Selasa, 6 Januari 2009

Cubalah fikir cara lain lawan Israel


Memanglah, berat mata memandang berat lagi bahu memikul. Dan ini tambah-tambah lagilah, bukan setakat bahu memikul, tapi… tak tahu nak cakap dah. Habis segalanya punah ranah – darah mengalir, maut melayang, rumah ranap, tubuh hancur. Apa lagi? Derita dan penghinaan berpuluh tahun.



Kita yang berada jauh beribu batu ini pun terasa derita dan penghinaan itu, apatah lagi mereka yang mengalaminya sendiri. Sebagai seorang seniman yang berada jauh dari daerah Palestin dan Israel, saya hanya boleh menulis puisi dan pentaskan teater. Itu telah saya lakukan. Tetapi bukan itu sebenarnya yang hendak kita lakukan.

Yang hendak kita lakukan ialah menghentikan segala derita dan penghinaan itu. Minggu lalu Israel menyerang lagi di Tebing Gaza. Masuk hari kelima pada 31 Disember, serangan itu dilaporkan telah meragut 374 nyawa, dan lebih 2,000 orang cedera, termasuk kanak-kanak dan orang tua.

Dan ini bukan lagi suatu berita besar. Dan bukan berita baru. Memang dunia menunjukkan reaksi terkejut, marah, kutuk dan sebagainya. Sana-sini diadakan mesyuarat dan sidang tergempar pemimpin-pemimpin dunia. Kenyataan pun dikeluarkan, mengutuk dan menyeru supaya dihentikan serangan serta merta. Dan di sana-sini juga diadakan demonstrasi yang disertai ribuan atau puluhan ribu orang. Mengutuk dan menyeru dihentikan serangan.

Dan memang serangan itu tak akan berterusan sampai bila-bila. Dikutuk atau tidak dikutuk, sampai masanya serangan itu akan dihentikan. Yang kehilangan nyawa atau kehilangan anggota badan atau kehilangan rumah kediaman akan teruslah menderita. Manakala yang lain, yang tak kehilangan apa-apa, seperti kita, akan melupakannya, dan meneruskan semula kehidupan seperti biasa.

Itulah, dan begitulah yang telah terjadi, selama berpuluh-puluh tahun. Masih lagi berlaku hari ini. Sama. Dan ketika membaca berita-berita itu, saya terfikir… tak adakah satu cara lain yang boleh dibuat, selain daripada berdemonstrasi dan mengeluarkan kenyataan mengutuk, seperti yang telah dibuat berkali-kali, dan terbukti tak pernah memberi kesan apa-apa pun?

Semua pihak seperti sudah dapat membaca setiap langkah yang akan diambil oleh pihak lain. Selepas ini apa, dan selepas ini apa…. Pakar-pakar strategi perang tentu sudah arif benar akan langkah-langkah yang telah berulang-ulang kali berlaku atau dilakukan itu. Kasihanlah mereka yang menjadi mangsa. Sudah lebih 50 tahun. Apakah manusia di abad yang sangat maju ini tidak ada seorang pun yang pandai untuk memikirkan penyelesaian bagi masalah yang kejam dan tak berperikemanusiaan ini?

Secara teater, saya telah mengemukakan satu pandangan melalui teater yang dipentaskan di Kuala Lumpur, Jun 2006 – “Tamu Dari Medan Perang”. Mengajak umat Islam seluruh dunia menggembleng kepakaran yang ada di kalangan kita, dan memfokuskan perjuangan kepada satu target: Menentang materialisme, dan menentang Amerika (kerana Amerikalah yang memperkasakan materialisme).

Masalah Palestin itu sebenarnya bukan sekadar masalah Palestin. Ia suatu masalah yang berangkai-rangkai, yang kait-mengait, yang akhirnya merupakan suatu masalah bersama umat Islam, atau umat manusia, seluruh dunia. Ia sama sekali tak boleh diselesaikan dengan hanya memikirkan soal Palestin dan Israel sahaja.

Tak perlulah saya memberikan penerangan panjang lebar mengenainya. Anda tentu faham, apabila Amerika membohongi dunia, dengan mempergunakan Bangsa-bangsa Bersatu, mengatakan Iraq mencipta senjata paling bahaya (Senjata Pemusnah Besar-besaran, WMD), yang menghalalkan Amerika dan negara-negara sekutunya mengisytihar perang ke atas Iraq dan membunuh Presiden Saddam.

Terbukti senjata WMD itu tak ada pun. Dan terbukti Presiden Amerika telah membohongi dunia semata-mata kerana hendak menundukkan Iraq dan menguasai kekayaan minyak di situ. Dan apa jadi? Amerika selamba saja. Umat Islam dituduhnya pengganas, bukan dia. Dan dia boleh buat begitu kerana dia menguasai media dunia.

Bagi menamatkan sengsara rakyat Palestin, (yang kalau tak ditamatkan ia akan merebak sedikit demi sedikit dan akhirnya akan sampai kepada kita juga), kita mesti berfikir dalam perspektif atau kerangka pemikiran yang luas.

Demikianlah alkisahnya, saya dan kawan-kawan pun bercadang hendak membawa teater TDMP itu dan mementaskannya di banyak tempat di dalam negara dan di luar negara. Tujuannya itulah – hendak menggembleng tenaga, idea dan dana untuk perjuangan tersebut. Memang ada beberapa respons yang sangat bagus, ke arah itu. Tetapi, entah di mana silapnya, ia tak menjadi. Barangkali belum menjadi. Kerana kami masih lagi berhasrat hendak membuatnya, insya Allah.

Saya menceritakan perkara ini bukanlah apa, bukan tak setuju dengan demonstrasi beramai-ramai tunjukkan marah kita kepada Kedutaan Amerika. Dan bukan nak mendakwa idea dan fikiran dalam teater saya itu bagus. Tapi sekadar nak membuka fikiran. Manalah tahu, berfikir di luar kotak kebiasaan, mungkin tercetus idea yang bernas, ‘kan!

Saya perlu sebut perkara ini terus terang, awal-awal, supaya orang tak tersalah berprasangka kurang baik terhadap tulisan ini. Memang ada pun yang memberi respons begitu. Biasalah ‘kan, adat manusia. Ada yang bersetuju ada yang tidak. Ada yang berfikiran positif dan ada yang berfikiran negatif. Kalau takutkan risiko itu, tak dapatlah saya menulis sepertimana yang telah saya tulis selama ini.

Seorang sahabat saya selalu berpesan: Perbetulkan niat! Makanya saya selalu beringat-ingat akan niat di dalam hati sanubari sendiri. Niat kerana Allah, untuk melaksanakan hukum Allah, untuk mencari keredhaan Allah, dan tidak menipu diri sendiri, tidak munafik dengan diri sendiri, maka saya memberanikan diri menulis apa-apa yang saya fikir perlu ditulis.

Kembali kepada isu Palestin-Israel ini, marilah kita cuba berfikir cara yang lain untuk menamatkan kegilaan manusia-manusia itu. Semoga Allah membantu kita.

(Penulis boleh dihubungi dengan emel dinsman_49@yahoo.com.my atau sms 0136362408)

Tiga Calon Kemukakan Borang Pencalonan.

Tiga calon telah mengemukakan borang pencalonan masing-masing untuk bertanding dalam pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu 17 Jan ini.

Mereka yang telah mengemukakan borang sehingga sesi penyerahan borang penamaan selesai pada 10 pagi ini di Stadium Negeri di sini ialah calon Barisan Nasional (BN) Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh, calon PAS Mohd Abdul Wahid Endut dan calon Bebas Azharudin Mamat @ Adam.


Wan Ahmad Farid yang merupakan bekas Timbalan Menteri Dalam Negeri ialah calon pertama yang tiba di pusat penamaan calon itu sebaik sahaja ia dibuka pada 9 pagi tadi.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengetuai kira-kira 15,000 penyokong BN ke pusat penamaan calon berkenaan.

Pemimpin BN yang lain yang turut serta ialah Naib Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin, Anggota Majlis Tertinggi Umno Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, Ketua Wanita Umno Tan Sri Rafidah Aziz, Presiden MCA Datuk Seri Ong Tee Keat, Presiden Gerakan Tan Sri Dr Koh Tsu Koon dan Setiausaha Agung MIC Datuk Dr S.Subramaniam.

Calon PAS, Mohd Abdul Wahid, yang merupakan Anggota Dewan Undangan Negeri Wakaf Mempelam selama lima penggal sejak 1990, tiba di pusat penamaan calon pada 9.10 pagi.

Beliau diiringi Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Timbalan Presiden PAS Nasharuddin Mat Isa dan Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Calon Angkatan Keadilan Insan Malaysia (Akim) Harun Alias Ab Rahman Mohamad, yang sebelum ini menyatakan hasrat untuk bertanding pada pilihan raya kecil itu, tiba di pusat penamaan calon itu pada 9.20 pagi.

Bagaimanapun, beliau tidak menyerahkan borang penamaan calon.

Azharudin pula tiba di pusat penamaan itu pada pukul 9.27 pagi.

Menurut polis yang berada di lokasi, calon Barisan Nasional dan PAS diiringi oleh kira-kira 15,000 penyokong masing-masing ke pusat penamaan calon.

Sehingga kini, tiada kejadian yang tidak diingini dilaporkan.

Para penyokong parti politik mulai memenuhi lokasi berhampiran pusat penamaan calon sejak awal pagi tadi.

Beberapa jalan berhampiran Stadium Negeri ditutup dan dikawal polis sejak awal pagi ini bagi mengawal pergerakan kenderaan ke pusat penamaan calon itu.

Pilihan raya kecil Kuala Terengganu diadakan berikutan kematian penyandangnya Datuk Razali Ismail pada 28 Nov lepas. Pada pilihan raya umum lepas, Razali menang kerusi itu dengan majoriti 628 undi.

Mengikut rekod Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), jumlah pengundi berdaftar di kawasan Parlimen itu ialah seramai 80,229 orang.

Hari pengundian pula ditetapkan pada 17 Jan ini.

Cuaca di sekitar Kuala Terengganu dilaporkan baik.

Tiga Fatwa Najib.

 TIMBALAN Presiden Umno Mohd Najib Razak telah mengeluarkan fatwa untuk diamalkan oleh ahli Umno yang akan menghadapi pilihan raya kecil Kuala Terengganu yang sedang berlangsung kini. Fatwa itu ialah untuk memastikan kemenangan calon BN Wan Ahmad Farid Wan Salleh.

Menerusi fatwa yang dikeluarkan semalam,Najib meminta supaya orang Umno tidak mengamalkan 3P, iaitu pangkat, perut dan poket, yang bermaksud mengenepikan dulu soal kedudukan, kekayaan dan wang bagi memastikan kemenangan Farid.

Apabila Najib mengeluarkan fatwa itu apakah Umno sebelum ini mengamal dalam mengutamakan 3P?

Bolehkah ahli Umno yang sudah terbiasa dengan budaya itu dapat mematuhi fatwa yang dikeluarkan Najib itu. Lihat apa yang berlaku semasa kempen dalam pemilihan Umno yang baru selesai Disesember lalu.

Semua ahli Umno berkerja untuk memenuhi 3P berkenaan, mahukan pengkaat (jawatan), mahu mengisikan perut sehingga sanggup menerima rasuah dan mahukan poket senantiasa penuh dengan wang barulah boleh bergaya.


Sekiranya ahli Umno di Kuala Terengganu tiba-tiba dinasihatkan agar mengelakkan budaya 3P itu sesuatu yang anih dan dianggap sebagai luar biasa.

Seandianya ahli Umno bersedia mematahui Najib ini bermakna jelas apa yang menjadi amalan Pas dan parti Pakatan Rakyat selama ini betul.

Pakatan Rakyat tidak menggalakan budaya berkenaan dalam parti mereka.

Sekiranya pengundi bersedia menolak amalan 3P itu mereka lebih baik menyokong Pas dan Pakatan Rakyat kerana Pakatan Rakyat sejak mula lagi tidak mengizinkan budaya berkenaan. - MSO

Zionis-Israel Bakal Menerima Kejutan.

 Semua gerakan pejuang Palestin di Gaza menegaskan, mereka masih belum menggunakan seluruh kekuatan mereka dalam memerangi Zionis-Yahudi. Mereka bertekad untuk memberikan kejutan-kejutan dalam usaha menghancurkan Zionis-Yahudi.

Selepas 10 hari bertempur, gerakan pejuang memberikan kejutan dengan menggunakan senjata-senjata baru yang belum pernah digunakan. Antaranya ialah roket yang boleh mencapai sejauh 60km. Ini sesuatu yang tidak pernah terfikir oleh Zionis-Yahudi.

Selain daripada itu, tentera Yahudi juga tidak dapat untuk menangkis serangan yang ditujukan ke pesawat-pesawat mereka sungguhpun dilengkapi peralatan canggih. Para mujahidin menegaskan mereka tidak akan menggunakan keseluruhan kekuatan yang ada.

Brigade Izzuddin al-Qossam, sayap tentera Hamas hanya bersendirian dalam memerangi Zionis namun mampu membunuh 11 org tentera mereka. Ini suatu angka yang jauh lebih banyak daripada jumlah syuhada dari kalangan al-Qossam.

Kenali Calon PAS


BIODATA :
Calon PAS P.036 Kuala Terengganu

Nama : Haji Mohd Abdul Wahid bin Hj. Endut

Umur : 51 Tahun
Tarikh Lahir : 29 September 1957

Tempat Kelahiran : Kampung Pulau Rusa Kuala Terengganu
Tempat Tinggal : Kampung Seberang Baruh Kiri , Jalan Kelantan Kuala Terengganu.

Nama Isteri : Hajjah Wan Fatimah binti Wan Abdullah
Pekerjaan Isteri : Guru [ PK HEM ]
Anak : 9 orang [ 2 Lelaki - 7 Perempuan ]

Taraf Pendidikan :

1. Sekolah Rendah Sultan Sulaiman Kuala Terengganu
2. Sekolah Menengah Sultan Sulaiman Kuala Terengganu
3. Perikan dan Sains Samudera Universiti Pertanian Malaysia Serdang

Pengalaman Kerja :

1 .Pegawai Tadbir UPM
2. Usahawan
3. EXCO Kerajaan Negeri Terengganu [ 1999 - 2004 ]
4. ADUN Wakaf Mempelam sejak 1990 - sekarang

Jawatan Dalam Parti

1. Bendahari Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu
2. Yang Di Pertua PAS Kawasan Kuala Terengganu

Prk036 Calon Bebas anak SUP Menteri Besar Terengganu

Calon bebas yang bertanding dalam pilihan raya Parlimen Kuala Terengganu Azharuddin Adam, adalah seorang ahli perniagaan dan merupakan anak kepada bekas Setiausaha Politik Menteri Besar Terengganu Tan sri Wan Mokhtar Ahmad.

Sebelum menjadi setiausaha politik kepada wan Mokhtar, Ayah beliau, Adam Taib merupakan pengarah pelajaran negeri Terengganu.

Kemudian beliau telah dilantik sebagai Setiausaha Politik kepada Wan Mokhtar selepas bersara wajib dari Jabatan Pelajaran Terengganu.
Adam Taib menjadi SUP MB sehingga tahun 1999 dan kemudian kerajaan Terengganu bertukar tangan kepada PAS.

Pada tahun 2004 selepas BN dapat menawan semula Terengganu dengan cara yang sangat jijik, Ayah kepada Azharuddin ini dilantik pula sebagai pengarah U-Best di zaman Idris Jusoh.

U-Best adalah sebuah agensi kerajaan negeri yang dibentuk menggantikan unit Pembangunan Insan dizaman Kerajaan PAS.U-Best dilihat bekerja untuk kepentingan Umno.

Azaharuddin merupakan ahli perniagaan yang dikatakan sangat kecewa dengan kerajaan negeri yang ada pada hari ini kerana beliau seringkali dipinggiran sejak akhir-akhir ini.

20 000 penyokong iring calon PAS


Kuala Terengganu,6 Jan - Hampir 20 000 penyokong-penyokong PAS dan Pakatan Rakyat mengiringi calon PAS Abdul Wahid Endut ke pusat penamaan calon hari ini. Pergerakan bermula dengan solat hajat di Pejabat PASTI negeri di Jalan Pusara. Perarakan penyokong PAS bermula dari Jalan Pusara melalui Jalan Sultan Ismail dan daripada bulatan Ladang menuju ke Stadium Negeri.

Laungan Allahuakbar, hidup rakyat, dan hancur BN bergema di hari penamaan calon tadi. Melayu, Cina dan India datang dengan semangat untuk memenangkan calon PAS kali ini. Suasana bertambah meriah apabila satu kumpulan keseniaan India memainkan muzik mereka sebagai tanda sokongan kepada calon PAS.

Pemimpin-pemimpin PAS dan Pakatan Rakyat, seperti YB Dato Hasan Ali, YB Teresa Kok, YB Lim Kit Siang, YB Ronny Liu, YB Azmin Ali dan Hj Mustafa Kamil Ayub. Turut kelihatan Menteri Besar Kedah dan Menteri Besar Perak. Tuan Guru Dato Nik Abd Aziz Nik Mat hadir tetapi tidak dapat bersama-sama mengiringi calon ke pusat penamaan calon. Beliau berehat di Masjid Ladang kerana keadaan kesihatan yang tidak mengizinkan.

Pada awalnya penyokong-penyokong Pakatan Rakyat hanya dibenarkan menggunakan satu laluan Jalan Raya tetapi terus melimpah sehingga memenuhi Hospital Tengku Zaharah. Sedikit kekecohan berlaku apabila polis cuba untuk menghalau para penyokong PR daripada Hospital tersebut.

Para penyokong PAS dan Pakatan Rakyat terus menyokong dengan laungan-laungan semangat serta salawat sehingga penamaan calon selesai.

Ahad, 4 Januari 2009

Majlis Penyerahan Tugas Dan Perlantikan SUK Pemuda

Kuching (3/01/09) – Dewan Pemuda PAS Negeri Sarawak Kawasan Kuching telah mengadakan satu majlis untuk meraikan penyerahan tugas setiausaha Dewan Pemuda PAS Negeri Sarawak dan perlantikan SUK baru. Majlis bermula pada pukul 10.45 pagi dengan makan tengah hari bersama-sama di sebuah restoran di Bandar Kuching. Kemudian majlis ditangguh untuk menunaikan solat zohor secara berjemaah di Masjid Kampung Gita. Majlis Bersambung di Markaz kawasan Kuching. Majlis dipengerusikan oleh saudara Aziz selaku Ketua Penerangan Pemuda PAS Negeri Sarawak.

Kemudian mantan setiausaha Pemuda Negeri Saudara Zaini memberikan ucapan dan menyerahkan fail tugas kepada setiausaha pemuda Negeri baru iaitu saudara salahudin. Penyerahan tugas telah disaksikan oleh Ketua Pemuda PAS Negeri Sarawak, Abg. Eddy. Kemudian saudara salahudin memberikan ucapan sempena dengan penyerahan tugas. Majlis bersambung dengan perlantikan SUK baru iaitu saudara boy. Perlantikan tersebut berkuatkuasa pada 5/01/09. Kemudian SUK baru mengangkat sumpah sebagai petugas PAS sepenuh masa sambil disaksikan oleh ahli-ahli majlis yang lain. Majlis bersambung dengan hal-hal berbangkit dan majlis tamat pada pukul 3 petang.

XPDC Dakwah Tahun Baru 2009 Di sekitar Bandar Kuching

Kuching(31/12/08) – Dewan pemuda PAS Sarawak kawasan Kuching telah mengadakan XPDC dakwah bersempena tahun baru 2009. XPDC tersebut telah dijalankan di sekitar Bandar kuching terutama di kawasan waterfront. XPDC tersebut bermula pada pukul 11.30 dan berakhir pada pukul 1.00 pagi. Aktiviti dakwah tersebut antaranya adalah mengedar risalah-risalah kepada orang ramai yang berkumpul pada malam tersebut. XPDC dakwah tersebut disertai seramai 9 orang termasuk Ketua Pemuda PAS Sarawak sendiri iaitu Abg. Addy serta ajk-ajk pemuda PAS Kawasan Kuching.

Kesan dari XPDC itu juga dapat dilihat kepincangan anak-anak muda sekarang yang sibuk mengejar dunia dan terlupa akan ajaran agama islam yang mereka anuti sejak dari azali. Terdapat juga pelancong-pelancong asing yang tanpa segan silu berpeluk dan membuat pernafasan dari mulut ke mulut. Itulah yang menjadi ikutan anak remaja sekarang. Bertudung, tapi tanpa segan silu berpeluk tanpa rasa bersalah kepada agama dan kepada ibu bapa. Bukan sahaja anak muda terdapat juga anak tua yang berkumpul pada malam tersebut. Semua ahli XPDC berasa kecewa dengan perilaku manusia sekarang. Di mana fungsi majlis agama islam Sarawak di dalam membendung gejala-gejala yang sedemikian? Persoalan tersebut hendaklah ditanya kepada diri sendiri. Semoga XPDC berkenaan dapat diteruskan tradisinya sehingga Islam tertegak di bumi.

Khamis (10 Nov) - PAS Sarawak kawasan Kuching bertuah kerana dapat membuat liqa’ fiqri
bersama exco Kerajaan Negeri Kelantan ADUN kawasan Limbongan iaitu YB
Drs. Zainuddin B. Awg Hamat.

Liqa’ fiqri tersebut dihadiri seramai 20 orang yang terdiri daripada pimpinan
PAS Sarawak iaitu Pesuruhjaya PAS Negeri Sarawak, Ustaz Osman Mustafa,
Pemuda PAS kawasan Kuching serta ahli usrah kawasan Petra Jaya.
Kedatangan YB Drs. Zainuddin adalah bersempena dengan seminar PEMADAM
yang diadakan di kuching. Beliau merupakan pengerusi PEMADAM bagi
Negeri Kelantan.

Di dalam liqa’ tersebut, beliau berkongsi pengalamannya sebagai seorang
pejuang PAS dan wakil rakyat. Beliau juga memberi tazkirah ringkas
tetapi padat dan bermanfaat.