Muktamar Tahunan PAS Pusat Jun ini dijangka menarik kerana parti ini mengadakan muktamarnya dalam suasana kemunculan Pakatan rakyat sebagai pesaing kuat Barisan Nasional.
Dalam pakatan rakyat PAS merupakan parti terbesar dari segi bilangan ahli, cawangan dan jentera serta organisasi. Apatah lagi buat masa ini rekod PAS dianggap terbaik setelah 1969 dengan 28 kerusi di Parlimen dan yang terbanyak pada kerusi-kerusi Dewan Undangan Negeri.
Rakyat sedang memerhatikan Muktamar PAS dengan satu harapan. Muktamar PAS kali ini juga menarik kerana perwakilan parti akan memilih calon-calon untuk diletakkan sebagai kepimpinan parti dan diharapkan dapat menerajui parti dalam suasana mencabar hari ini.
Tanggapan umum
Sememangnya menarik muktamar kali ini kerana selain daipada orang ramai, rakan-rakannya dari DAP dan Parti KeADILan Rakyat pun memerhatikan muktamar dengan berdebar-debar untuk melangsungkan persahabatan, tidak lupa juga pihak lain yang berminat ialah pesaing PAS iaitu Umno.
Mereka melihat perkembangan muktamar ini dengan bercampur baur perasaan supaya mereka dapat mengukur kekuatan kepimpinan yang akan dilantik kelak.
Demikianlah tanggapan kawan dan lawan PAS, namun bagaimana pula ahli-ahli PAS?
Sudah tentu lebih menarik kerana ahli PAS akan bergantung harap kepada kepimpinan baru yang akan dilantik dan ahli PAS juga mengharapkan kepimpinan yang akan dilantik dapat membawa imej parti yang semakin mendapat perhatian berbagai kaum.
Dalam suasana ini, calon-calon yang akan mendapat perhatian ialah kepimpinan tertinggi parti bermula dari Presiden, Timbalan Presiden, dan jawatan tiga Naib Presiden.
Walaupun bagi jawatan Presiden, dijangka tiada pencabar, namun jawatan Timbalan Presiden dan Naib-Naib Presiden akan menjadi tumpuan.
Kecualilah calon-calon menarik diri maka tidak akan ada pertandingan, tetapi melihat perkembangan hari ini, pertandingan tidak dapat dielakkan lagi.
Isu-isu menarik
Yang lebih menarik ialah 'kehangatan' sebelum pemilihan parti kerana sebelum muktamar akan menyaksikan berbagai spekulasi tentang calon yang akan bertanding.
Di sebalik nama-nama calon itu akan ada pula isu-isu yang akan dikaitkan dengan calon-calon yang akan bertanding walaupun tidak seperti pemilihan parti Umno yang menabur duit di sana sini.
Tapi yang pasti isu lama akan muncul dan kriteria ulama-profesional akan menjadi persoalan.
Ada juga isu lanjutan ulama-profesional ialah isu kumpulan Erdogan. Entah dari mana asal-usul isu ini tidaklah dapat diketahui tetapi ia sudah menjadi bahan utama yang cuba mempengaruhi kecenderungan perwakilan membuat pilihan.
Soalnya apakah makna kumpulan Erdogan? Bagi yang tidak tahu siapa Erdogan, dia bukanlah ahli PAS tetapi Perdana Menteri Turki hari ini dari AK parti yang telah berpisah dengan parti Islam Refah di Turki.
Namanya menjulang apabila partinya berjaya menguasai kerajaan sekular Turki dengan kemengan yang besar dan bergaya.
Erdogan adalah lambang reformasi yang mahu melihat partinya maju ke hadapan dan menguasai pesada politik tanahair.
Ikon ini dikaitkan dengan kononnya kumpulan dalam parti yang berusaha melakukan reformasi dalaman parti PAS.
Apakah jolokan nama Erdogan yang dikaitkan dengan kumpulan tertentu dalam PAS cuba menggambarkan bahawa yang bukan Erdogan adalah mereka yang tidak mahu melihat reformasi parti PAS?
Apakah reformasi parti untuk melihat ia lebih maju dan dapat menangani cabaran mendatang satu yang negatif?
Ataukah ada isyarat yang cuba hendak disampaikan bahawa yang bukan Erdogan adalah merka yang tidak mahu melihat reformasi parti?
Isu ini dikhuatiri akan menghantar isyarat yang salah untuk kebaikan parti.
Pertembungan Konservatif-Reformis?
Dalam mana-mana parti politik mesti ada kumpulan yang dianggap konservatif yang mahu melihat dasar parti tidak berubah dan garis perjalanan parti kekal seperti mana bentuk asalnya manakala golongan reformis pula mahukan perubahan yang membolehkan parti terus maju.
Persoalannya apakah kebimbangan konservatif dan reformis ini relevan untuk dikaitkan dengan pemilihan PAS kali ini? Hakikatnya persoalan meninggalkan dasar parti tidak timbul begitu juga budaya dan garis perjalanan parti pun tidak timbul, yang timbul ialah bagaimana parti harus membawa perjuangannya dalam suasana yang mencabar hari ini.
Dasar akan tetap kekal, tetapi adaptasi dan penyesuaian kepada politik baru, cara berfikir pengundi yang baru dan trend politik baru itulah yang memerlukan kepimpinan yang responsif kepada keadaan sekelilingnya.
Tidak kiralah samada Erdogan atau tidak, konservatif atau reformis, soalannya apakah PAS mampu menerajui politik dan perkembangan baru politik tanah air?
Bagaimana pula kepimpinan baru nanti akan membawa parti ini pada era baru yang akan bersifat inklusif untuk semua kaum tanpa meninggalkan dasar Islamnya?
Ini yang sepatutnya menjadi pertimbangan perwakilan nanti bukan dari mana kumpulan ini atau itu datang.
Lebih buruk perwakilan langsung tidak mengambil kira segala perkemabangan baru yang berlaku disekeliling mereka.
Malang sekali jikalau kesempatan ini diambil oleh pihak tertetentu untuk melihat Muktamar ini sebagai medan ujian peribadi dan bukan melihat keperluan membawa parti ini kepada tahap yang lebih meyakinkan rakyat Malaysia.
PAS melalui proses kematangan
Namun isu yang cuba dilontarkan samada secara sengaja atau tidak dan dari pihak luar atau dalam adalah sebahagian dari rencah-rencam perjuangan PAS.
Ia bukan hanya kali ini, sebelum ini isu ulama-profesional menjadi bahan, sebelumnya isu kedaerahan, ini adalah pengalaman-pengalaman yang telah memantangkan PAS dan kepimpinannya.'
Oleh itu isu Erdogan hanya sebahagian daripada proses ini, sebab itu ahli PAS sepatutnya matang untuk membuat penilaian ke arah mana parti ini hendak dibawa dan siapakah kepimpinan yang mampu untuk membawanya. Inilah sepatutnya menjadi isu.
Persoalan siapa akan menjadi kepimpinan yang akan dipilih bukanlah sukar sangat untuk dibuat andaian dan telahan.
Tetapi yang membimbangkan kita ialah isu disebalik pemilihan inilah yang jika tidak ditangani dengan baik hanya akan memberi keuntungan kepada pihak-pihak yang melihat kepentingan dirinya dalam parti dan sekaligus menjadi pengkhianat kepada perjuangan parti kerana memberi jalan mudah kepada musuh-musuhnya. - mr_
sumber: detikdaily.net
Tiada ulasan:
Catat Ulasan