Ahad, 5 Julai 2009

Politik Adalah Juzuk Di Dalam Islam

Firman ALLAH SWT di dalam Surah Al-Baqarah ayat 30 yang bermaksud:

“(Dan ingatlah) ketika Tuhan berfirman kepada malaikat, ‘Sesungguhnya Aku akan melantik seorang khalifah di bumi.”


Al-Imam Al-Mawardi, salah seorang ulama’ besar di dalam Mazhab Syafi’e, menulis di dalam kitabnya Al-Ahkamul Sultaniyah, serta para ulama’ lain termasuk Ibnu Khaldun di dalam kitabnya Muqaddimah, mengulas bahawa yang dimaksudkan dengan ‘khalifah’ di dalam ayat di atas merujuk kepada ‘khilafatun nubuwwah fi harasatiddin wa siasatiddunya bihi’ yang membawa maksud ‘pengganti nabi dari segi menjaga agama, serta mentadbir dunia dengannya (agama)’.

Definisi khalifah yang masyhur juga pernah disebutkan oleh salah seorang sahabat besar Nabi Muhammad S.A.W yang juga merupakan salah seorang khulafa’ur rasyidin iaitu Saiyidina Umar Al-Khattab sebagai berbunyi “Iqamatuddin wa siasatiddunya bihi” yang membawa maksud ‘menegakkan agama dan mentadbir dengannya’.


Al-siasah yang disebutkan di atas merujuk kepada maksud mentadbir, di mana apabila diistilahkan di dalam bahasa moden, ia persis kepada politik. Perkataan politik berasal daripada bahasa Yunani iaitu “Polis” yang bermaksud “Negara”. Pada mulanya ia diertikan sebagai segala sesuatu yang berhubung dengan negara. Kemudian, ia digunakan sebagai kata benda untuk menamakan praktik memerintah dan kebijaksanaan memerintah dan selanjutnya ditambah dengan pengertian lain, iaitu seni atau kemampuan untuk memerintah.


Dari aspek kebudayaan, politik ialah:

(i) mengatur aktiviti sosial dan

-dengan tujuan melaksanakan pergaulan hidup untuk membentuk kehidupan masyarakat yang sejahtera.

(ii) mengatur aktiviti ekonomi sebaik-baiknya menurut satu konsep yang tertentu

-mewujudkan kemakmuran masyarakat.


Dua tujuan ini tidak lain hanya dapat dicapai dengan melalui politik dengan jalan membentuk organisasi yang dinamakan negara. – di dalam buku “Bagaimana Islam Berpolitik dan Memerintah” karya Drs. Abdul Ghani bin Hj Idris.


Firman ALLAH SWT di dalam Surah Al-Baqarah ayat 208-209 yang bermaksud:

“Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah ke dalam Islam secara menyeluruh. Janganlah kamu turuti langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagi kamu.

Sekiranya kamu menyimpang (dari kebenaran) sesudah datang bukti-bukti kebenaran itu, maka ketahuilah bahawa ALLAH Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.”


Di dalam Kitab Tafsir Prof Dr H Mahmud Yunus iaitu Tafsir Al-Quranul Karim, dengan bimbingan daripada Tafsir Ibn Kathir, Tafsir At-Thabari dan sebagainya, mentafsirkan ayat 208 ini dengan dua wajah iaitu:

  1. Wahai orang-orang yang beriman, masuklah kamu semua ke dalam perdamaian. Janganlah bermusuhan sesama kamu, kerana orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara. Oleh itu wajiblah kamu hidup damai sesama kamu.
  2. Wahai orang-orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam Islam seluruhnya, turutilah segala syariatnya. Janganlah Islam kamu itu sebahagian-sebahagian. Setengah syariat kamu amalkan dan setengahnya lagi kamu tinggalkan.

Beliau (Prof Dr H Mahmud Yunus) kemudian membuat kesimpulan, “Kedua-dua tafsiran ini boleh diterima”.


Di dalam Al-Qur’an juga, ALLAH SWT telah memberikan ancaman kepada manusia yang mengambil hanya sebahagian daripada agama, kemudia meninggalkan yang lain, antara lain firman-Nya di dalam Surah Al-Baqarah ayat 85 yang bermaksud:

“Apakah kamu beriman dengan sebahagian kitab dan engkar terhadap sebahagian yang lain? Tiadalah balasan bagi orang yang berbuat demikian daripada kamu melainkan kehinaan dalam kehidupan dunia, dan pada hari kiamat mereka akan dikembalikan kepada seksa yang sangat berat. ALLAH tidak lengah dari apa yang kamu lakukan”

Di dalam Kitab Tafsir yang sama, Prof Dr H Mahmud Yunus mengulas tafsir ayat ini dengan menyebut:

“Barangsiapa yang percaya dan mengamalkan sebahagian kitab, tetapi meninggalkan sebahagiannya, maka ia akan mendapat kehinaan dan kesusahan di atas dunia bahkan di akhirat pula akan dimasukkan ke dalam neraka.

Ramai orang Islam yang mengerjakan sembahyang, puasa, haji dan sebagainya tetapi mereka mengambil hak orang lain atau hak negara, menganiaya, mencaci, mengumpat, iri hati, takbur, adu-domba, memutuskan silaturrahim dan sebagainya. Maka orang seperti ini adalah beriman dan mengikut sebahagian al-Qur’an tetapi kafir (ingkar) kepada sebahagian yang lain”.


Di dalam Sirah Nabawiyyah juga ada diterangkan beberapa bukti bahawa Nabi Muhammad SAW juga berpolitik. RasuluLLAH S.A.W pernah menjadi ketua negara dan baginda juga terlibat malah mencetuskan perjanjian-perjanjian signifikan yang membawa kepada kejayaan Islam tersebar dengan luas ke luar Madinah.


Di dalam bukunya ‘As-Siasatu wal Iqtisah fit Tafkiril Islami’, di dalam tajuk ‘Dharuratul Hukumati fil Islam’ muka surat 30, Dr. Ahmad Syalabi menyebut:

“Ajaran-ajaran Islam itu meliputi urusan-urusan agama dan urusan-urusan duniawi. Dalam urusan-urusan agama, Islam mewajibkan I’tiqad dengan keEsaan ALLAH dan bahawa Muhammad itu adalah Rasul-Nya dan Nabi-Nya yang penyudah….Oleh kerana itu, maka Islam itu bukanlah semata-mata urusan I’tiqad sahaja dan bukan hubungan antara hamba dengan Tuhannya sahaja. Dan jika demikianlah Islam itu, maka kemungkinan sistem-sistem pemerintahan Islam itu telah hilang, dan membiarkan urusan orang islam dengan Tuhannya.

Akan tetapi urusan-urusan keduniaan yang disyariatkan Islam adalah sebahagian dari agama Islam ini. …Maka oleh kerana itu Islam menghubungkan dengan urusan-urusan pemerintahan. Ia mewajibkan supaya diadakan badan yang mengajar kaum muslimin akan urusan-urusan agama dan dunia mereka serta mengawal dan menyelia perlaksanaan pengajaran itu. Nabi Muhammad SAW adalah orang yang mula-mula sekali menunaikan kepentingan ini, dan oleh para khalifah sesudahnya…Beliau mengajar dan beliau menghukum dalam masyarakat Islam yang pertama itu dan selepas beliau kepentingan ini diuruskan oleh para khalifahnya.”


Di dalam kitabnya ‘Al-Islam’, Al-Ustaz Sa’id Hawwa membahagikan Islam ke dalam tiga pola dan cabang-cabang di dalam setiap pola tersebut, iaitu:

  1. Rukun-Rukun (Arkan) iaitu:

(a) Ibadat Khas iaitu Solat, Zakat, Puasa dan Haji.

(b) Aqidah iaitu Dua Kalimah Syahadah, Beriman Kepada ALLAH, Beriman dengan Malaikat, Beriman dengan Kitab Suci, Beriman dengan Para Rasul, Beriman dengan Qadha’ dan Qadar dan Beriman dengan Hari Akhirat.

  1. Binaan (Bina’) iaitu Sistem Hidup, Sistem Politik, Sistem Ekonomi, Sistem Ketenteraan, Sistem Pendidikan, Sistem Akhlaq dan Sistem Sosial.
  2. Pengukuh (Muyyidat) iaitu Jihad, Amar Ma’ruf Nahi Munkar, Hukuman Dan Keseksaan.

Ketiga-tiga kerangka pola ini adalah sifat Islam, sesuai dengan fitrahnya sebagai satu-satunya cara hidup yang sejahtera untuk manusia.


Al-Imam Ibn Taimiyah pernah berkata:

Wajiblah diketahui bahawa pemerintahan atas urusan manusia adalah di antara sebesar-besar urusan agama, bahkan agama tidak akan tertegak melainkan dengan pemerintahan, kerana tidak akan sempurna maslahat anak Adam kecuali dengan bermasyarakat sebab masing-masing memerlukan antara satu sama lain, dan di kala mereka bermasyarakat tidak boleh tidak memerlukan pemimpin/ketua, sehinggakan RasuluLLAH SAW bersabda “Apabila tiga orang keluar dalam satu perjalanan, maka hendaklah mereka melantik salah seorang daripada mereka menjadi ketua – Hadith Riwayat Abu Daud dan Abu ‘Uwanah daripada Abu Sa’id r.a”

.. …Kemudian ALLAH mewajibkan amar ma’ruf nahi munkar. Tugas ini tidak akan sempurna melainkan dengan adanya kekuatan dan pemerintahan. Dan serupa dengan amar ma’ruf nahi munkar ialah semua yang diwajibkan ALLAH dari jihad, keadilan, menegakkan hukum hudud dan lain-lain perkara yang tidak akan sempurna melainkan dengan kekuatan dan pemerintahan. Dan demikian pula diriwayatkan bahawa sultan itu adalah bayang-bayang ALLAH di bumi. Dan demikian pula diriwayatkan bahawa enam puluh tahun bersama dengan imam (pemimpin) yang zalim lebih baik daripada satu malam tanpa sultan”.


Al-Allamah Syed Muhammad Rasyid Ridha berkata:

“Telah ijma’ (sepakat) para ulama’ salaf dan khalaf, Ahlus Sunnah dan kebanyakan golongan lainnya bahawa perlantikan imam (melantik pemimpin, yang juga merupakan juzuk dalam siasah/politik) itu ke atas umat adalah wajib ke atas orang-orang Islam secara syar’ie, bukan secara aqli sahaja seperti yang dikatakan oleh sebahagian orang-orang Muktazilah”.


Al-Imam Al-Mawardi pula berkata:

“Melantik imam bagi orang yang akan menegakkan pemerintahan itu di kalangan umat Islam adalah wajib secara ijma’”.


Al-Imam Al-Ghazali yang terkenal dengan Kitab Ihya’ Ulumiddin-nya berkata:

“Ketahuilah bahawa syariat itu adalah dasar dan pemerintahan itu adalah pengawalnya. Sesuatu yang tiada dasar akan runtuh dan sesuatu yang tiada pengawalnya akan sia-sia.”


Menurut Mufti Kerajaan Uthmaniyah Turki, Syeikh Mustoffa Sobri memfatwakan bahawa perlakuan memisahkan politik daripada agama adalah jalan yang paling mudah untuk menjadi kafir.


Maka, ini merupakan bukti-bukti jelas bahawa politik itu ialah salah satu daripada juzuk di dalam Islam dan menegakkan Islam melalui politik dan pemerintahan adalah wajib tanpa sebarang khilaf / perbezaan pandangan di kalangan ulama’.


WaLLAHu ‘azza wa jalla a’lam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan