Jumaat, 1 Mei 2009

Isteri Ketua Menteri Sarawak Meninggal - Najib Terlambat?

Datuk Amar Puan Sri Laila Taib, isteri kepada Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud meninggal dunia jam 3.40 petang semalam(March 1, 1941 – April 29, 2009)

KUCHING: Datuk Amar Puan Sri Laila Taib, isteri kepada Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud meninggal dunia disebabkan sakit pada jam 3.40 petang semalam.


Allahyarham yang berusia 68 tahun menghembuskan nafas terakhir di kediaman mereka, Demak Jaya.

Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Mohamad Morshidi Abdul Ghani dalam satu kenyataan memberitahu, jenazah akan dikebumikan di tanah perkuburan Demak Jaya, Jalan Bako pada jam 11.30 pagi hari ini.

“Sesiapa yang ingin menziarahi jenazah allahyarhamah, sila berbuat demikian sebelum jam 11 pagi (hari ini),” katanya menerusi kenyataan yang difaks ke pejabat media, semalam.

Sebaik mengetahui berita menyedihkan itu, rumah Taib di Jalan Bako di sini dikunjungi pemimpin-pemimpin negeri dan saudara-mara.

Antara pemimpin yang terawal memberi penghormatan terakhir ialah Yang Dipertua Negeri Tun Datuk Patinggi Abang Muhammad Salahuddin, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan pemimpin-pemimpin yang lain.

Muhyiddin yang ditemani isterinya Puan Sri Noorainee Abdul Rahman, terus ke kediaman Ketua Menteri yang tiba di sini untuk lawatan kerja semalam selepas berkunjung ke Kampung Semariang Batu. (Najib mana?)

Sebaik mengetahui berita menyedihkan itu, rumah Taib di Jalan Bako di sini dikunjungi pemimpin-pemimpin negeri dan saudara-mara.

Bagaimanapun, petugas media tidak dibenarkan masuk ke pekarangan rumah untuk membuat liputan.

Taib pada majlis sambutan ulang tahun perkahwinan mereka ke-50 pada Januari lepas, menyifatkan Laila sebagai sumber inspirasi dalam karier politiknya.

Katanya, Laila memiliki ciri-ciri yang menarik dan sentiasa bersamanya ketika menempuh saat-saat sukar sebagai isteri ahli politik.

“Dia (Laila) tidak campur tangan dalam kerjaya politik saya. Laila memainkan peranan penting dalam kehidupan saya,” katanya.

Laila dilahirkan di Poland pada 1 Mac 1941.

Allahyarhamah mendirikan rumah tangga dengan Taib pada 13 Januari 1959 di Masjid Adelaide, Australia.

Pada masa itu Taib sedang mengikuti pengajian ijazah undang-undang.

Taib dan Laila pulang ke Sarawak pada 1962.

Pasangan berkenaan dikurnia empat cahaya mata - Jamilah Hamidah, Mahmud Abu Bekir, Dato Sri Sulaiman Rahman dan Hanifah. Pasangan bahagia itu turut dikurniakan 15 orang cucu.

Ketika hayatnya, Laila gemar melakukan kerja-kerja kebajikan. Pembabitannya dalam pelbagai pertubuhan membuktikan minat untuk berkhidmat dalam masyarakat.

Antara jawatan yang dipegang allahyarhamah ketika hayatnya ialah Presiden Sarawak Badan Amal Tenaga Isteri-isteri (Sabati) sejak 1982, Pengerusi Pergerakan Wanita, Majlis Dakwah Islam Wilayah Asia Tenggara dan Pasifik (Reseap) sejak 1983, Penaung Persatuan Bulan Sabit Merah Cabang Kuching sejak 1983, Penaung Persatuan Hoki Wanita Sarawak sejak 1985, ahli Badan Amal Kebajikan Tenaga Isteri-isteri Menteri Persekutuan sejak ditubuhkan, Ketua Wanita, Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) sejak 1980, Naib Presiden Perkim Kebangsaan sejak 1982, Pengerusi Perkim Sarawak sejak 1980, Pengerusi Perkim Kuching sejak 1988 dan Penaung Tabung Amal Kanser Laila Taib sejak Mei 2007.

Bagi menghargai peranan dan sumbangannya, allahyarhamah diberikan Anugerah Darjah Utama Yang Amat Mulia Bintang Kenyalang yang membawa gelaran ‘Datuk Amar’ oleh Yang di-Pertua Negeri Sarawak pada 1988, dianugerahkan Ijazah Doktor Kehormat Sains Politik daripada The Pacific Western University, Amerika Syarikat pada 1995, Keahlian Seumur Hidup oleh Institut Pengurusan Wanita pada 2002, Pingat Sultan Pangkat Pertama daripada Sultan Johor pada 2007 dan Pingat Kehormat Keahlian Seumur Hidup oleh Persatuan Bulan Sabit Merah Kebangsaan pada 2008.

jemput layari berita sabah dan sarawak di masdarwahid.blogspot.com

Tiada ulasan:

Catat Ulasan