Sabtu, 11 April 2009

Sidang Asean dibatal, Najib selamat

Kerajaan Thailand mengumumkan pembatalan Sidang Kemuncak Asean ke-14 dan Perdana Menteri Thailand pula mengisytiharkan perintah darurat ke atas Pattaya dan Chonburi.

Sebelum itu, beratus-ratus penunjuk perasaan merempuh masuk ke pekarangan Dewan Pameran dan Konvensyen Pattaya dalam usaha mengganggu Sidang Kemuncak Asean ke-14 dan sidang kemuncak berkaitan.

najib in pattaya thailand asean summit 10409Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang sedang menghadiri Sidang Kemuncak Asean ke-14 selamat walaupun hotel penginapannya Royal Cliff Grand Hotel dan Spa di Pattaya cuba diserbu masuk oleh perusuh anti-kerajaan Thailand kira-kira jam 1 tengah hari ini waktu Thailand.

Bagaimanapun, para perusuh itu telah meninggalkan tempat itu setengah jam kemudian setelah mengadakan rundingan dengan pasukan keselamatan.

Hotel itu, yang terletak berhadapan tempat mesyuarat Sidang Kemuncak Asean, Dewan Pameran dan Konvensyen Pattaya (Peach) juga turut menempatkan pemimpin negara Asean yang lain termasuk Perdana Menteri Thailand Abhisit Vejjajiva, lapor Bernama.

Beberapa helikopter kelihatan berlegar-legar di ruang udara hotel itu.

Thai protesters storm Asean summit in Pattaya, ThailandBerikutan kejadian itu, jurucakap kerajaan Thailand mengumumkan pembatalan Sidang Kemuncak itu dan Perdana Menteri Thailand pula mengisytiharkan perintah darurat ke atas Pattaya dan Chonburi.

Sidang Kemuncak Asean dengan enam rakan dialognya yang sepatutnya bermula pagi ini telah ditangguhkan selepas penunjuk perasaan anti-kerajaan menghalang semua laluan ke tempat mesyuarat dan bertempur dengan penyokong pro-kerajaan.

Antara sidang kemuncak yang dijadual bermula pagi ini ialah Sidang Kemuncak Asean+China yang telah ditangguhkan apabila Perdana Menteri China Wen Jiabao tidak dapat memasuki tempat mesyuarat di Dewan Pameran dan Konvensyen Pattaya itu.

Adalah difahamkan bahawa anggota delegasi China, yang tinggal di hotel Dusit Thani beberapa kilometer dari situ, enggan bergerak ke tempat mesyuarat walaupun pegawai kerajaan Thailand termasuk Datuk Bandar Pattaya Ittipol Kumpleum, yang menawarkan untuk membawa mereka dengan helikopter atau dengan bot di pusat peranginan tepi pantai itu.

Selain Sidang Kemuncak Asean + China, 10 anggota kumpulan Asean juga dijadual menghadiri sidang kemuncak dengan Korea Selatan, Jepun dan India, Sabtu manakala Sidang Kemuncak Asia Timur Keempat, yang juga termasuk Australia dan New Zealand, telah dijadualkan pada Ahad.

http://malaysiakini.com/news/102155

Tiada ulasan:

Catat Ulasan