KUALA LUMPUR, 13 Mei (Hrkh) - Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Aziz Nik Mat akan menyampaikan amanatnya kepada seluruh rakyat Malaysia, jam 11.30 pagi ini.
Menurut laman web Naib Presiden PAS, Dato' Husam Musa dan beberapa blog yang lain, intipati amanat Menteri Besar Kelantan itu ialah mengenai peristiwa 13 Mei dari perspektif baru termasuk kegagalan Umno yang menerajui negara sehingga tercetusnya peristiwa hitam itu.
Difahamkan Pejabat Menteri Besar Kelantan turut menjemput semua wakil media dan media online termasuk bloggers untuk mendengar amanat penting itu di Dewan Teratai, Kompleks SUK Kota Darul Naim pagi ini.
Di dalam sidang media penting ini, Tuan Guru Nik Aziz, yang sudah menjadi Menteri Besar Kelantan selama hampir 19 tahun dijangka akan mengumumkan suatu penawarannya kepada rakyat Malaysia untuk memperkukuhkan perpaduan nasional.
Sidang media tersebut juga akan disiarkan secara live menerusi www.kelantan.tv
Sementara itu menurut laporan agensi berita Nik Aziz mahu kerajaan menjadikan peristiwa 13 Mei 1969 sebagai satu hari bersejarah yang diingati setiap tahun supaya tragedi hitam berhubung isu perkauman itu tidak berulang.
Katanya, peristiwa yang berlaku 39 tahun lalu itu perlu dijadikan iktibar oleh generasi akan datang untuk mengelakkan peristiwa yang boleh menimbulkan kegelisahan masyarakat berbilang kaum di negara ini.
"Sambutan bagi mengingati Peristiwa 13 Mei bukannya berasaskan agenda tertentu sebaliknya sebagai peringatan atau pedoman kepada masyarakat untuk memastikan kejadian yang sama tidak berulang," katanya kepada pemberita semalam.
Nik Aziz berkata, rakyat sepatutnya mengambil iktibar daripada sejarah hitam itu dengan meninggalkan perkara-perkara yang boleh mengulangi peristiwa sedemikian.
"Jangan sesekali bangkitkan masalah bangsa kerana keadaan ini akan menyebabkan timbul perasaan cemburu kaum lain sehingga menyebabkan orang Melayu dihina," katanya.
Sehubungan itu, Nik Aziz mengajak masyarakat negara memilih sistem Islam sebagai cara hidup iaitu titik perpaduan yang dianjurkan Nabi Muhammad s.a.w. yang bukan sahaja boleh diamalkan orang Melayu tetapi juga kaum lain. - azm/mks. _
sumber: harakahdaily.net
Tiada ulasan:
Catat Ulasan