Isnin, 20 Julai 2009

UPSR diteruskan - TPM

UPSR diteruskan - Muhyiddin

SHAH ALAM 19 Julai - Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tidak akan dimansuhkan sebaliknya asas penilaiannya diubah supaya kecemerlangan murid-murid tidak lagi bergantung seratus peratus kepada keputusan peperiksaan.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, transformasi itu selaras dengan usaha kerajaan untuk memastikan sistem pendidikan di negara ini tidak terlalu berorientasikan peperiksaan dalam mengukur kecemerlangan murid-murid.

''UPSR hanya menilai lima subjek sahaja sedangkan murid-murid belajar banyak subjek lain dan sekarang kita mungkin ambil kira faktor subjek Sejarah dan mata pelajaran yang lain.

''UPSR akan terus digunakan sebagai asas penilaian cuma kayu pengukurnya mungkin sekarang 100 peratus dikurangkan kepada 30 hingga 40 peratus," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Shah Alam di sini hari ini.

Muhyiddin diminta mengulas cadangan Naib Ketua Pemuda UMNO, Datuk Razali Ibrahim supaya UPSR dimansuhkan kerana ia didapati tidak fokus kepada pencapaian murid-murid dalam semua mata pelajaran.

UPSR juga menurut Timbalan Menteri Belia dan Sukan itu menjadi medium persaingan murid-murid untuk memasuki sekolah berasrama penuh dengan hanya menumpukan lima mata pelajaran sahaja.

Mengulas lanjut, Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, pandangan Razali sememangnya diambil kira oleh kerajaan yang mahu menggunakan pendekatan baru dan seimbang seperti menilai prestasi pelajar secara holistik.

Ujarnya, ia juga selaras dengan langkah menyusun semula sistem pendidikan asas yang turut melibatkan sistem penilaian menerusi peperiksaan termasuk UPSR.

UPSR diperkenalkan pada tahun 1987 bagi menggantikan peperiksaan Penilaian Darjah Lima.

Murid-murid yang menduduki peperiksaan itu diwajibkan mengambil mata pelajaran Bahasa Melayu (Penulisan), Bahasa Melayu (Pemahaman), Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains.

---------------------------------------------------------------

Ulasan Penerangan: UPSR diteruskan, mungkin ada kelebihannya. Tetapi harap kerajaan tarik balik perlaksanaan 10 subjek sahaja untuk SPM. Macam mana nak wujudkan lebih banyak golongan profesional dan berilmu andai minat terhadap ilmu dikekang?..

Tiada ulasan:

Catat Ulasan