Isnin, 6 Julai 2009

Pemberian Tanda Ingatan di Manek Urai: Ulasan PAS Sarawak

Pilihanraya Kecil N41 Manik Urai merupakan pertembungan dua parti politik terbesar tanah air, PAS vs Umno. PAS melihat bahawa ini adalah pertembungan politik peribadi yang tidak ada kena mengena dengan mana-mana kementerian atau agensi Kerajaan.

Justeru itu, PAS melihat tindakan Umno mengunakan dana Kementerian Pelajaran bagi memberikan uniform dan beg sekolah secara percuma kepada 6,142 pelajar sekolah rendah, menengah dan sekolah Arab di Manik Urai sebagai satu tindakan 'rasuah politik' kepada keluarga pelajar berkenaan sempena musim pilihanraya.

PAS tidak menolak sebarang bantuan kepada rakyat termasuk di Manik Urai. Tetapi tindakan memberikan bantuan kepada pelajar di Manik Urai (disini sahaja) pada musim Piliharaya Kecil
adalah tidak kena, apatah lagi pemberian itu diumumkan oleh Timbalan Presiden Umno yang juga Menteri Pelajaran Tan Sri Muhyiddin Yassin beberapa hari lalu atas alasan sebagai 'tanda ingatan' kementerian berkenaan. Pemberian pertama telah dibuat oleh Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan Datuk Mustapa Mohamed di Sekolah Kebangsaan Manek Urai Baru semalam dan bakinya akan diberi sepanjang tempoh berkempen.

PAS mempersoalkan 'tanda ingatan' itu. Mengapa baru sekarang Umno beri 'tanda ingatan' itu. Bagaimana pula dengan hak pelajar bumiputra dan orang asli di pedalaman negeri Pahang, Perak, Sabah, Sarawak dan pelajar lain yang masih susah di seluruh negara.

Di Manik Urai, semua 6,142 pelajar diberikan bantuan 'khas pilihanraya' tanpa mengira mereka itu anak orang kaya atau tidak, sedangkan pelajar yang benar-benar susah ditempat lain tidak diingati' langsung.

PAS menyeru agar PIBG di sekolah-sekolah lain seluruh negara menghantar permohonan kepada Kementerian Pelajaran untuk meminta sumbangan Uniform dan Beg Sekolah bagi pelajar-pelajar mereka sebagai 'tanda ingatan' dan menuntut hak yang sama.

PAS mencabar Menteri Pelajaran untuk menyempurnakan 'tanda ingatan' itu di semua negeri sebelum hari pembuangan undi jika benar mereka ikhlas untuk membantu semua rakyat dan bukannya kerana hendak meraih undi Pilihanraya.
Ustaz Idris Ahmad
Ketua Penerangan PAS Pusat

___________________________________________________________________

Ulasan Penerangan Sarawak:

Andaikata pihak UMNO-BN lebih berpandangan jauh ke hadapan, pemberian ini tidak sepatutnya diberikan pada tempoh-tempoh kehangatan musim pilihanraya. Ini jelas menampakkan taktik memancing undi persis janji-janji bermusim yang biasa dicanang-canangkan seperti biasa.

Sebenarnya taktik ini tidak mampu untuk membuatkan rakyat berasa yakin terhadap keprihatinan UMNO-BN lebih-lebih lagi pihak kementerian. Pemberian yang diberikan menggunakan dana Kementerian Pelajaran ini dilihat berat sebelah kerana seperti yang dikatakan oleh Ustaz Idris Ahmad di atas, masih banyak lagi tempat-tempat khususnya di Borneo yang kurang mendapat perhatian ini yang layak juga menerima bantuan. Maka, pihak Penerangan Sarawak melihat tindakan ini sebagai tidak lain melainkan hanya gula-gula sementara dan janji-janji angin daripada pihak UMNO-BN untuk merampas Manek Urai daripada tangan PAS.

Manek Urai: Antara Penjual Ikan dan Pengurus Kesedar..

Hari ini menyaksikan permulaan bagi pertarungan yang sengit antara dua jenama siasah iaitu Barisan Nasional dan PAS bagi merebut kerusi di DUN Manek Urai apabila calon PAS iaitu Haji Mohd Fauzi AbduLLAH dan calon BN iaitu Tuan Aziz Tuan Mat turun ke gelanggang demokrasi semasa di sesi penamaan calon yang diadakan di Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Yahya Petra pagi tadi.

Sekitar penamaan calon pagi tadi, Mohd Fauzi ataupun nama mesra beliau Abe Uji diiringi oleh 10 ribu orang penyokong. Apa yang menjadikan suasana lebih hangat dan lebih mendatangkan semangat lagi ialah apabila pimpinan PAS seperti Tuan Guru Mursyidul ‘Am Nik Abdul Aziz Nik Mat, Tuan Guru Presiden Haji Abdul Hadi Awang, Dato’ Mahfuz Omar, YB Salahuddin Ayub, Dato’ Mustafa Ali serta pimpinan Pakatan Rakyat yang lain turut turun padang.

‘Belang’ daripada pihak BN juga tidak kurang hebatnya apabila Tuan Aziz turut diiringi oleh sekitar 2 ribu orang penyokong UMNO-BN serta turut ‘diserikan’ lagi dengan kehadiran pimpinan tertinggi UMNO iaitu Tan Sri Muhyiddin Yassin, Tengku Adnan Mansor, Dato' Seri Shafie Apdal, Dato' Mustafa Mohamad dan Dato' Seri Hishamuddin Tun Hussein.

Apa yang pasti, sesi pembuangan undi yang bakal berlangsung pada 14 Julai itu bakal menyaksikan perlawanan yang menarik antara BN yang mahu merampas Manek Urai yang merupakan kubu kuat PAS dengan yang sememangnya mendapat sokongan dan kepercayaan yang ramai.

Diharapkan suasana sepanjang siri kempen yang diadakan serta di hari pembuangan undi nanti menyaksikan pertarungan yang adil, tanpa sebarang sandiwara permainan lama buah mainan SPR dan BN serta dihadapi dalam keadaan yang gentlemen.

Mari kita berkenalan sejenak bersama dengan kedua-dua calon yang bakal bertanding di Manek Urai.

“Abe Uji oghe kito”

-dipetik dari Harakahdaily.net

Calon PAS di Manek Urai, Mohd Fauzi Abdullah sudah tidak asing lagi di kalangan penduduk yang tinggal Kuala Krai. Peranannya tidak kecil dalam usaha membangunkan bandar Kuala Krai.

Sebelum ini beliau merupakan Pengerusi Jawatankuasa Lalulintas Majlis Daerah Kuala Krai (MDKK) dan sekarang dilantik pula pengerusi bahagian perlesenan yang bertanggungjawab kepada peniaga.

Malah pada penggal lalu beliau dilantik kerajaan negeri sebagai Penyelia Dun Guchil.

Mohd Fauzi atau yang lebih dikenali sebagai Abe Uji berkata, MDKK menyedari laluan Kuala Krai ke Gua Musang sering berlaku kesesakan pada musim perayaan memandangkan ramai anak perantau pulang ke kampung.

Katanya laluan tersebut sering berlaku kemalangan jalanraya disebabkan pemandu memandu laju dan memotong kenderaan di tempat yang tidak sepatutnya.

Beliau berkata, kawasan yang sering berlakunya kemalangan iaitu di kawasan Hentian Rehat Damai ke Padang Sembilan, kawasan Sekolah Menengah Pahi, sekitar Sekolah Kebangsaan Peria, cabang tiga Sungai Sok, kawasan pemeriksaan JPJ di Laloh dan simpang di Lela Jasa.

"Oleh itu saya berharap di musim pilihan raya kecil di Dun Manek Urai sekarang pengguna jalan raya hendaklah sentiasa berhati-hati dengan mengurangkan kelajuan memandangkan banyak kegiatan diadakan sempena pilihan raya sekarang," katanya selepas merasmikan program konvoi bermotor Belia Manek Urai di perkarangan masjid Kampung Peria, hari ini.

Beliau juga berharap golongan belia usah terlalu ghairah semasa berada di jalan raya sempena kempen pilihan raya sekarang bagi mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku.

"Saya berharap belia dan remaja di Dun Manek Urai ini mematuhi peraturan lalu lintas dan tidak menjadikan jalan raya sebagai gelanggang untuk berlumba.

"Kalau boleh belia hendaklah menjadikan masjid sebagai tempat berkumpul di samping menimba ilmu agama melalui kuliah-kuliah agama yang diadakan.

"Dengan menjadikan masjid sebagai tempat berkumpul, belia dapat menghindarkan masalah sosial dan seterusnya mendisiplinkan diri melawan segala ancaman yang membolehkan membinasakan diri sendiri," ujarnya.



“Calon BN di Manek Urai bukan penjual ikan”-Muhyiddin Yassin

-dipetik dari Mstar online.

Pengurus Bahagian Pemantauan Projek Kesedar Tuan Aziz Tuan Mat dipilih sebagai calon Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Manek Urai, 14 Julai ini.

Turut hadir, Setiausaha Agung parti Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan yang juga Pengarah Pilihan Raya Kecil Manek Urai Datuk Mustapa Mohamed, Ketua Wanita Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, Ketua Puteri Datuk Rosnah Rashid Shirlin, pimpinan Umno dan parti komponen tempatan.

Muhyiddin berkata seluruh pimpinan parti yakin Tuan Aziz dan jentera pilihan raya yang diketuai Mustapa, dapat menebus kekalahan BN di kerusi itu pada pilihan raya Umum 8 Mac tahun lalu.

"Calon kita nak bela umat Islam dan bawa obor perpaduan. Beliau seorang yang berpengalaman, ada rekod kerja yang baik di sini, bukan seorang penjual ikan, dan berkelulusan tinggi.

"Penting untuk pilih calon yang berilmu kerana dialah yang nak bimbing masyarakat di sini, tak ada ilmu bahaya kerana mungkin dia terseleweng," katanya.

Timbalan Perdana Menteri berkata mungkin ramai yang memandang sinis jika BN menang di Manek Urai kerana wakil rakyat BN hanyalah pembangkang dalam DUN Kelantan malahan ia langsung tidak akan menjejaskan struktur kerajaan negeri yang dipimpin PAS.

Namun, tegas beliau, wakil rakyat BN di Kelantan disokong oleh kerajaan Pusat."Dia calon BN. Saya sendiri akan bantu jadikan Manek Urai simbol kebangkitan semula Umno dan BN. Dalam masa yang sama, kita akan lihat bagaimana kawasan ini boleh dimajukan," katanya.

Katanya sejak dari awal penubuhannya, BN yang ditunjangi Umno terbukti mampu membela nasib rakyat seluruh negara dan tradisi itu akan tetap diteruskan.

"Kita akan teruskan perjuangan pemimpin terdahulu, untuk bangunkan negara dengan dasar yang jelas, iaitu setiap lapisan masyarakat mendapat pembelaan adil dan saksama.

"Niat kita jelas, pembelaan rakyat diteruskan di bawah payung Umno dan BN. Jadi kita mahu Manek Urai dikuasi sekali lagi oleh Umno dan BN," katanya.

PAS mengumumkan calonnya, Mohd Fauzi Abdullah, 50, seorang pemborong ikan di Pasar Besar Kuala Krai yang juga Bendahari PAS Bahagian Kuala Krai pada malam Jumaat lepas.

Pilihan raya kecil DUN Manek Urai diadakan berikutan kematian wakil rakyatnya daripada PAS, Ismail Yaakob pada 22 Mei lepas akibat serangan jantung. Hari penamaan calon pilihan raya kecil itu diadakan pada 6 Julai dan jika ada pertandingan hari pengundian ditetapkan pada 14 Julai.

Ulasan Pemuda Sarawak:

Mengulas serba sedikit mengenai Manek Urai, saya teringat satu hadith Nabi SAW yang bermaksud:

Dengar dan taatlah walaupun yang memimpin kamu itu adalah seorang hamba keturunan Habsyi yang kepalanya seperti buah kismis” – (Hadith riwayat Bukhari dan Ahmad).

Mungkin Muhyiddin terlupa akan hadith ini, sehingga beliau mengeluarkan kenyataan sinis calon PAS ialah penjual ikan. Mungkin beliau juga terlupa bahawa Nabi Muhammad SAW serta Nabi-nabi yang lain menjadikan perniagaan sebagai mata pencarian. Nabi Muhammad seorang saudagar tetapi boleh sahaja menjadi ketua negara.

Beliau kata pemimpin mestilah dari kalangan yang berilmu. Sedarlah bahawa orang tinggi ilmu tidak semestinya perlu jadi Pengurus Kesedar. Dan tidak semestinya berjawatan tinggi itu sudah terlalu baik untuk menjadi pemimpin. Beliau patut lihat sendiri hal keadaannya pemimpin UMNO-BN yang sekian ramai berilmu, belajar tinggi jauh-jauh tetapi menyesatkan orang juga – (sesat di sini bukanlah bermaksud menyesatkan orang jadi kafir. Ajar orang benda yang tak betul pun menyesatkan juga!)


Dan hadith ini juga patut menjadi pedoman bagi UMNO-BN serta mana-mana pihak yang bermati-matian mahu memperjuangkan dasar kebangsaan, di mana RasuluLLAH SAW bersabda yang bermaksud:

Bukan daripada golongan kami mereka yang menyeru kepada asobiyyah (fanatik kaum, bangsa atau kumpulan). Bukan daripada kami mereka yang berperang atas dasar asobiyyah. Dan bukan daripada kami mereka yang mati atas landasan asobiyyah” (Hadith Riwayat Abu Daud).

Di dalam kitabnya “Muqaddimah ‘Aqidah Muslimin”, Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang menerangkan salah satu daripada faktor yang menyebabkan batalnya Syahadah seseorang itu, iaitu apabila beramal kerana yang lain daripada ALLAH SWT.

Merujuk kepada Hadith yang sama, Ustaz Abdul Hadi Awang menyebut di dalam kitabnya itu,:

Bahawasanya yang dikatakan ibadat itu tidaklah khusus kepada solat, puasa, zakat dan haji sahaja bahkan semua amal soleh yang diqasadkan kerana ALLAH SWT adalah juga dikira ibadat dan amal-amal yang seperti itu kalau diqasadkan kerana yang lain tanpa izinNya maka dianggap syirik. Sesungguhnya amal yang telah menjadikan seseorang itu syirik adalah terlalu banyak, di antaranya ialah beramal di atas dasar kebangsaan (nasionalisme) atau perkauman.

Di dalam hadith yang sama, dengan tambahan riwayat daripada Imam Muslim, Abu Daud dan An-Nasa’ie:

Para sahabat bertanya kepada RasuluLLAH SAW, “Apakah dia asobiyyah itu wahai RasuluLLAH SAW?”

Baginda menjawab: “Asobiyyah itu ialah kamu menolong kaummu di atas dasar kezaliman”.

Maka sebelum mengundi, fikir-fikirkanlah bahawa dengan tangan kurniaan ALLAH SWT ini yang mana satu kita nak pangkah!

Ahad, 5 Julai 2009

Politik Adalah Juzuk Di Dalam Islam

Firman ALLAH SWT di dalam Surah Al-Baqarah ayat 30 yang bermaksud:

“(Dan ingatlah) ketika Tuhan berfirman kepada malaikat, ‘Sesungguhnya Aku akan melantik seorang khalifah di bumi.”


Al-Imam Al-Mawardi, salah seorang ulama’ besar di dalam Mazhab Syafi’e, menulis di dalam kitabnya Al-Ahkamul Sultaniyah, serta para ulama’ lain termasuk Ibnu Khaldun di dalam kitabnya Muqaddimah, mengulas bahawa yang dimaksudkan dengan ‘khalifah’ di dalam ayat di atas merujuk kepada ‘khilafatun nubuwwah fi harasatiddin wa siasatiddunya bihi’ yang membawa maksud ‘pengganti nabi dari segi menjaga agama, serta mentadbir dunia dengannya (agama)’.

Definisi khalifah yang masyhur juga pernah disebutkan oleh salah seorang sahabat besar Nabi Muhammad S.A.W yang juga merupakan salah seorang khulafa’ur rasyidin iaitu Saiyidina Umar Al-Khattab sebagai berbunyi “Iqamatuddin wa siasatiddunya bihi” yang membawa maksud ‘menegakkan agama dan mentadbir dengannya’.


Al-siasah yang disebutkan di atas merujuk kepada maksud mentadbir, di mana apabila diistilahkan di dalam bahasa moden, ia persis kepada politik. Perkataan politik berasal daripada bahasa Yunani iaitu “Polis” yang bermaksud “Negara”. Pada mulanya ia diertikan sebagai segala sesuatu yang berhubung dengan negara. Kemudian, ia digunakan sebagai kata benda untuk menamakan praktik memerintah dan kebijaksanaan memerintah dan selanjutnya ditambah dengan pengertian lain, iaitu seni atau kemampuan untuk memerintah.


Dari aspek kebudayaan, politik ialah:

(i) mengatur aktiviti sosial dan

-dengan tujuan melaksanakan pergaulan hidup untuk membentuk kehidupan masyarakat yang sejahtera.

(ii) mengatur aktiviti ekonomi sebaik-baiknya menurut satu konsep yang tertentu

-mewujudkan kemakmuran masyarakat.


Dua tujuan ini tidak lain hanya dapat dicapai dengan melalui politik dengan jalan membentuk organisasi yang dinamakan negara. – di dalam buku “Bagaimana Islam Berpolitik dan Memerintah” karya Drs. Abdul Ghani bin Hj Idris.


Firman ALLAH SWT di dalam Surah Al-Baqarah ayat 208-209 yang bermaksud:

“Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah ke dalam Islam secara menyeluruh. Janganlah kamu turuti langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagi kamu.

Sekiranya kamu menyimpang (dari kebenaran) sesudah datang bukti-bukti kebenaran itu, maka ketahuilah bahawa ALLAH Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.”


Di dalam Kitab Tafsir Prof Dr H Mahmud Yunus iaitu Tafsir Al-Quranul Karim, dengan bimbingan daripada Tafsir Ibn Kathir, Tafsir At-Thabari dan sebagainya, mentafsirkan ayat 208 ini dengan dua wajah iaitu:

  1. Wahai orang-orang yang beriman, masuklah kamu semua ke dalam perdamaian. Janganlah bermusuhan sesama kamu, kerana orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara. Oleh itu wajiblah kamu hidup damai sesama kamu.
  2. Wahai orang-orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam Islam seluruhnya, turutilah segala syariatnya. Janganlah Islam kamu itu sebahagian-sebahagian. Setengah syariat kamu amalkan dan setengahnya lagi kamu tinggalkan.

Beliau (Prof Dr H Mahmud Yunus) kemudian membuat kesimpulan, “Kedua-dua tafsiran ini boleh diterima”.


Di dalam Al-Qur’an juga, ALLAH SWT telah memberikan ancaman kepada manusia yang mengambil hanya sebahagian daripada agama, kemudia meninggalkan yang lain, antara lain firman-Nya di dalam Surah Al-Baqarah ayat 85 yang bermaksud:

“Apakah kamu beriman dengan sebahagian kitab dan engkar terhadap sebahagian yang lain? Tiadalah balasan bagi orang yang berbuat demikian daripada kamu melainkan kehinaan dalam kehidupan dunia, dan pada hari kiamat mereka akan dikembalikan kepada seksa yang sangat berat. ALLAH tidak lengah dari apa yang kamu lakukan”

Di dalam Kitab Tafsir yang sama, Prof Dr H Mahmud Yunus mengulas tafsir ayat ini dengan menyebut:

“Barangsiapa yang percaya dan mengamalkan sebahagian kitab, tetapi meninggalkan sebahagiannya, maka ia akan mendapat kehinaan dan kesusahan di atas dunia bahkan di akhirat pula akan dimasukkan ke dalam neraka.

Ramai orang Islam yang mengerjakan sembahyang, puasa, haji dan sebagainya tetapi mereka mengambil hak orang lain atau hak negara, menganiaya, mencaci, mengumpat, iri hati, takbur, adu-domba, memutuskan silaturrahim dan sebagainya. Maka orang seperti ini adalah beriman dan mengikut sebahagian al-Qur’an tetapi kafir (ingkar) kepada sebahagian yang lain”.


Di dalam Sirah Nabawiyyah juga ada diterangkan beberapa bukti bahawa Nabi Muhammad SAW juga berpolitik. RasuluLLAH S.A.W pernah menjadi ketua negara dan baginda juga terlibat malah mencetuskan perjanjian-perjanjian signifikan yang membawa kepada kejayaan Islam tersebar dengan luas ke luar Madinah.


Di dalam bukunya ‘As-Siasatu wal Iqtisah fit Tafkiril Islami’, di dalam tajuk ‘Dharuratul Hukumati fil Islam’ muka surat 30, Dr. Ahmad Syalabi menyebut:

“Ajaran-ajaran Islam itu meliputi urusan-urusan agama dan urusan-urusan duniawi. Dalam urusan-urusan agama, Islam mewajibkan I’tiqad dengan keEsaan ALLAH dan bahawa Muhammad itu adalah Rasul-Nya dan Nabi-Nya yang penyudah….Oleh kerana itu, maka Islam itu bukanlah semata-mata urusan I’tiqad sahaja dan bukan hubungan antara hamba dengan Tuhannya sahaja. Dan jika demikianlah Islam itu, maka kemungkinan sistem-sistem pemerintahan Islam itu telah hilang, dan membiarkan urusan orang islam dengan Tuhannya.

Akan tetapi urusan-urusan keduniaan yang disyariatkan Islam adalah sebahagian dari agama Islam ini. …Maka oleh kerana itu Islam menghubungkan dengan urusan-urusan pemerintahan. Ia mewajibkan supaya diadakan badan yang mengajar kaum muslimin akan urusan-urusan agama dan dunia mereka serta mengawal dan menyelia perlaksanaan pengajaran itu. Nabi Muhammad SAW adalah orang yang mula-mula sekali menunaikan kepentingan ini, dan oleh para khalifah sesudahnya…Beliau mengajar dan beliau menghukum dalam masyarakat Islam yang pertama itu dan selepas beliau kepentingan ini diuruskan oleh para khalifahnya.”


Di dalam kitabnya ‘Al-Islam’, Al-Ustaz Sa’id Hawwa membahagikan Islam ke dalam tiga pola dan cabang-cabang di dalam setiap pola tersebut, iaitu:

  1. Rukun-Rukun (Arkan) iaitu:

(a) Ibadat Khas iaitu Solat, Zakat, Puasa dan Haji.

(b) Aqidah iaitu Dua Kalimah Syahadah, Beriman Kepada ALLAH, Beriman dengan Malaikat, Beriman dengan Kitab Suci, Beriman dengan Para Rasul, Beriman dengan Qadha’ dan Qadar dan Beriman dengan Hari Akhirat.

  1. Binaan (Bina’) iaitu Sistem Hidup, Sistem Politik, Sistem Ekonomi, Sistem Ketenteraan, Sistem Pendidikan, Sistem Akhlaq dan Sistem Sosial.
  2. Pengukuh (Muyyidat) iaitu Jihad, Amar Ma’ruf Nahi Munkar, Hukuman Dan Keseksaan.

Ketiga-tiga kerangka pola ini adalah sifat Islam, sesuai dengan fitrahnya sebagai satu-satunya cara hidup yang sejahtera untuk manusia.


Al-Imam Ibn Taimiyah pernah berkata:

Wajiblah diketahui bahawa pemerintahan atas urusan manusia adalah di antara sebesar-besar urusan agama, bahkan agama tidak akan tertegak melainkan dengan pemerintahan, kerana tidak akan sempurna maslahat anak Adam kecuali dengan bermasyarakat sebab masing-masing memerlukan antara satu sama lain, dan di kala mereka bermasyarakat tidak boleh tidak memerlukan pemimpin/ketua, sehinggakan RasuluLLAH SAW bersabda “Apabila tiga orang keluar dalam satu perjalanan, maka hendaklah mereka melantik salah seorang daripada mereka menjadi ketua – Hadith Riwayat Abu Daud dan Abu ‘Uwanah daripada Abu Sa’id r.a”

.. …Kemudian ALLAH mewajibkan amar ma’ruf nahi munkar. Tugas ini tidak akan sempurna melainkan dengan adanya kekuatan dan pemerintahan. Dan serupa dengan amar ma’ruf nahi munkar ialah semua yang diwajibkan ALLAH dari jihad, keadilan, menegakkan hukum hudud dan lain-lain perkara yang tidak akan sempurna melainkan dengan kekuatan dan pemerintahan. Dan demikian pula diriwayatkan bahawa sultan itu adalah bayang-bayang ALLAH di bumi. Dan demikian pula diriwayatkan bahawa enam puluh tahun bersama dengan imam (pemimpin) yang zalim lebih baik daripada satu malam tanpa sultan”.


Al-Allamah Syed Muhammad Rasyid Ridha berkata:

“Telah ijma’ (sepakat) para ulama’ salaf dan khalaf, Ahlus Sunnah dan kebanyakan golongan lainnya bahawa perlantikan imam (melantik pemimpin, yang juga merupakan juzuk dalam siasah/politik) itu ke atas umat adalah wajib ke atas orang-orang Islam secara syar’ie, bukan secara aqli sahaja seperti yang dikatakan oleh sebahagian orang-orang Muktazilah”.


Al-Imam Al-Mawardi pula berkata:

“Melantik imam bagi orang yang akan menegakkan pemerintahan itu di kalangan umat Islam adalah wajib secara ijma’”.


Al-Imam Al-Ghazali yang terkenal dengan Kitab Ihya’ Ulumiddin-nya berkata:

“Ketahuilah bahawa syariat itu adalah dasar dan pemerintahan itu adalah pengawalnya. Sesuatu yang tiada dasar akan runtuh dan sesuatu yang tiada pengawalnya akan sia-sia.”


Menurut Mufti Kerajaan Uthmaniyah Turki, Syeikh Mustoffa Sobri memfatwakan bahawa perlakuan memisahkan politik daripada agama adalah jalan yang paling mudah untuk menjadi kafir.


Maka, ini merupakan bukti-bukti jelas bahawa politik itu ialah salah satu daripada juzuk di dalam Islam dan menegakkan Islam melalui politik dan pemerintahan adalah wajib tanpa sebarang khilaf / perbezaan pandangan di kalangan ulama’.


WaLLAHu ‘azza wa jalla a’lam.