempertahankan kerusi DUN Batang Ai.
Tegas beliau, BN pernah kalah dalam pilihan raya kecil tetapi tidak seperti yang disaksikan sejak Ogos 2008.
Oleh itu, segala sumber perlu digandingkan untuk mendapatkan balik sokongan rakyat, jika tidak dalam tiga atau empat tahun akan mengalami situasi buruk.
Ketika ditanya sama ada Najib perlu menjalankan pembaharuan, Razaleigh berkata: "Ya, ya."
http://mstar.com.my/berita/cerita.asp?file=/2009/4/11/mstar_berita/20090411165813&sec=mstar_berita
Tiada ulasan:
Catat Ulasan