Khamis, 2 Julai 2009

H1N1 terus meningkat

Satu lagi kes dikesan semalam menjadikan enam kes direkodkan berlaku di Sarawak, kata George Chan

KUCHING: Sarawak terus mencatat peningkatan kes Influenza A (H1N1) dengan satu lagi kes dikesan semalam menjadikan enam kes direkodkan berlaku di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Bantuan Bencana Alam Negeri Datuk Patinggi Tan Sri Dr George Chan berkata kes keenam melibatkan wanita warga Argentina berusia 35 tahun yang dikesan positif penyakit berkenaan pada 28 Jun lepas.

Menurut Dr Chan, wanita berkenaan yang bekerja di sini tiba di Kuching pada 23 Jun 2009 melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menggunakan pesawat MH2504 dan tempat duduk 41H dan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) pada kira-kira jam 10.15 pagi.

Pesakit keenam itu bertolak dari Argentina ke KLIA pada 21 Jun 2009 menggunakan pesawat MH202, tempat duduk 45A.

“Wanita itu hanya menunjukkan simptom-simptom penyakit ini pada 27 Jun 2009 dan terus mendapatkan rawatan di Hospital Umum Sarawak (HUS) dan dimasukkan ke wad pengasingan dan disahkan positif pada 28 Jun 2009,” katanya dalam sidang media di sini, semalam.

Setakat ini, katanya 10 orang yang ada berhubung dengan wanita berkenaan sejak 26 Jun 2009 sehingga dia dimasukkan ke wad pengasingan (27 Jun 2009) telah dihubungi dan kini dikuarantin di rumah.

“Namun sebagai langkah berjaga-jaga kita turut cuba mengesan kontak pesakit keenam pada 25 Jun 2009.

“Biasanya yang terdedah kepada virus itu hanya akan menunjukkan simptom-simptom dijangkiti sekurang-kurangnya seminggu kemudian dan menyebarkan virus kepada orang lain 24 jam sebelum dia mengalami simptom,” jelasnya.

Dr Chan yang juga, Timbalan Ketua Menteri berkata keenam-enam kes dicatatkan setakat ini adalah kes import.

Beliau menambah sehingga semalam empat pesakit masih dirawat di wad pengasingan iaitu dua di HUS dan masing-masing satu di Hospital Sibu dan Hospital Bintulu dengan lima lagi masih menunggu keputusan ujian klinikal.

Tiga daripadanya di wad pengasingan HUS manakala masing-masing satu di Hospital Sibu dan Bintulu.

“Kita akan sedaya upaya membendung penularan wabak ini tetapi ia bukan kerja mudah dan ada kemungkinan besar penyebaran tempatan boleh berlaku jika kontak pesakit gagal dikesan… tetapi kita akan memastikan semua kontak dapat dihubungi,” ujarnya.

Dr Chan pada masa sama mahu rakyat di negeri ini lebih bertanggungjawab terutama yang baru pulang dari negara terjejas wabak itu.

Mereka katanya, perlu lebih berhati-hati dan jangan pergi ke khalayak ramai sebaliknya mengkuarantin diri sendiri.

Beliau turut menasihati golongan yang berisiko tinggi seperti kanak-kanak, ibu mengandung, orang tua, pesakit AIDS dan penyakit lain seperti kanser agar mengelak diri daripada berada di khalayak ramai atau berada di pekarangan hospital.

“Walaupun tidak banyak kematian di seluruh dunia dicatatkan setakat ini, virus itu masih boleh membunuh kerana ia mampu menyerang dengan lebih cepat terhadap golongan yang sistem imunisasinya lemah,” jelas Dr Chan.

Ditanya mengenai penganjuran Festival Muzik Hutan Hujan Sedunia (RWMF) dari 10 hingga 12 Julai ini, Dr Chan berkata secara peribadi beliau berpendapat penganjuran festival itu perlu ditangguh bagi mengelak penyakit itu daripada menjangkiti lebih ramai orang.

“Bagi saya untuk mengelak penyakit ini daripada menjangkiti lebih ramai orang adalah lebih baik menangguhkan penganjuran RWMF.

“Nampaknya festival ini akan diteruskan dan oleh sebab itu saya telah mengarahkan pegawai kesihatan mengadakan rundingan dengan pihak penganjur bagi mengatur usaha mengagihkan topeng muka kepada semua orang yang datang ke RWMF,” tambahnya.

Dr Chan juga menasihati orang ramai yang mengunjungi RWMF agar segera meninggalkan kawasan berkenaan jika mengalami tanda-tanda dijangkiti virus itu.

Setakat ini kira-kira 30,000 keping topeng muka diedar kepada orang ramai sepanjang wabak berbahaya itu menular ke negeri ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan