SEREMBAN, 20 Mei (Hrkh) Ketua Penerangan PAS, Dato Mahfuz Omar melahirkan kebimbangan sebarang campur tangan Umno/BN terhadap keputusan Mahkamah Rayuan esok berhubung permohonan Dato Seri Ir Nizar Jamaluddin membatalkan penangguhan keputusan Mahkamah Tinggi yang mengesahkan Nizar selaku Menteri Besar Perak yang sah.
Mahfuz melihat, semacam ada signal yang telah dilontarkan mengenai hal itu daripada kenyataan yang dibuat Perdana Menteri, Dato Seri Najib Tun Razak apabila menyatakan hanya akan berbincang dengan Pakatan Rakyat selepas keputusan Mahkamah Rayuan esok.
Kita bimbang jika peristiwa campur tangan Umno/BN berulang kembali seperti dalam kes-kes perbicaraan Dato Seri Anwar Ibrahim pada tahun 1998, kes Pita Lingam, dan kita bimbang dengan kedudukan Ketua Hakim Negara, Zaki Tun Azmi yang jelas ahli Umno dan pernah memegang jawatan pentang dalam satu lembaga dalaman Umno, katanya ketika mengulas isu itu sebentar tadi.
Mahfuz berkata, petunjuknya mudah apabila hakim yang akan membuat keputusan esok ialah mereka yang didakwa pernah terlibat dalam kes Pita Lingam, dan hal ini membuatkan persepsi kini mula berlegar akan keraguan keputusan esok.
Saya bimbang dengan kenyataan itu dan merasakan keputusan esok menyelebahi Dato Dr Zambry Abdul Kadir, dan kenyataan Najib bahawa akan berbincang dengan pakatan selepas keputusan esok hanyalah untuk menjadikan pakatan sebagai pihak yang tertekan.
Saya pasti jika perbincangan diadakan dengan Nizar selaku MB yang sah, pastinya BN pula yang berada dalam keadaan tertekan, katanya.
Sehubungan itu beliau menggesa pihak kehakiman agar menyetujui permohonan Nizar supaya kes esok didengar dan diputuskan oleh panel lima orang hakim dan bukannya seorang.
Lima hakim juga perlu dari kalangan mereka yang berintegriti, bebas dari kaitan dengan kes-kes rasuah atau sebagainya yang ada kepentingan mana-mana pihak, ujarnya.
Begitupun, jika keputusan esok menyebelahi Zambry, beliau masiah berharap jika BN mempunyai maruah dan mahu dilihat bersih, BN perlu mencadangkan pembubaran Dun.
Terdahulu Peguam Leong Cheok Keng, yang mewakili Mohammad Nizar mengesahkan telah menghantar surat permohonan itu melalui faks ke pejabat Timbalan Pendaftar Mahkamah Rayuan.
Alasan permohonan itu ialah kerana kes tersebut, yang ditetapkan pendengarannya Khamis ini, membabitkan kepentingan awam, selain melibatkan isu dan persoalan perlembagaan, katanya.
Pada 11 Mei, Hakim Mahkamah Tinggi Dato' Abdul Aziz Ab Rahim mengisytiharkan Mohammad Nizar sebagai Menteri Besar Perak yang sah kerana mendapati Mohammad Nizar tidak pernah mengosongkan jawatan sebagai Menteri Besar kerana beliau tidak kehilangan kepercayaan majoriti anggota Dewan Undangan Negeri.
Berikutan keputusan itu, Dato' Seri Dr Zambry Abdul Kadir mengemukakan permohonan penangguhan pelaksanaan pengisytiharan itu yang telah didengar dan dibenarkan Hakim Mahkamah Rayuan Dato' Ramly Ali.
Mohammad Nizar kemudian memfailkan permohonan Rabu lalu untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan itu./wann _
sumber: harakah daily
Tiada ulasan:
Catat Ulasan