Khamis, 14 Mei 2009

Nizar dijadual ke KL, DAP akan buat laporan polis berhubung insiden Dun Perak

IPOH, 13 Mei (Hrkh) - Menteri Besar Pakatan Rakyat Perak, Dato' Seri Ir Nizar Jamaluddin dijadualkan ke Kuala Lumpur petang ini bagi menghadiri forum di Petaling Jaya malam ini.

Menurut Setiausaha Politiknya, Ustaz Misbahul Munir Masduki, Nizar akan menyertai forum itu bersama beberapa panelis lain bagi membincangkan pergolakan politik di Perak.

Sementara esok, Nizar juga akan menghadiri mesyuarat di Pejabat Agung PAS Pusat di Jalan Raja Laut difahamkan berhubung strategi terkini selepas isu Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan Dato' Dr Zambry Abdul Kadir menangguhkan keputusan Mahkamah Tinggi.

Dalam mesyuarat Pakatan Rakyat Perak semalam, langkah seterusnya masih belum diputuskan memandangkan peguam Nizar masih memperhalusi tindakan seterusnya.

Setakat ini kata Pesuruhjaya PAS Perak,Ustaz Ahmad Awang Pakatan Rakyat masih menunggu 'signal' dari peguam dan perkembangan seterusnya.

Sementara di pihak DAP pula, dikhabarkan akan membuat laporan polis terhadap insiden di Dewan Undangan Negeri baru-baru ini.

Namun, isu spesifik yang dilaporkan masih belum diketahui.

Sementara di Perak, situasi seperti biasa rakyat mula bekerja dan Bangunan Perak Darul Ridzuan yang menempatkan pejabat Menteri Besar terus dikawal rapi oleh pasukan simpanan persekutuan (FRU).

Semalam, Mahkamah Rayuan pada 12 Mei membenarkan permohonan Zambry untuk menangguhkan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam yang mengisytiharkan Nizar sebagai Menteri Besar Perak yang sah.

Penangguhan keputusan mahkamah itu diberikan sementara menunggu selesai rayuan yang dikemukakan oleh Zambry berhubung perkara tersebut.

Selepas keputusan dibuat pada kira-kira jam 1 tengahari, peguam Umno, Hafarizam Harun menggesa Nizar supaya mengosongkan pejabat menteri besar untuk memboleh Zambry kembali bertugas.

Manakala peguam Sulaiman Abdullah yang mewakili Nizar berkata menunggu arahan daripada anak guamnya mengenai langkah seterusnya.

Sementara sehari sebelumnya, ( 11 Mei), Hakim Mahkamah Tinggi Abdul Aziz Abdul Rahim mengisytiharkan Mohammad Nizar sebagai Menteri Besar Perak yang sah selepas memutuskan Nizar tidak mengosongkan jawatan sebagai menteri besar kerana beliau tidak kehilangan kepercayaan majoriti anggota Dewan Undangan Negeri.

Pada 13 Februari, Nizar, 52, memfailkan permohonan kepada mahkamah bagi diisytiharkan yang beliau pada sepanjang masa adalah menteri besar Perak yang sah dan injunksi untuk menghalang Zambry daripada menjalankan tugasnya sebagai menteri besar.

Nizar, yang dilantik sebagai menteri besar pada 17 Mac tahun lepas selepas pakatan DAP-PKR-PAS memenangi 31 kerusi dalam pilihanraya umum ke-12, juga memohon diisytiharkan bahawa Zambry tidak berhak memegang jawatan menteri besar.

Pembangkang dan BN masing-masing mempunyai 28 kerusi dalam Dewan 59 kerusi itu selepas tiga ADUN pembangkang keluar parti dan menjadi wakil rakyat Bebas dan yang keempat keluar dari PKR dan menyertai semula Umno.

Sultan Azlan Shah kemudian meminta Mohammad Nizar meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar dan melantik Dr Zambry selepas mengisytiharkan BN mempunyai majoriti dalam Dewan.

Zambry memfailkan permohonan penangguhan pelaksanaan keputusan dan notis rayuan, 16 jam selepas Mohammad Nizar kembali menjadi Menteri Besar.

Berikutan keputusan itu, tokoh DAP Lim Kit Siang berkata Pakatan Rakyat akan memfailkan segera rayuan ke Mahkamah Rayuan bagi mengetepikan perintah penangguhan.- wann/mks. _

sumber: harakahdaily.net

Tiada ulasan:

Catat Ulasan