Prince Al-Ayubbi Yahya January 13
Aktivi Muslimah Hizbut Tahrir di Barat
Penulis tersebut menambah lagi, “Tidak dinafikan lagi bahawa kejayaan Hizbut Tahrir selama bertahun-tahun adalah disebabkan oleh tujuan yang ingin dicapainya adalah jelas, iaitu membangunkan sebuah kekhalifahan, iaitu negara Islam yang akan menyatukan seluruh kaum Muslimin di dunia. Bukan seperti al-Qaeda yang menyeru kepada tujuan yang tidak jelas dan tidak spesifik. Hizbut Tahrir memfokuskan aktiviti mereka kepada politik berbanding aktiviti-aktiviti fizikal (kekerasan). Hizbut Tahrir mengatakan bahawa umat Islam perlu bangkit melalui pendidikan, dakwah dan aktiviti politik sehingga mereka memahami keperluan untuk mengambil alih pemerintahan negara mereka dan menyatukan kaum Muslimin. Dalam hal ini, penulis mengutip kenyataan Hizbut Tahrir dalam ribuan penerbitan yang mengatakan bahawa “Jika umat Islam mampu bangkit sebagai umat Islam, maka umat Islam akan dapat melindungi dunia daripada kekuatan jahat yang menguasai dan memperhambakan umat Islam sehingga menjadikan umat Islam hidup dalam mimpi ngeri yang diselimuti oleh pelbagai penderitaan dan kesengsaraan”.
Kemudian penulis berbicara pula tentang alasan timbulnya masalah-masalah yang menimpa Hizbut Tahrir, serta alasan-alasan yang menyebabkannya diharamkan di beberapa negara dengan mengatakan bahawa sikap keterbukaan tentang apa yang disampaikan oleh Hizbut Tahrir inilah yang membuatkan mereka bermasalah di dalam kebanyakan negara totalitarian dan diktator, di mana Hizbut Tahrir menentang perundangan yang ada.
Meskipun Hizbut Tahrir mendakwa tidak menyeru kepada kekerasan (keganasan), namun Hizbut Tahrir masih menghadapi gangguan di kalangan kebanyakan masyarakat liberal kerana mereka melihat Hizbut Tahrir sebagai sebuah parti (kelompok) ekstrimis dan fanatik. Hal inilah yang menjadikan Hizbut Tahrir diharamkan di Jerman di mana Hizbut Tahrir disamakan dengan neo-Nazi. Walhal para pemimpin Hizbut Tahrir menafikan dengan mengatakan bahawa mereka menentang Zionisme dan mereka bukan anti-Yahudi. Namun terdapat beberapa kajian penulisan milik Hizbut Tahrir yang menunjukkan bahawa perbezaan ini tidak mampu untuk menghalang pengharaman terhadap Hizbut Tahrir kerana dikatakan bercanggah dengan kenyataannya. Hizbut Tahrir di Denmark diharamkan kerana banyak perkara termasuk pengedaran risalah yang mana isinya mendesak umat Islam untuk membunuh orang-orang Yahudi di mana pun mereka menemui mereka, (melalui terjemahan ayat al-Quran) “dan mengusir mereka sebagaimana mereka mengusir kamu semua”.
Penulis menambah lagi, “Ketika saya membaca beberapa risalah Hizbut Tahrir di Asia Tengah yang dikeluarkan pada tahun 2001, saya terkejut kerana mereka menggelar Presiden Uzbekistan, “Islam Karimov” sebagai “Yahudi Karimov”. Padahal, Islam Karimov tidak memiliki latar belakang Yahudi sama sekali. Di samping itu, terdapat penerbitan daripada Hizbut Tahrir yang mengatakan bahawa jika seseorang Muslim murtad (keluar) daripada Islam, ia wajib dikenakan hukuman mati. Ini sangat sukar untuk diterima dan diterapkan keputusan undang-undang seperti ini dalam masyarakat yang percaya kepada kebebasan dan demokrasi”.
Selanjutnya penulis mengatakan, “Terdapat perkara lain yang merisaukan, iaitu peranan Hizbut Tahrir dalam pengkaderan dan penyiapan para anggota kerana dalam perkara ini Hizbut Tahrir membangunkan dan menyediakan para anggota fundamentalis yang kemudian menggunakan para anggota ini untuk menyertai keganasan secara terbuka.”
Antara anggota Hizbut Tahrir yang terkemuka adalah Umar Bakri Muhammad, pengasas gerakan al-Muhajirun, yang mana reputasinya menjadi buruk kerana pujian dan dukungannya terhadap orang-orang yang menyebabkan insiden 9/11 dan juga kerana ia menyembunyikan anggota gerakan yang akan digunakannya dalam operasi keganasan seterusnya. Hal itu terungkap apabila pegawai Perisikan Britain menggeledah rumah seorang warga Britain, Umar Syarif, yang pernah cuba untuk meletupkan dirinya di sebuah bar di Tel Aviv pada tahun 2003, di mana dalam penggeledahan itu mereka menemui risalah Hizbut Tahrir.
Selain itu, seorang wartawan Britain bernama Shiv Malik mendakwa bahawa sekurang-kurangnya terdapat dua orang tokoh terkemuka Al-Qaeda yang mempunyai hubungan dan berkait erat dengan Hizbut Tahrir. Mereka adalah Khalid Syeikh Muhammad dan Abu Mus’ab al-Zarqawi. Kemudian penulis cuba untuk menyampaikan sikap dan bantahan Hizbut Tahrir terhadap semua pertuduhan itu dengan mengatakan, “Hizbut Tahrir tetap menegaskan bahawa Hizbut Tahrir tidak akan bertanggungjawab ke atas aktiviti setiap orang yang dikaitkan dengannya. Malah untuk mencapai matlamatnya, Hizbut Tahrir tetap dengan caranya sendiri, iaitu tidak menggunakan aktiviti fizikal (kekerasan/keganasan) walau apapun bentuknya.”
Penulis menambah dengan mengutip kenyataan Abdul Wahid, anggota organisasi Hizbut Tahrir, “Pengkaderan politik kami menekankan larangan penggunaan kekerasan, sebaliknya kami menekankan pada misi mencari penyelesaian yang bersifat pemikiran dan politik terhadap masalah-masalah kami. Kami mengatakan demikian kerana kami menganggap bahawa semua masalah dalam dunia Islam adalah berpunca daripada kurangnya pemahaman terhadap pemikiran Islam yang membawa kepada penyelesaian politik.”
Setelah itu, penulis kembali berbicara tentang inti permasalahan yang dilontarkan di awal artikel, iaitu antara kegelisahan dan kebingungan Barat dalam mengharamkan Hizbut Tahrir yang mana Barat tidak memiliki satu bukti pun untuk menunujukkan bahawa Hizbut Tahrir menggunakan kekerasan mahupun tindakan-tindakan fizikal yang lain, tetapi mereka sedar bahawa Hizbut Tahrir menimbulkan ancaman yang nyata bagi mereka. Dalam hal ini, ia merujuk kepada apa yang dilakukan oleh kedua-dua pemerintah di Britain, namun gagal untuk mengeluarkan undang-undang untuk mengharamkan Hizbut Tahrir kerana mereka menganggap bahawa idea-idea ekstremis yang diseru oleh Hizbut Tahrir tidak cukup sebagai dalih untuk mengharamkannya.
Sementara itu, dengan logika yang sama, Hizbut Tahrir masih beroperasi secara sah di Kanada, Australia dan Amerika Syarikat, di mana baru-baru ini Hizbut Tahrir telah menganjurkan persidangan di negara-negara tersebut. Beberapa orang yang anti dengan Hizbut Tahrir mengatakan bahawa mungkin ini merupakan cara politik yang terbaik untuk berdepan dengan Hizbut Tahrir. Di antara mereka yang anti itu adalah Hana Stewart, yang bekerja di Pusat Keharmonian Sosial Britain, sebuah lembaga penyelidikan yang memberi perhatian dalam masalah toleransi, integrasi dan keharmonian terhadap kehidupan sosial di Britain. Dalam hal ini, dia menulis tentang sebuah kajian moden yang berisi penyelidikan terhadap ideologi Hizbut Tahrir secara terperinci.
Berkaitan pengharaman, ia mengatakan, “Sesungguhnya mengharamkan Hizbut Tahrir bermakna samalah dengan meningkatkan popularitinya serta mempromosikannya.” Ia mengatakan bahawa cara terbaik untuk melawan idea-idea Hizbut Tahrir adalah dengan politik ‘menyediakan masyarakat supaya memusuhinya’ melalui pendidikan dan kesedaran masyarakat tentang bahaya ekstremisme dan tiada toleransi, iaitu dengan kaedah yang sama yang digunakan untuk melawan fasisme Parti Kebangsaan Britain. Dengan demikian, meskipun Hizbut Tahrir ini sah, namun semua ahli politik akan melayannya dengan perasaan muak dan jijik.
Untuk memperkuatkan kesahihan pandangannya, ia mengambil contoh sikap yang diambil oleh British Union of Students (Kesatuan Pelajar-pelajar British) yang menyeru kepada semua organisasi mahasiswa supaya tidak menyertai perdebatan dengan Hizbut Tahrir. Ia mengatakan bahawa semua anggota masyarakat perlu mempunyai sikap untuk menentang idea-idea dan matlamat Hizbut Tahrir. Tambahnya lagi, pemerintah haruslah tidak mendukung kegiatan mereka atau memberikan sebarang kelulusan.
Pada akhirnya, penulis dalam kesimpulannya mengatakan, “Setelah melihat semua ini, kita dapat mengatakan bahawa pengharaman terhadap Hizbut Tahrir akan memberikan kesan yang buruk.” Dalam hal ini, ia mengutip kata-kata Felix Corley, yang bekerja sebagai seorang pemerhati kebebasan beragama di negara-negara bekas Soviet Union, yang berkata: “Bahawa pengharaman terhadap Hizbut Tahrir di negara itu dilihat bukan jalan penyelesaiannya dalam menyelesaikan masalah ekstremisme agama. Alasannya, bahawa Hizbut Tahrir tetap aktif melakukan pelbagai aktiviti dan kegiatan yang tiada tandingannya, termasuk di negara-negara yang telah mengharamkannya.”
Dalam suatu perbandingan ringkas yang dibuat antara Hizbut Tahrir dan al-Qaeda, Corley mengatakan: “Ini harus dikatakan sebagai catatan bahawa al-Qaeda (yang merupakan kelompok kecil dengan jumlah anggota yang tidak ramai, sehingga akhir-akhir ini sering dikepung dan tertekan) mula mempromosikan idea Khilafah lebih kurang dua puluh tahun. Sedangkan Hizbut Tahrir yang menyeru kepada idea Khilafah selama lebih daripada setengah abad masih terus berjalan dan kuat”.
Corley menambah, antara kesan buruk atau kerugian daripada pengharaman terhadap Hizbut Tahrir adalah ia akan memberikan kewibawaan terhadap yang diperkatakan oleh Hizbut Tahrir selama ini bahawa negara-negara Barat dan agen-agennya serta para penguasa diktator dalam dunia Islam bekerjasama dalam peperangan menentang Islam.
Akhir sekali, penulis mengatakan bahawa kenyataan Corley ini telah menguatkan lagi pandangannya yang mengatakan bahawa “cara terbaik untuk memerangi ekstremisme agama adalah dengan memberikan kebebasan beragama.” Bahkan dengan kenyataan yang tegas, Corley mengakui bahawa “Parti-parti seperti Hizbut Tahrir ini telah meletakkan Barat dalam ujian yang sulit dalam berdepan dengan prinsip kebebasan beragama yang diperjuangkannya.”
Tiada ulasan:
Catat Ulasan