KAMUNTING, 31 Mac (Hrkh) - Umno hanya berubah daripada pemimpin yang kurang baik kepada yang lebih teruk, tegas Timbalan Mursyidul Am PAS, Dato' Dr Haron Din.
Perubahan yang diuar-uarkan oleh pemimpin Umno selepas pemilihan parti itu baru-baru ini tegas beliau tidak berlaku sebaliknya pelbagai masalah sedang dihadapi kesan dari keputusan pemilihan tersebut.
"Apa yang berubah kalau pemimpin yang disahkan oleh Lembaga Displin Umno sendiri pun masih boleh menang dalam merebut jawatan Ketua Pemuda Umno.
"Perubahan yang mereka gembar gemburkan itu hanyalah semata-mata untuk menutup pergolakan yang sedang berlaku dalam Umno," tegas beliau.
Pergolakan yang masih berlaku dalam Umno itu tegas Haron Din membuktikan Umno kini semakin lemah dan terpaksa memainkan isu-isu yang remeh dalam usaha mereka untuk menawan kembali kerusi parlimen Bukit Gantang.
Umno tegas beliau, masih lagi terpaksa memainkan isu-isu perkauman dan menakutkan rakyat kerana jika tidak menggunakan cara tersebut mereka akan mengalami kekalahan besar.
Beliau menegaskan demikian dalam satu Forum Perdana sempena kempen pilihanraya kecil Bukit Gantang yang diadakan di sini baru-baru ini.
Selain beliau, Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man dan Ustaz Badrul Amin turut menjadi ahli panel forum tersebut yang dipengerusikan oleh Ustaz Idris Ahmad.
Haron Din juga menegaskan pengundi di Bukit Gantang harus bijak membuat pilihan sama ada mahu memilih pemimpin dari parti yang semakin tidak diyakini atau pemimpin dari parti yang memperjuangkan keadilan dan ketelusan untuk semua rakyat.
Justeru itu beliau berharap agar pengudi-pengudi di Bukit Gantang tidak terpengaruh dengan segala dakyah yang dibuat oleh Umno dan membuat pilihan dengan bijak. - mks._
Tiada ulasan:
Catat Ulasan