Khamis, 16 April 2009

SERUAN BERSATU DALAM BERDAKWAH - JAKIM BIAR IKHLAS

Ambuyat writes " Apabila JAKIM menganjurkan MUZAKARAH GURU-GURU AGAMA SABAH 2009 pada 7 hingga 9 April yang baru lalu saya cuma nak kata jangan sampai jadi ibarat orang selalu kata: “Cakap tak serupa bikin” apabila buat-buat tak tahu, buat-buat pekak dan buat-buat buta terhadap senario politik tanah air yang jelas sekali melakukan sebaliknya atau sesuatu yang KONTRA dan sangat bertentangan dengan dakwah Islamiyah seperti menentang hudud dan sebagainya.

Tak payahlah saya hurai panjang lebar benda ini…. Nanti ada yang kata cerita dah BASI malu jer nanti. Memadailah nak tanya… selama ini sejauh mana JAKIM telah menjalankan peranannya dalam MISI & VISI Dakwahnya? Atau hanya menjadi “Syaitan Bisu” bila cuba memilih-milih perkara yang hanya sesuai dengan rentak kerajaan sahaja baru mahu diperjuangkan (ini bukan saya seorang yang kata - ramai orang kata).

Sejauh mana JAKIM bersifat ikhlas mengajak pelbagai agensi badan berkanun dan Ngo’s untuk berjalan seiring, berganding bahu dalam memartabatkan Islam sebagai Ad-Din? Kemana perginya JAKIM ketika rakyat bermandi air asid dan menyedut asap gas pemedih mata apabila memperjuangkan keadilan (Islam) menuntut kebersihan dalam PRU oleh gabungan yang mengelarkan diri mereka sebagai BERSIH sebelum PRU12 yang lalu? Apakah JAKIM menganggap memperjuangkan “Keadilan dalam PRU” sebagai tidak bercirikan Islam?

Kalau isu BERSIH dan PPSMI dikira sebagai tidak ada sangkut paut dengan perjuangan JAKIM, apa pulak JAKIM nak jawab di hadapan Allah SWT mengenai program Tv3 yang dikatakan oleh Sahibus-Samahah Mufti Negeri Perak Darul-Ridhwan Datuk Hj. Harussani sebagai program yang melalaikan umat Islam dan melarang (mengharamkan) umat Islam menyertainya iaitu “Sure HEBOH”. Bila dikatakan bahawa program hiburan seperti itu telah menyebabkan remaja kita hancur (dikatakan) oleh semua pihak yang prihatin terhadap akhlak muda-mudi remaja kita, JAKIM hanya buat-buat pekak, buat-buat buta dan menjadi “Syaitan Bisu” semata-mata.

Apabila gejala sosial meningkat dikalangan remaja, JAKIM (seolah-olah) turut bersetuju mempersalahkan Ibu-Bapa dan juga Guru sebagai gagal mendidik dan hanya makan gaji buta. Saya mengajak semua golongan “Da’i” agar IKHLAS dalam melaksanakan perintah Allah SWT, bukan kerana yang lain melainkan kerana Allah SWT semata-mata. Janganlah kita hanya pandai menuding jari mempersalahkan golongan itu dan ini apabila kita merasa kurang berkesan atau gagal menepati sasaran dalam agenda atau program dakwah yang kita laksanakan.

Tapi saya cuma nak kata…. JAKIM yang berperanan sebagai “Lidah Kerajaan” dalam arena dakwah nasional mestilah bertindak ikhlas dalam mempastikan kerajaan yang memerintah berjalan sesuai dengan kehendak Islam. JAKIM adalah agensi kerajaan yang diharapkan dapat memberi nasihat dan panduan yang benar-benar menepati syarak terhadap para pemimpin kerajaan, khasnya dalam menjaga keharmonian agama dalam tindak-tanduk kerajaan dan juga rakyat jelata. JAKIM jangan berharap kepada agensi lain untuk membuat teguran dan nasihat kerana mereka boleh dianggap tidak benar dan mempunyai motif-motif tertentu oleh pihak kerajaan. Sebaliknya apa yang telah disepakati oleh agensi-agensi dakwah dalam apa yang disebut sebagai “Wahdatul Fikri” dalam MUZAKARAH yang telah dan akan diadakan hendaklah disampaikan kepihak berwajib tanpa dibayangi oleh sifat takut, jauh sekali kerana ingin mengampu kerajaan.

Suka saya nak katakan di sini bahawa apa yang berlaku sekarang ialah, Ibu-Bapa dan guru ibarat menyiram dan membaja tanaman (anak-didik) dipihak sebelah kanan (Ashabul Yamin) pada masa yang sama di pihak yang lain iaitu media massa nampaknya menuangkan racun (merosak anak-didik) dengan hiburan melampau serta promosi meluas terhadap pelbagai perkara negatif oleh golongan ini (Ashabus Syimal). Pendek kata di rumah sekian pengajaran yang disemai oleh Ibu-Bapa di tambah dengan pendidikan yang diajar oleh guru di sekolah, namun di antara keduanya (selain dari di rumah dan sekolah) sekian banyak kemungkaran yang melambai-lambai anak-anak kita untuk masuk terjebak ke dalam gejala mungkar yang dihalalkan operasinya oleh kerajaan. Mana dia dakwaan yang mengatakan bahawa dengan menyambut dan meraikan acara-acara keagamaan yang kita amalkan selama ini membawa kesan posotif dalam meningkatkan syiar Islam ? Ramai yang bersetuju mengatakan bahawa semuanya gagal apabila pihak Ashabus Syimal mendendangkan agenda yang kontra.

Akhir sekali, marilah kita mengikhlaskan “Wahdatul Fikri” yang kita muzakarahkan ini untuk kita sampaikan dan laksanakan bukan sahaja untuk rakyat jelata tetapi yang lebih penting lagi ialah kepada para pemimpin negara dan kerajaan itu sendiri. Barulah kita layak bergelar sebagai “Khaira Ummah dan Khalifah” dan negara kita akan mendapat gelaran sebagai “Baldatun Thoiyibatun wa Rabbun Ghafur” Insya Allah. Ketahuilah bahawa apa yang saya sampaikan ini bagaikan satu bahan letupan yang tertambat dibadan saya namun hanya KEIKHLASAN itulah yang membuatkan saya menyampaikannya hanya kerana Allah SWT. Semoga Allah SWT menggolongkan kita dalam kalangan hamba-hambaNYA yang “Solehin, Muttaqin dan Mukhlisin” Amin ya Rabbal alamin!



Sekian terima(lah) kasih,



Abdinabu@Ambuyat

Tiada ulasan:

Catat Ulasan