Jumaat, 1 Mei 2009
Penanti: Najib Lawan Mahathir
UBN nampaknya benar-benar berubah dari biasa! Menjelang pilihan raya kecil Dun Penanti 31 Mei depan UBN masih belum membuat keputusan. Kali ini UBN tidak seghairah menjelang pilihan raya-pilihan raya kecil sebelum ini. Kalau pilihan raya kecil Kuala Terengganu dan pilihan raya kecil Bukit Selambau, Bukit Gantang dan Batang Ai, UBN mendahului Pakatan Rakayat dalam mengumumkan calon, tetapi tidak untuk pilihan raya kecil Penanti.
UBN masih terkila-kial dan belum ada kata putus samada ada ingin menyertai atau tidak pilihan raya berkenaan. Pandangan pemimpin UBN berbelah bagi. Dari segi moralnya UBN sudah kalah. Kekalahan dalam kesemua pilihan raya kecil itu kecuali Batang Ai menjadi UBN termeung jauh dan berfikir panjang.
Pakatan Rakyat, PKR telah mengumumkan calon mereka kelmarin. Bekas Pensyarah USM dan juga bekas Setiausaha Politik Timbalan Perdana Menteri, Dr Mansor Othman dipilih untuk bertanding di situ. Ini bermakna PKR telah membuat persiapan lebih awal.
Apakah sikap tidak agresif seperti biasa UBN ini menandanya mereka menghadapi tekanan perasaan yang cukup hebat? Bahawa UBN telah mulai menyedari masalah dan kesuraman masa depannya?
Mohd Najib Razak mulanya telah menyatakan UBN tidak berapa minat untuk ikut sama bertanding pada pilihan raya itu. Najib seperti memberi klu mahu menyerah kalah kepada PKR. Alasan Najib kerana tidak mahu membazirkan wang dan tenaga rakyat. Sekali dengar alasan itu menarik dan menunjukkan kecerdikan Najib sebagai pemimpin. Sebenarnya elok bagi Najib menumpukan perhatian kepada pentadbiran kerajaan dan usaha mengislahkan UBN dan kerajaan.
Walaupun alasan sebenar kenapa Najib keberatan untuk meletakkan calon UBN bertanding kerana Najib sudah dapat membaca kilau dalam kilat, di mana kalau bertanding pun UBN akan kalah. Pendapat Najib itu ada logiknya. Tidak guna berbuat sesuatu yang sia-sia. Sebenarnya tidak ada guna kalau masuk bertanding semata-mata kerana ada peluang sedang peluang menang tidak ada.
Dalam konteks pilihan raya kecil Dun Penanti, kedudukan atau taraf UBN sama dengan taraf dan kapasiti 13 orang calon bebas di Bukit Selambau tempoh hari. Mereka bertanding bukan kerana pengaruh dan kekuatan tetapi kerana cukup wang deposit (RM5,000) serta tidak ada halangan oleh SPR. Itu saja, sedangkan kekalahan sudah lama mereka ketahui.
Jadi kerana tidak mahu nasib UBN menjadi sama seperti nasib calon-calon bebas itulah maka Najib melontarkan saranan demikian. Dun Penanti adalah merupakan kubu kuat PKR. Dalam pilihan raya umum lalu bekas penyandang Mohamad Fairus Khairuddin memperolehi 2,219 majoriti.
Mungkin juga pencapaian PKR dalam pilihan raya kecil Permatang Pauh dulu masih bermain dalam kepala Najib. Kemenangan besar penasihat PKR, Anwar Ibrahim pada pilihan raya kecil itu menyebabkan UBN dan Najib yang menanggung malu besar masih belum hilang lagi. Mungkin Najib berbuat begitu kerana tidak mahu dimalukan dua kali di kawasan yang sama.
Bagaimana pun bukan mudah untuk Najib melaksanakan politik baru yang rasional itu. Ada pihak yang menentangnya. Penjolak Abdullah, Dr Mahathir Mohamad sudah memberi isyarat dan menunjukkan kukunya menentang hasrat Najib itu. Dr Mahathir beriya mahukan UBN meletakkan calon kononnya untuk menjaga maruah.
Katanya Mahathir telah memberi kesanggupan untuk mengepalai pilihan raya kecil berkenaan. Pandangan Mahathir itu sama sekali menutup pandangan dan hasrat jujur Najib. Mereka yang tidak memahami perasaan Najib juga turut sama terikut dengan keghairahan dan semangat padi Mahathir itu.
Masalahnya kini apabila pendapat Mahathir itu mulai disokong oleh orang-orang sewaktu dengannya ia menyulitkan Najib. Sukar untuk Najib membiarkan begitu saja keinginan Dr Mahathir. Mahathir pula sebagai orang tidak ada kerja suka kalau diberi tugas mengendalikan pilihan raya berkenaan. Kalau pun bukan sebagai seorang penceramah cukup sebagai penampak poster UBN pun jadilah. Yang penting bagi Mahathir dia dapat jadikan pilihan raya sebagai dahan tempatnya berkokok untuk memuji anaknya Mukhriz dan dalam masa sama terus membelasah Anwar Ibrahim dan Khairy Jamaluddin.
Melihat dan mengenalkan masalah dan pro kontra itu, kini menjadikan Penanti seolah-olah menjadi medan perlawanan akal antara Mahathir dengan Najib. Mahathir sedang menjual pengaruhnya di situ apakah laku atau tidak. Tengoklah nanti akal dan pengaruh siapa yang menang. Kalau UBN tetap dengan keputusan awalnya seperti mana dihasratkan Najib, ini menunjukkan Najib lulus soalan lisan sebagai presiden Umno dan perdana menteri.
Sebaliknya kalau UBN tetap menyertainya ini bermakna Najib gagal menjawab soalan lisan dan ia memberi satu setengah markah kepada Mahathir Mohamad. Seharusnya bagi Najib muncul sebagai pemimpin UBN yang baru dan tegas Najib hendaklah melaksanakan idea yang sudah dicampakkan itu. Elok kalau UBN jangan bertanding. [wm.kl 12:00 am 30/04/09]
Tiada ulasan:
Catat Ulasan